Gaji Permulaan Graduan Semakin Jatuh, 53.6% Graduan Ijazah Terima Gaji Dibawah RM2,000

Laporan Kebolehpasaran Graduan yang dikeluarkan Kementerian Pengajian Tinggi menunjukkan rata-rata gaji graduan baru pada tahun 2020 telah menjunam. Bukan itu saja, kebolehpasaran graduan juga jatuh dari 86.2% pada 2019 kepada 84.4% pada tahun lalu.
Data yang dikongsikan mendapati bilangan pemegang ijazah pertama baru yang memperoleh pendapatan kurang dari RM2,000 sebulan telah meningkat daripada 50.7% pada tahun 2019 kepada 53.6% pada tahun 2020.
Pemegang ijazah yang memperoleh gaji di antara RM2,001 hingga RM3,000 pula jatuh dari 35.8% kepada 31.8% dalam tempoh yang sama. Walaubagaimanapun, terdapat peningkatan kecil bagi mereka yang bergaji lebih dari RM3,000 iaitu naik sedikit dari 14.1% kepada 14.6%.
Statistik yang dikongsikan juga mendapati lebih satu per tiga graduan ijazah pertama memperoleh gaji kurang dari RM1,500 sebulan.
Trend yang sama turut ditunjukkan dalam kalangan graduan baru diploma. Kajian tahunan ini mendapati 87.6% daripada mereka memperoleh pendapatan kurang dari RM2,000 sebulan, meningkat brerbanding 86.6% pada tahun 2019. Ini menunjukkan majikan membayar gaji yang lebih rendah kepada graduan baru pada tahun lalu berbanding tahun sebelumnya.

Peratusan graduan baru yang memperoleh pekerjaan yang setanding dengan kelayakan mereka turut menjadi semakin rendah. Hanya 65.3% graduan memperoleh pekerjaan berkemahiran tinggi berbanding 66.6% pada tahun sebelumnya. Manakala terdapat peningkatan peratusan graduan yang bekerja di dalam pekerjaan berkemahiran rendah iaitu meningkat dari 6.1% kepada 7.6%.
Tiada Kerja, Ayuh Jadi Usahawan!!
Sebilangan pembuat dasar dan ahli akademik sering mencadangkan agar graduan-graduan baru menceburi bidang keusahawanan dan mewujudkan peluang pekerjaan sebagai majikan. Namun keadaan di lapangan menunjukkan realiti yang berbeza. Sebilangan besar usahawan memperoleh pendapatan yang lebih rendah berbanding mereka yang makan gaji.
Kajian mendapati lebih 80% graduan yang menjadi usahawan baru memperoleh pendapatan dibawah RM2,000 sebulan. Bahkan jika ditelusuri dengan lebih mendalam, terdapat 42.2% graduan yang memperoleh pendapatan kurang dari RM1,000 sebulan. Angka ini lebih rendah daripada gaji minimum yang ditetapkan oleh kerajaan.
69% usahawan baru juga mendapat pendapatan kurang dari RM1,500 sebulan.
Walaubagaimanapun, definisi usahawan yang dimaksudkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi agak longgar kerana ia turut meliputi mereka yang bekerja sendiri, freelance dan majikan. Ini bermaksud jika seseorang graduan itu terlibat dalam ekonomi gig seperti menjadi pemandu e-hailing ataupun penghantar makanan, individu tersebut turut dikategorikan sebagai usahawan.
Angka yang dikongsi turut mendapati bahawa peratusan graduan baru yang menjadi usahawan telah meningkat hampir lima kali ganda. Pada tahun 2016, hanya 3.7% graduan baru memilih untuk menjadi usahawan. Namun data terbaru menunjukkan terdapat 15.2% graduan baru yang memilih untuk menjadi usahawan.
Kami mendapatkan pandangan ahli ekonomi, Dr Nungsari Abdul Radhi bagi mengupas lanjut mengenai permasalahan ini. Menurut beliau, isu gaji graduan ini sebenarnya sudah berlarutan sejak sekian lama. Meskipun terdapat peningkatan gaji buat pekerja pada tahun-tahun sebelum ini, namun kadar peningkatan bagi mereka yang berpendidikan tinggi kian mengecil.
Beliau turut menerangkan mengapakah permintaan terhadap graduan semakin berkurangan.
Dari segi permintaan di pasaran buruh, firma dan majikan ini semua beroperasi tanpa memerlukan tenaga mahir. Oleh sebab itu, permintaan terhadap tenaga mahir semakin kecil.
Dr Nungsari turut menyatakan terdapat ketidaksepadan diantara penawaran dan permintaan graduan di Malaysia. Kata beliau, seramai 320,000 orang graduan dikeluarkan pada tahun lalu namun pekerjaan yang dicipta untuk mereka hanyalah sekitar 73,000 sahaja.
Beliau turut berpendapat bahawa saranan agar graduan untuk menjadi usahawan tidak akan menyelesaikan masalah fundamental mereka dan turut merasakan bahawa bukannya mudah bagi graduan baru ini untuk menjadi usahawan.
Bukan semua orang dibentuk dan dididik untuk menjadi usahawan. Ada sesetengah orang boleh jadi ( usahawan ) , ada sesetengah orang tidak boleh jadi ( usahawan ).
Dr Nungsari Radhi merupakan ahli ekonomi dan mempunyai ijazah kedoktoran ekonomi daripada Purdue University, Amerika Syarikat. Beliau sebelum ini pernah dipilih sebagai ahli parlimen Balik Pulau dari tahun 1995 hingga 1999.
Ikuti saluran Telegram kami untuk tidak melepaskan perkembangan terkini di https://t.me/EkonomiRakyatMY
Pingback: Mengejutkan! 53.6% graduan ijazah dapat gaji bawah RM2,000: Majikan tak perlukan tenaga mahir?
Pingback: Paras Gaji Graduan Rendah, Negara Bakal Kehilangan Tenaga Mahir. - QGenAnalysts
Pingback: Hanya 3 Daripada 10 Pekerjaan Baru di Malaysia Dicipta Untuk Graduan | Ekonomi Rakyat