Tony Fernandes & Kamarudin Terima RM900 juta Dividen dari Airasia pada 2019

Tony Fernendes dividen AirAsia | Ekonomi Rakyat
Share it

tony fernandes Airasia | ekonomi rakyat

Syarikat penerbangan tambang murah, Airasia Berhad pada tahun lalu telah mengisytiharkan dividen khas sebanyak RM0.90 sesaham. Pengumuman ini agak mengejutkan kerana pada suku pertama tahun lalu, keuntungan bersih Airasia Berhad hanyalah berjumlah RM96 juta, jauh lebih rendah berbanding tahun sebelumnya dimana Airasia mencatatkan RM1.14 bilion keuntungan bersih.

Dividen RM0.90 sesaham yang diagihkan pada 29 Ogos 2019 ini bermaksud bahawa pemegang saham Airasia menerima pulangan dividen sebanyak 31.5% berdasarkan harga saham Airasia yang ditutup pada 26 Julai.

Pemegang saham terbesar Airasia, Tony Fernandes dan Kamarudin Meranun dipercayai menerima lebih kurang RM900 juta dari Airasia hasil dari pengagihan dividen khas ini. Kedua-dua mereka mempunyai pegangan sebanyak 32% atau 1.075 bilion saham dari keseluruhan saham Airasia melalui dua buah syarikat iaitu Tune Live Sdn Bhd dan Tune Air Sdn Bhd. Nilai saham mereka pada hari ini adalah berjumlah sekitar RM1.19 bilion.

Berdasarkan Laporan Tahunan 2018, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja ( KWSP ) mempunyai 186 juta saham Airasia sehingga 27 Mac 2019. Namun kini, KWSP dipercayai memegang sebanyak 159 juta ataupun sekitar 4.7%  saham Airasia selepas melakukan proses penjualan saham syarikat ini sejak 28 Januari lalu.

Dari 28 Januari sehingga 6 Februari 2020, KWSP melupuskan sebanyak 59 juta saham Airasia sekaligus menjadikan mereka bukan lagi salah satu pihak yang menjadi pemegang saham terbesar Airasia.

gaji tony fernandes airasia | ekonomi rakyat

Pada tahun 2018, Tony Fernandes dan Kamarudin Meranun masing-masing menerima RM22.125 juta dan RM21.925 juta sebagai gaji dan bonus. Pendapatan mereka berdua tidak banyak berubah berbanding tahun 2017 dimana Tony menerima RM23.5 juta manakala Kamarudin menerima RM18.8 juta.

Syarikat milik mereka berdua juga menerima dividen yang agak besar dari Airasia. Pada tahun 2017, mereka berdua menerima sekitar RM120 juta dividen dari Airasia dan jumlah ini meningkat kepada kira-kira RM640 juta pada 2018. Ini menjadikan keseluruhan dividen yang diterima oleh Tony dan Kamarudin untuk tiga tahun berakhir 2019 adalah berjumlah RM1.66 bilion.

Saham Airasia menjunam hampir 20% kepada RM1.15 pada 3 & 4 Februari selepas didakwa terlibat dengan skandal rasuah Airbus.

<strong>Follow us on</strong>