“ Kalau aku kaya
Hari-hari hari raya”
Demikianlah lirik lagu “Kalau Aku Kaya” nyanyian Altimet dan Awi Rafael yang cukup popular beberapa tahun yang lalu. Boleh dikatakan setiap manusia di dunia sudah pasti mengimpikan untuk menjadi orang kaya. Memiliki kekayaan bukan sahaja memberi kelebihan dari sudut wang, bahkan akan memudahkan hampir segenap aspek urusan kehidupan seseorang.
Baru-baru ini, Forbes mengumumkan senarai 50 individu terkaya di Malaysia bagi tahun 2023. Kekayaan yang dimiliki 50 individu terkaya ini dilaporkan berjumlah AS$81.6 billion (RM376.5 billion), atau bersamaan kira-kira 20% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara tahun lalu iaitu RM1.79 trillion.
Seperti tahun-tahun sebelum ini, senarai ini terus diterajui oleh ‘Raja Gula’ Robert Kuok, yang memiliki kekayaan terkumpul AS$11.8 billion (RM54.53 billion). Kekayaan yang dimiliki Robert Kuok dapat dilihat menerusi pelbagai barangan dan perkhidmatan yang dihasilkan syarikat-syarikat milik beliau, yang seakan-akan berada di segenap aspek kehidupan rakyat Malaysia. Antaranya termasuklah Hotel Shangri-La, Tepung Cap Sauh (FMM Berhad) serta panggung wayang Golden Screen Cinemas (GSC) Sdn Bhd yang bernaung di bawah PPB Group Berhad.
Kedudukan Robert Kuok dalam ranking ini diikuti rapat oleh Quek Leng Chan (AS$10.2 billion), yang merupakan pemilik Hong Leong Bank. Senarai 50 Terkaya Forbes 2023 ini turut menyaksikan kemasukan lima muka baharu, iaitu Chiau Beng Teik (Chin Hin Group), Yun Kuan Chon (YNH Property), Ong Soon Ho (Hextar Group), Goh Nan Kioh (Mega First Corporation Berhad) dan mendiang Teh Hong Piow (Public Bank).
Golongan Terkaya di Malaysia Terus Didominasi Etnik Cina
Pecahan mengikut etnik mendapati 84% atau seramai 42 individu dalam senarai ini datang daripada kaum Cina. Manakala hanya tiga individu masing-masing datang daripada kaum Melayu (Syed Mokhtar AlBukhary, Syed Azman Syed Ibrahim dan Azman Hashim) dan India (Ananda Krishnan, G. Gnanalingam dan Ninian Mogan Lourdenadin). Selebihnya dua individu lagi merupakan etnik Lain-lain (Surin Upatkoon dan Patrick Grove).
Jumlah kekayaan yang dimiliki 50 Terkaya Forbes 2023 ini dilaporkan naik sedikit kepada AS$81.6 billion, berbanding AS$80.5 billion pada tahun sebelumnya. Begitu juga dengan nilai bersih minimum yang diperlukan seseorang individu itu untuk memasuki senarai ini turut naik sebanyak 24% daripada AS$255 juta kepada AS$315 juta. Ini bermaksud jumlah kekayaan yang dimiliki golongan terkaya ini saban tahun semakin meningkat.

Ini disokong oleh perkiraan yang dibuat oleh The Wealth Report 2023 yang diterbitkan firma perundingan hartanah Knight Frank. Menurut laporan ini, seseorang rakyat Malaysia memerlukan kekayaan berjumlah AS$485,00 (RM2.2 juta) untuk memasuki kumpulan 1% tertinggi di negara ini.
Dari satu sudut, kekayaan yang dimiliki individu-individu terkaya ini merupakan satu perkara yang positif kerana ia mencerminkan landskap perniagaan yang terbuka di Malaysia. Jika diteliti, kebanyakan bilionair ini tidaklah menghimpun kekayaan secara ‘atas angin’ begitu sahaja. Kekayaan mereka ini datang daripada pelbagai sumber perniagaan sah yang mendatangkan hasil buat ekonomi negara serta mencipta ribuan peluang pekerjaan buat rakyat Malaysia.
Ada sebahagian nama dalam senarai ini sudah menjadi kaya semenjak berdekad-dekad. Sebagai contoh, Robert Kuok yang sudah memegang takhta individu terkaya di Malaysia semenjak hampir lebih 25 tahun lepas. Robert Kuok yang memasuki umur 99 tahun pada tahun ini juga merupakan bilionair tertua dalam senarai ini.
Cukai Agihan Kekayaan, Apa yang Perlu Kerajaan Buat?
