Empat Hotel Tabung Haji Rugi RM8.7 juta Setahun

Hotel Tabung Haji | Ekonomi Rakyat
Share it

Empat hotel milik Tabung Haji iaitu TH Hotel Kota Kinabalu, TH Hotel Bayan Lepas, TH Hotel Alor Star dan TH Hotel Kuala Terengganu mengalami kerugian berjumlah RM8.7 juta setahun menurut sebuah pembentangan yang dilakukan oleh Tabung Haji bertarikh 19 Februari 2020.

Defisit tahunan untuk hotel di Bayan Lepas berjumlah RM2.4 juta manakala hotel di Kuala Terengganu mengalami defisit RM1 juta. Tabung Haji turut mengalami kerugian yang agak besar di hotel Kota Kinabalu dengan defisit tahunan berjumlah RM4.4 juta.

Kerugian yang dihadapi oleh Tabung Haji di hotel milik mereka di Alor Star adalah sebanyak RM0.9 juta.

Urusharta Jemaah Sdn Bhd mengambil alih keempat-empat hotel ini dengan harga yang lebih tinggi dari nilai buku. Nilai buku keempat-empat hotel milik Tabung Haji itu berjumlah RM325.2 juta tetapi diambil alih pada nilai premium berjumlah RM494.1 juta. Ini bermaksud Tabung Haji menerima premium lebih kurang 52% dari nilai asal aset-aset milik mereka itu.

Berikut merupakan nilai buku dan harga pengambilalihan aset-aset Tabung Haji;

Pemindahan aset Tabung Haji kepada Urusharta Jemaah Sdn Bhd menjadi perhatian orang ramai sejak kebelakangan ini termasuklah bekas Perdana Menteri, Najib Tun Razak yang mempersoalkan kewajaran perpindahan hotel milik Tabung Haji itu.

Pihak Tabung Haji menegaskan bahawa perpindahan aset-aset berkenaan merupakan sebahagian dari pelan pemulihan Tabung Haji yang mengalami defisit RM10 bilion pada penghujung tahun 2018.

Kerisauan terhadap Tabung Haji telah dibangkitkan oleh Bank Negara Malaysia pada tahun 2015 melalui surat yang dikeluarkan oleh gabenor Bank Negara kepada menteri hal ehwal agama, Dato’ Seri Jamil Khir Baharom.

Sebelum itu, bekas pengerusi Tabung Haji, Tan Sri Hanafiah Ahmad pada 2010 turut menyuarakan kebimbangan beliau terhadap aktiviti pelaburan Tabung Haji yang agak agresif dan memberi amaran bahawa institusi tersebut boleh runtuh jika pelaburan ala koboi tidak dikawal.

<strong>Follow us on</strong>