Menginjak ke tahun 2020, ekonomi dunia yang dijangka bergerak perlahan sekali lagi dihujani krisis global. Wabak novel koronavirus telah dikesan di Wuhan, China dan sehingga detik artikel ini ditulis, terdapat lebih 20,000 orang disahkan dijangkiti dan lebih 400 orang disahkan meninggal dunia akibat koronavirus. Di Malaysia, terdapat 12 jangkitan yang disahkan oleh KKM dengan tiga orang mangsa adalah warganegara Malaysia.
Pelbagai usaha dilakukan oleh pihak kerajaan bagi menangani wabak ini. Langkah awal termasuklah membatalkan segala penerbangan dari dan ke Wuhan. Lapangan terbang juga dipersiapkan dengan kamera thermal bagi mengesan pelancong yang mempunyai suhu badan yang tinggi.
Kerajaan negeri Sabah telah mengambil langkah untuk membatalkan segala penerbangan dari dan ke China manakala kerajaan negeri Sarawak pula telah memulakan sekatan perjalanan buat pelancong daripada China. Langkah sama turut dilaksanakan oleh beberapa negara lain seperti Singapura dan New Zealand dimana mereka menyekat kemasukan pelancong China secara menyeluruh.
Kerajaan Malaysia melalui kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri mengesahkan telah membuat sekatan perjalanan terhadap rakyat China dari Wuhan dan wilayah Hubei.
Meskipun begitu, terdapat rakyat Malaysia yang inginkan sekatan perjalanan secara menyeluruh terhadap warga China. Petisyen untuk menuntut kerajaan melaksanakan sekatan perjalanan terhadap warga China yang dilancarkan di change.org telah ditandatangani oleh lebih 400,000 orang pengguna internet di Malaysia.
Menilai Impak Koronavirus Terhadap Ekonomi Malaysia
Sektor pelancongan memberikan sumbangan yang besar buat ekonomi negara. Pada tahun 2018, sektor ini telah menjana RM84.1 bilion yang disumbangkan melalui kehadiran 25.83 juta pelancong. Pelancong China merupakan pelancong ketiga terbesar di negara ini selepas warga Singapura dan Indonesia dengan kehadiran 2.944 juta pelancong pada 2018.
Jumlah kehadiran pelancong China ke Malaysia telah meningkat dengan konsisten setiap tahun. Pada tahun 2014, negara hanya mencatatkan 1.613 juta kehadiran pelancong China dan jumlah ini meningkat kepada 2.944 juta pada 2018. Pada sembilan bulan pertama tahun 2019, seramai 2.4 juta pelancong China telah tiba di negara ini.
Sumbangan pelancong China terhadap ekonomi negara juga agak signifikan. Pada tahun 2017, pelancong China membelanjakan RM9 bilion di Malaysia dan angka ini terus meningkat kepada RM12.3 bilion pada tahun 2018.
Jumlah perbelanjaan pelancong China secara per kapita juga meningkat dengan begitu mendadak sekali. Pada tahun 2017, setiap pelancong China hanya membelanjakan purata RM3,968 ketika berada di Malaysia. Jumlah ini meningkat kepada RM5,302 pada 2019 berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Tourism Malaysia.
Pembatalan pelbagai penerbangan dari China serta sekatan perjalanan yang dibuat oleh pelbagai pihak semestinya meninggalkan impak kepada ekonomi negara. Jika terdapat penurunan 10% kemasukan pelancong China tahun ini, negara dijangka kehilangan hasil berjumlah kira-kira RM1.5 bilion.
Senario seperti ini sememangnya tidak digemari oleh pengusaha industri pelancongan dan kerajaan Malaysia. Hal ini kerana tahun 2020 merupakan Tahun Melawat Malaysia dimana kerajaan telah menyasarkan kehadiran 30 juta pelancong antarabangsa dengan anggaran hasil RM100 bilion.