Tidak dinafikan golongan terkaya ini memberi sumbangan yang besar terhadap ekonomi negara. Namun, ini tidak bermaksud Kerajaan perlu berlembut dengan mereka, terutamanya dalam soal pelaksanaan cukai bagi mengagihkan semula kekayaan secara adil. Lebih-lebih lagi, semakin ramai rakyat Malaysia jatuh dalam kemiskinan akibat pandemik COVID-19.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), insiden kemiskinan mutlak naik dari 5.6% (2019) kepada 8.4% (2020). Jumlah isi rumah miskin meningkat 58% kepada 639.8 ribu isi rumah pada tahun 2020, berbanding 405.4 ribu isi rumah pada tahun sebelumnya. Jurang pendapatan antara golongan berpendapatan tinggi dan rendah di Malaysia juga semakin melebar, berdasarkan pekali Gini yang naik 0.407 (2019) kepada 0.411 (0.411).

Kutipan cukai di Malaysia adalah agak rendah, iaitu bersamaan sekitar 11% sahaja daripada KDNK negara, lebih rendah dari purata Asia Pasifik (19.1%). Malah menurut data OECD, nisbah kutipan cukai berbanding KDNK bagi Malaysia pada tahun 2020 adalah antara yang terendah jika dibandingkan dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara seperti Singapura (12.8%), Thailand (16.5%), Filipina (17.8%), Kemboja (20.2%) dan Vietnam (22.7%).
Kutipan cukai yang rendah di Malaysia ini turut ditegur oleh beberapa institusi seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia. Mereka menyarankan Malaysia agar segera bertindak bagi mencari jalan meningkatkan hasil negara demi menjamin kedudukan kewangan yang lebih mampan.
Ada Kekayaan yang Diwarisi Turun-Temurun
Ada sesetengah individu ini menjadi kaya disebabkan mereka mewarisi harta kekayaan yang berbillion ringgit daripada bapa atau datuk mereka. Sebagai contoh, bos YTL Corp, Francis Yeoh yang mewarisi empayar perniagaan tersebut dari bapanya Yeoh Tiong Lay.
Antara bilionair-bilionair lain yang mewarisi kekayaan daripada bapa mereka adalah Lim Kok Thay (Genting), Lee Yeow Chor dan Lee Yeow Seng (IOI Group) dan Quek Leng Chan (Hong Leong) yang mana sejarah empayar perniagaan keluarga beliau bermula di Singapura.
Tidak terkecuali, Lee Oi Hian, CEO syarikat perladangan gergasi, Kuala Lumpur Kepong (KLK) pula mewarisi empayar berkenaan dari bapanya, Lee Loy Seng. Menurut rekod, syarikat-syarikat berkait dengan keluarga mereka telah pun tersenarai sebagai sebahagian syarikat terbesar di Malaysia sejak sekian lama.
Pada tahun 1971 misalnya, Batu Kawan Berhad yang dikuasai keluarga mereka berada di kedudukan ke-8 sebagai syarikat tersenarai terbesar di Malaysia. Keluarga Lee Loy Seng juga mempunyai pegangan di dalam Austral Amalgamated Tin yang merupakan syarikat tersenarai ke-4 terbesar di Malaysia.
Antara solusi yang boleh dipertimbangkan bagi meningkatkan hasil negara serta mengimbangkan agihan kekayaan ialah dengan memperkenalkan cukai tambahan kepada golongan terkaya di negara ini untuk mengimbangi agihan kekayaan. Contohnya, dengan memperkenalkan cukai warisan terhadap kekayaan, harta atau aset yang diwariskan daripada satu generasi kepada generasi yang berikutnya. Lebih-lebih lagi memandangkan kekayaan yang diperolehi ini sebahagian besarnya datang dari sektor-sektor ‘rent-seeking’ serta suntikan modal serta dana yang besar dari Kerajaan.
Baru-baru ini, Malaysia menduduki tempat ketiga dalam indeks Kroni-Kapitalisme 2023 yang diterbitkan oleh The Economist. Indeks ini mengukur kekayaan yang diperoleh oleh golongan plutokrat di sesebuah negara menerusi industri ‘rent-seeking’ dalam tempoh sedekad lepas. Kekayaan yang diraih sektor kroni di Malaysia berjumlah lebih 10% daripada KDNK negara, lebih tinggi berbanding negara-negara lain seperti Mexico, Indonesia dan Mesir.
Beberapa tahun lalu di Korea Selatan, keluarga mendiang Pengerusi Samsung Group, Lee Kun-hee dilapor membayar cukai warisan berjumlah 12 trillion won (AS$10.3 billion) selepas kematian beliau. Meskipun kadar cukai warisan di Korea Selatan setinggi 50%, pelaksanaannya boleh dijelaskan kerana sebahagian besar konglomerat atau ‘chaebol’ ini rata-rata membina empayar perniagaan mereka hasil bantuan dan sokongan Kerajaan. Kutipan cukai warisan di Korea Selatan ini menyumbang lebih 1.5% daripada hasil cukai negara pada tahun 2019, menurut data OECD.
