Sejak merdeka hampir 70 tahun yang lepas, ekonomi Malaysia telah merekodkan purata kadar pertumbuhan ekonomi yang sangat baik, iaitu sebanyak 6.1% antara tahun 1961 dan 2022. Perkembangan ekonomi ini telah membawa impak yang positif kepada negara dan juga rakyat. Ia dapat dilihat pada peningkatan taraf hidup rakyat yang dicapai menerusi akses kepada perkhidmatan-perkhidmatan asas seperti kesihatan dan pendidikan yang mana telah memberikan peluang mobiliti sosial yang sangat signifikan.
Hasilnya, ramai yang telah berjaya keluar daripada kemiskinan, sekali gus mengurangkan kadar kemiskinan dengan begitu ketara. Pada tahun 1970, hampir separuh rakyat Malaysia tergolong sebagai miskin. Namun, peratusan isi rumah miskin ketika ini telah turun kepada 6.2%.
Walau bagaimanapun, perkembangan ekonomi yang dicapai gagal memberikan impak positif dan peluang yang sama rata kepada semua orang. Meskipun ekonomi negara semakin berkembang, masih ada sekelompok yang ketinggalan dan tidak dapat merasai hasil limpahan ekonomi dengan lebih saksama. Akibatnya, walaupun negara semakin maju ke hadapan, masalah kemiskinan tetap wujud, dan mungkin akan kekal wujud selagi isu-isu struktur ekonomi tidak dirawat dengan segera.
Baru-baru ini, Ekonomi Rakyat (ER) berkesempatan mewawancara ahli ekonomi, Dr Muhammed Abdul Khalid, yang juga merupakan Pengarah Urusan firma penyelidikan dan konsultasi DM Analytics. Sesi ini memfokuskan kepada topik kemiskinan, sambil mengupas penemuan-penemuan utama yang diperolehi menerusi laporan kajian “Ranjau Sepanjang Jalan” yang dibangunkan hasil kerjasama antara DM Analytics, UNICEF dan UNFPA.
Laporan “Ranjau Sepanjang Jalan” ini merupakan sebuah kajian longitudinal yang telah dijalankan dalam tiga gelombang, iaitu sebelum, semasa dan selepas fasa pandemik COVID-19. Kajian yang melibatkan isi rumah-isi rumah berpendapatan rendah yang menetap di Program Perumahan Rakyat (PPR) sekitar Kuala Lumpur ini membawakan bukti-bukti mikro bagi merungkai bagaimanakah mereka mendepani cabaran peningkatan kos sara hidup serta kemiskinan yang terus menghimpit kelangsungan hidup mereka.
Kemiskinan Masih Belum Di Noktahkan di Malaysia
Di awal temu ramah, Dr Muhammed Abdul Khalid menegaskan bahawa kemiskinan masih belum dinoktahkan secara muktamad di Malaysia. Hal ini kerana, menurut beliau, meskipun kadar kemiskinan telah turun dengan signifikan kepada 6.2% ketika ini, kemiskinan masih wujud dengan ketara jika diperhatikan dengan lebih mendalam, lebih-lebih lagi di beberapa buah negeri seperti Sabah, Kelantan dan Pahang.
“Tetapi pada masa yang sama, walaupun kadar kemiskinan sudah jatuh, ia belum sifar. Kita tak noktahkan lagi. Banyak lagi yang miskin…. Kalau kita boleh pecahkan lagi, ada sekelompok yang kemiskinan dia masih tinggi. Contohnya kalau kita tengok di Sabah, 1 daripada 5 ataupun 20% hidup di bawah paras kemiskinan. Di Kelantan dan Pahang pun tinggi. Jadi walaupun kadar kemiskinan di Malaysia satu digit, tapi di beberapa tempat masih lagi tinggi.”
Tambah beliau lagi, kemiskinan juga tidak hanya boleh dipandang dari sudut pendapatan semata-mata. Hal ini kerana berbanding dahulu, rata-rata rakyat yang miskin adalah mereka yang tinggal di luar bandar. Namun, kini masalah kemiskinan turut melanda mereka yang menetap di bandar-bandar utama seperti di ibu kota Kuala Lumpur. Ini menunjukkan bahawa kemiskinan tidak lagi boleh dilihat berdasarkan aspek pendapatan sahaja, tetapi juga harus melihat dimensi-dimensi lain yang turut sama pentingnya, seperti sejauh manakah tahap akses pendidikan yang berkualiti serta pemakanan yang berkhasiat.
Ramai Rakyat Malaysia ‘Atas Pagar’, Senang Jatuh Miskin
Beliau turut menegaskan bahawa meskipun kadar kemiskinan telah berjaya diturunkan kepada 6.2%, hakikatnya ramai isi rumah yang ‘atas pagar’ dan mudah untuk jatuh miskin.
“…di negara-negara maju tak pakai dah pendapatan garis kemiskinan ini. Mereka tengok separuh daripada pendapatan median (di Malaysia: RM3,100). Bawah RM3,100 ada lebih kurang 16% rakyat Malaysia yang hidup dalam kemiskinan relatif… Kalau seseorang itu hilang RM500, kadar kemiskinan di Malaysia akan naik daripada 6.2% kepada 16%. Ini bermaksud ramai rakyat Malaysia yang berisiko tinggi untuk jatuh miskin.”

