Syarikat petroleum negara, PETRONAS mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM40.5 bilion pada tahun 2019. Keuntungan ini 27% lebih rendah berbanding keuntungan PETRONAS yang direkodkan pada tahun 2018 berjumlah RM55.3 bilion. Hasil PETRONAS juga turun 4% dari RM251 bilion kepada RM240.3 bilion pada tahun lepas.
Penyusutan keuntungan PETRONAS ini berpunca kepada kejatuhan hasil dan juga rosot nilai terhadap aset PETRONAS yang berjumlah RM7.3 bilion.
Aset keseluruhan PETRONAS turut susut dari RM636.3 bilion pada 2018 kepada RM622.4 bilion pada tahun lalu.
PETRONAS melalui kenyataan media menyatakan bahawa prospek industri minyak dan gas dijangka suram akibat ketidaktentuan politik, perang dagang yang berpanjangan dan ganguan permintaan disebabkan oleh penyebaran Coronavirus-19.
Lembaga Pengarah juga menjangkakan prestasi keuntungan PETRONAS untuk tahun 2020 akan terjejas disebabkan oleh faktor-faktor tersebut.
Prestasi PETRONAS yang terjejas pada tahun lalu ini memberikan tekanan buat kerajaan Malaysia. Hal ini kerana pada tahun lalu sumbangan PETRONAS terhadap kantung kerajaan berjumlah 30.7% dari keseluruhan pendapatan kerajaan.
Tahun ini, hasil berkaitan petroleum dijangka menyumbangkan RM50.5 bilion dari pendapatan kerajaan dimana PETRONAS diunjurkan akan memberi dividen sebanyak RM24 bilion berdasarkan laporan dari Kementerian Kewangan.
Sila ikuti akaun kami di Facebook dan Twitter