Ura-ura untuk memperkenalkan cukai warisan di Malaysia sudah pun kedengaran sejak bertahun lepas, namun terhenti hanya setakat itu sahaja. Ada sesetengah pihak yang merasakan cukai warisan tidak adil kerana ibu-bapa mereka yang bekerja keras mencari harta kekayaan untuk keluarga, namun di akhirnya Kerajaan pula yang mahu mengambilnya.
Pengenalan cukai-cukai tambahan sebegini merupakan sebuah langkah yang boleh dipertimbangkan memandangkan kadar cukai efektif yang dibayar oleh billionair-billionair ini adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan rakyat biasa. Memetik kajian ahli ekonomi Rumah Putih AS, Greg Leiserson dan Danny Yagan, mereka mendapati 400 individu terkaya dalam senarai Forbes di AS hanya membayar purata cukai pendapatan sebanyak 8.2% antara tahun 2010-2018, lebih rendah berbanding apa yang dibayar oleh sebuah keluarga kelas menengah di negara itu.

Sebenarnya, cukai warisan ini tidaklah perlu diperkenalkan pada kadar yang begitu tinggi seperti di Jepun (55%) atau Korea Selatan (50%). Dalam kalangan negara OECD, cukai warisan di Itali adalah yang terendah, iaitu hanya 4%. Sekiranya Malaysia berhasrat memperkenalkan cukai warisan, bahkan apa-apa jenis cukai sekalipun, langkah yang bijak ialah dengan memperkenalkannya secara beransur-ansur agar semua pihak dapat memahami dan menerimanya dengan lebih terbuka.
Namun, apa yang sering berlaku ialah cukai diperkenalkan pada kadar yang agak tinggi, lantas mendapat kecaman ramai pihak. Contohnya, cukai GST yang diperkenalkan di Malaysia pada 1 April 2015 terus dikenakan pada kadar 6%. Ini jauh lebih tinggi berbanding 3% semasa mula-mula diperkenalkan di Singapura pada tahun 1994, sebelum dinaikkan perlahan-lahan kepada 4% (2003), 5% (2004), 7% (2007), 8% (2023).
Akibatnya, pelaksanaan GST mendapat reaksi negatif sehinggalah ditukar dengan cukai SST pada tahun 2018 oleh Kerajaan baharu pada ketika itu. Pemansuhan cukai GST mengakibatkan Malaysia kehilangan sebuah sistem percukaian yang menjana lebih banyak hasil buat negara. Sebagai perbandingan, kutipan cukai SST sepanjang tahun 2019 ialah sebanyak RM27.5 billion. Namun, kutipan cukai GST selama sembilan bulan sahaja, iaitu dari Januari hingga September 2017 adalah lebih tinggi, iaitu sebanyak RM29.8 billion.
Ironinya, memperkenalkan cukai GST seolah-olahnya lebih mudah berbanding mengenakan cukai kepada golongan kaya. Meskipun ramai yang terkesan akibat pandemik COVID-19, ada sesetengah billionair ini mengaut keuntungan besar, terutamanya dalam industri kesihatan dan sarung tangan getah. Lantaran itu, Kerajaan mengenakan cukai durian runtuh atau Cukai Makmur terhadap mereka. Namun, pelaksanaan cukai ini mendapat respon yang negatif daripada kalangan pemain industri, kerana dikatakan mengganggu peluang perniagaan dan pelaburan.
Mungkin golongan terkaya ini boleh mencontohi inisiatif yang telah dibuat oleh billionair-billionair di negara-negara maju. Contohnya, baru-baru ini sekumpulan ahli ekonomi, aktivis, ahli politik dan jutawan dari tujuh buah negara Eropah menandatangani Inisiatif Rakyat Eropah (ECI). Memorandum ini mencadangkan Kesatuan Eropah (EU) agar melaksanakan sebuah sistem cukai kekayaan tahunan secara tetap. Langkah ini bagi bagi membolehkan lebih banyak hasil dapat dikutip untuk menangani isu kemiskinan dan perubahan iklim.
Mungkin di akhirnya, persoalan agihan kekayaan tidaklah hanya sebuah persoalan materialistik semata-mata. Namun apa yang lebih jauh untuk difikirkan ialah semangat patriotisme dan kekitaan yang lebih mendalam bagi memastikan kekayaan dapat dikongsi secara lebih adil dengan semua rakyat Malaysia agar tiada siapa yang tercicir.
Senarai golongan terkaya yang dikeluarkan oleh Forbes juga perlu diambil ” with a pinch of salt ” kerana banyak kekayaan-kekayaan golongan elit ini tidak dapat dikesan kerana aset yang berada di dalam kawalan mereka tidak boleh diakses orang ramai. Perkara ini berlaku sama ada mereka tidak mengisytiharkannya atau kekayaan tersebut disorok di akaun luar pesisir seperti mana yang pernah didedahkan Kertas Pandora suatu ketika dahulu. Berbeza dengan pendekatan Forbes, kekayaan golongan terkaya di Malaysia ini dinilai melalui pegangan mereka di syarikat-syarikat tersenarai di pasaran saham.