Gaji Minimum Pekerja di Jakarta Lebih Tinggi dari Kuala Lumpur
Bermula 1 Februari 2020, gaji minimum pekerja di 57 bandar utama di Malaysia akan dinaikkan RM100 dari RM1100 kepada RM1200 sejajar dengan pengumuman pada pembentangan Belanjawan 2020 pada Oktober tahun lalu.
Peningkatan gaji minimum sebanyak 9% di bandar-bandar utama ini merupakan inisiatif terbaru kerajaan dalam meningkatkan lagi pendapatan pekerja di Malaysia di mana gaji minimum di seluruh negara selain bandar-bandar utama kekal RM1100 seperti yang diumumkan pada tahun 2018.
Meskipun kenaikan gaji minimum mendapat reaksi positif ramai pihak melainkan pihak majikan, gaji minimum di Kuala Lumpur masih lagi rendah jika dibandingkan dengan gaji minimum di ibu negara Indonesia, Jakarta. Tahun ini, Jakarta menaikkan gaji minimum mereka sebanyak 8.5% dari Rp3.9 juta kepada Rp4.3 juta.
Peningkatan ini bermaksud pekerja di Jakarta memperoleh gaji kira-kira RM1,392 meningkat dari RM1,269 tahun lalu. Dalam kata lain, gaji minimum di Jakarta 16% lebih tinggi dari gaji minimum di bandar-bandar utama Malaysia.
Sejak 2015, gaji minimum di Jakarta telah meningkat 9.75% secara tahunan dari Rp2.7 juta kepada Rp4.3 juta. Kenaikan yang tinggi ini didorong oleh dasar kerajaan Indonesia yang menyemak kadar gaji minimum secara tahunan mengikut wilayah.
Berbeza dengan Malaysia, kenaikan gaji minimum di negara ini pula adalah amat perlahan. Gaji minimum bagi Kuala Lumpur dan bandar-bandar utama hanya meningkat dari RM900 pada tahun 2015 kepada RM1,200 pada 2020 iaitu bersamaan dengan kenaikan 5.92% secara tahunan.
Mengapa Gaji Minimum di Malaysia Naik Dengan Perlahan?
Mengikut Akta Majlis Perundingan Gaji Negara, kerajaan perlu menyemak kadar gaji minimum setiap dua tahun. Namun tersebut jarang berlaku bahkan kerajaan mengambil masa sehingga 30 bulan untuk mengumum kenaikan gaji minimum.
Sebagai contoh, gaji minimum ditingkatkan kepada RM1000 di Semenanjung Malaysia dan RM920 di Sabah dan Sarawak pada Julai 2016. Peningkatan gaji minimum yang seterusnya pula hanya berlaku pada Januari 2019 dimana terdapat jurang selama 30 bulan sebelum semakan dibuat.
Di Indonesia ataupun negara-negara maju yang lain seperti Australia dan New Zealand, gaji minimum disemak setiap tahun. Oleh itu, pertumbuhan gaji minimum di negara-negara tersebut lebih tinggi berbanding Malaysia.
Jika dikira berdasarkan waktu bekerja seminggu, bayaran upah oleh pekerja yang menerima gaji minimum di Kuala Lumpur juga jauh lebih rendah berbanding rakan mereka di Jakarta. Waktu bekerja untuk pekerja di Indonesia adalah 40 jam seminggu manakala di Malaysia pula 48 jam seminggu. Ini bermaksud upah sejam pekerja gaji minimum di Jakarta ialah RM8.05 manakala di Kuala Lumpur pula hanyalah RM5.77.
Meskipun Keluaran Dalam Negara Kasar Kuala Lumpur hampir dua kali ganda lebih tinggi berbanding Jakarta. Hakikatnya, upah minimum sejam di ibukota Indonesia itu 40% lebih tinggi berbanding Kuala Lumpur.
*Gambar feature dari Geotimes Indonesia