Orang Menjadi Miskin Sebab Mereka Malas dan Banyak Anak?
Apabila ditanya apakah punca orang miskin tetap wujud, Dr Muhammed menolak tanggapan ataupun stigma bahawa mereka menjadi miskin kerana malas. Sebaliknya, beliau berkata, kajian UNICEF pada tahun 2018 menunjukan bahawa orang miskin bekerja lebih lama dan lebih kuat untuk mencari rezeki bagi menyara keluarga.
Beliau turut menafikan dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan bahawa orang miskin ini kebanyakannya mempunyai anak yang ramai, dan inilah menyebabkan mereka terus miskin. Beliau menjelaskan kajian yang dibuat menunjukkan bahawa purata bilangan anak yang dimiliki keluarga berpendapatan rendah adalah sekitar 2.2 sahaja. Jadi, apakah punca mereka terus miskin?
Kurang Akses Pendidikan, Pemakanan dan Peluang Mobiliti Sosial
Dr Muhammed menghuraikan tiga faktor utama yang menyebabkan isu kemiskinan terus wujud, meskipun ekonomi negara semakin maju, iaitu (i) akses pendidikan, (ii) pemakanan dan (iii) peluang mobiliti sosial yang terhad.
Menurut beliau, pendidikan merupakan kunci kejayaan utama Malaysia dalam menurunkan kadar kemiskinan sehingga mencecah satu digit pada hari ini, terutamanya dalam kalangan orang Melayu dan Bumiputera. Peluang dan akses pendidikan yang diberikan berdekad yang lepas telah membolehkan generasi terdahulu mendapatkan pekerjaan yang lebih baik serta gaji yang lebih tinggi, sekali gus memperbaiki taraf hidup mereka untuk keluar dari kemiskinan.

Walau bagaimanapun, akses dan peluang pendidikan berkualiti yang semakin terhad untuk kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah mungkin menyukarkan peluang mereka untuk mengecapi taraf hidup yang lebih baik di masa depan. Bukti-bukti awal dapat dilihat dalam laporan kajian “Ranjau Sepanjang Jalan”, apabila hampir 30% kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah tidak belajar di pra-sekolah. Peratusan tersebut adalah dua kali ganda lebih tinggi berbanding di peringkat nasional (13%).
Kelewatan dalam memulakan sesi pembelajaran akan menjadikan peluang untuk mereka bersaing dengan kanak-kanak lain secara lebih adil menjadi semakin terhad. Lebih-lebih lagi, apabila kanak-kanak yang sama ini turut dihimpit dengan masalah-masalah lain seperti bantut, malnutrisi, kelaparan, peluang mobiliti sosial yang terhad serta pelbagai ‘ranjau di sepanjang jalan’ kehidupan mereka.
Selain pendidikan, faktor kedua ialah dari segi pemakanan yang turut memainkan peranan penting dalam menentukan sama ada seseorang seseorang kanak-kanak itu mampu membesar dengan sihat ataupun tidak. Kajian “Ranjau Sepanjang Jalan” mendedahkan bahawa sebelum pandemik, 55% kanak-kanak mampu makan antara tiga hingga lima kali sehari. Namun, peratusan tersebut telah turun kepada 48% dalam siri kajian terbaharu yang dibuat dalam fasa pasca pandemik. Ini bermaksud, lebih separuh kanak-kanak (52%) kini terpaksa makan kurang daripada tiga kali sehari.

Di samping kuantiti pemakanan, aspek kualiti atau nutrisi pemakanan turut sama pentingnya dalam menyokong tumbesaran kanak-kanak yang lebih sihat. Walau bagaimanapun, kajian yang sama turut mendapati bahawa pengambilan makanan kurang sihat, iaitu mi segera telah meningkat kepada 46%, berbanding 40% ketika pandemik. Pemakanan yang tidak disertai dengan nutrisi yang secukupnya berkemungkinan besar menyebabkan kanak-kanak ini tidak dapat membesar dengan baik, sekali gus meningkatkan risiko-risiko seperti bantut yang akan menjejaskan perkembangan kognitif.
“Kanak-kanak di PPR juga kebanyakannya tak cukup tinggi. Ini bukan maksud dia tak cukup tinggi, dia tak boleh tanduk bola ke. Ini bermaksud, perkembangan otak dia terjejas. Dia tak boleh catch-up, kamu takkan boleh reverse (apabila mengalami masalah bantut).”
Faktor yang ketiga, jelas Dr Muhammed, ialah dari segi peluang. Apa yang dimaksudkan ialah peluang untuk mendapatkan akses pendidikan yang berkualiti, pemakanan yang berkhasiat, peluang kerjaya yang lebih baik dan sebagainya.
Tanpa peluang-peluang sebegini, mereka akan sukar untuk membina kehidupan yang lebih baik berbanding ibu-bapa mereka. Akibatnya, mereka mungkin akan terus kekal terperangkap dalam kemiskinan, walaupun ada sesetengah daripada mereka mempunyai pencapaian akademik yang lebih baik dari peringkat nasional, jelas Dr Muhammed.
“Kalau kamu anak orang kaya, kamu dapat semua peluang. Ada istilah dia panggil ‘opportunities hoarding’. Nak dapat biasiswa, nak dapat internship, nak dapat kerja senang. Anak orang kaya dia boleh bagitahu dekat bapa dia yang kaya dan berpengaruh. Kemudian bapa dia boleh bagitau dekat kawan, dekat tempat kerja, dekat kenalan, supaya ambil anaknya bekerja… Jadi peluang memainkan peranan utama, sama ada seseorang itu taraf hidupnya naik ataupun turun.”
Selain ketiga-tiga faktor di atas, orang miskin kekal miskin kerana sistem yang sedia ada memberikan tekanan yang hebat kepada mereka untuk terus menjadi miskin. Dr Muhammed Abdul Khalid memberikan contoh, sekiranya orang kaya membeli sebuah kenderaan elektrik (EV), mereka akan dikecualikan daripada membayar cukai jalan, cukai jualan dan duti import. Malah, mereka turut berpeluang mendapat pelepasan cukai sehingga RM2,500 setahun, walaupun EV tersebut rata-ratanya berharga mencecah ratusan ribu.
Sebaliknya, seorang rakyat biasa yang membeli kereta tempatan seperti Axia dan Myvi perlu membayar pelbagai jenis cukai. Tidak cukup dengan itu, orang kaya yang membuat pembelian barangan mewah seperti jam tangan dan barang kemas tidak dikenakan sebarang cukai. Namun, apa yang berlaku ialah sebaliknya untuk pembelian barangan yang lebih murah.
“Saya beri contoh senang, orang susah beli barang atas talian berharga bawah RM500 kena bayar cukai 10%. Sampai hari ini patut kita dah ada luxury tax untuk barangan mewah, tapi kita tangguh, tangguh dan tangguh.”
Beri Peluang yang Lebih Adil Kepada Orang Miskin
Ekonomi Rakyat turut menanyakan kepada Dr Muhammed, apakah yang perlu dilakukan bagi meningkatkan taraf hidup orang susah ini serta membantu mereka keluar daripada kemiskinan?
Menurut Dr Muhammed, masalah kemiskinan sukar untuk diatasi sekiranya semua orang tidak memperoleh peluang yang adil untuk membina kehidupan yang lebih baik, terutamanya dari sudut akses pendidikan yang berkualiti dan pemakanan yang berkhasiat sejak usia kecil.
“Tiada siapa yang mahu anak dia hidup susah. Semua orang mahu anak dia hidup lebih baik. Kita tengok bukti, sejarah di Malaysia, tahun 1970 tiga per empat orang Melayu/Bumiputera miskin. Sekarang dah berkurangan dengan mendadak, Sebab apa tidak miskin? Sebab kita memberi peluang. Peluang apa kita beri pada masa itu? Peluang pendidikan (dan kesihatan). Jadi budak-budak sihat, budak-budak boleh belajar dan ada peluang masuk universiti, masuk kolej. Jadi, gaji tinggi, pendapatan pun bagus, keluarga keluar daripada kancah kemiskinan. Peluang itu harus diberikan.”
Kerajaan Harus Lebih Tegas Dalam Membela Kebajikan Isi Rumah Berpendapatan Rendah dan Golongan Pekerja
Dr Muhammed turut menekankan bahawa Kerajaan perlu memainkan peranan yang lebih proaktif dan tegas dalam memastikan kebajikan isi rumah berpendapatan rendah lebih terbela, termasuklah melibatkan golongan pekerja.
Antaranya termasuklah dengan menaikkan gaji minimum daripada RM1,500 ketika ini kepada RM2,100, selaras dengan tahap produktiviti pekerja dan kos sara hidup. Beliau turut mencadangkan agar Kerajaan menaikkan kadar bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) agar golongan berpendapatan rendah ini mampu menikmati kehidupan yang lebih bermakna. Di samping itu, liputan bantuan-bantuan sosial seperti bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu diperluaskan kepada mereka yang tergolong dalam miskin mutlak (pendapatan isi rumah bawah RM2,589), berbanding hanya diberikan kepada golongan miskin tegar ketika ini (pendapatan isi rumah bawah RM1,295).
Beliau turut berharap agar perlindungan sosial seperti KWSP dan PERKESO diwajibkan termasuk kepada pekerja gig bagi bertindak sebagai jaringan keselamatan yang diibaratkan seperti sebuah trampolin. Sekiranya berlaku sesuatu di luar jangkaan, seperti kematian, kehilangan upaya atau pekerjaan, sistem jaringan keselamatan ini berfungsi bagi terus menyokong kelangsungan hidup golongan pekerja agar tidak terjerumus dalam kemiskinan.
Ulasan terdahulu Ekonomi Rakyat terhadap Laporan ‘Ranjau Sepanjang Jalan’ boleh dibaca di [ sini ]