Scalpers (Ulat Tiket) – Satu Malapetaka Buat Pengguna

Share it

Tik…tik…tik halus kedengaran bunyi jarum saat jam bergerak. Anda sudah berada di hadapan komputer riba sejak 30 minit yang lepas menunggu beberapa minit sahaja lagi sebelum portal tiket konsert artis kegemaran anda dibuka. Laman sesawang yang sama turut dibuka di telefon pintar yang digenggam erat di sebelah tangan kiri.

Tiga minit, dua minit, satu minit, 10 saat…Tepat jam 12 tengahari portal tersebut dibuka. Berbekalkan adrenalin yang tinggi, anda bergerak pantas dengan mengklik tiket yang mahu dibeli dan memilih slot tempat duduk yang diinginkan

Hati menjadi teruja memikirkan konsert tersebut, namun tetap resah dan gelisah dengan seribu satu harapan agar urusan pembelian tiket ini lancar.

Namun, tanpa diduga tiba-tiba laman sesawang tiket itu tergendala apabila anda mahu membuat pembayaran. 

Dengan berdebar-debar anda klik berulang kali butang ‘refresh’. Klik, klik, klik… Perhatian dialihkan pula kepada telefon pintar dengan harapan agar pembelian boleh dibuat menerusi telefon pintar pula.

Namun sama sahaja, beberapa minit sudah pun berlalu.

Apabila akhirnya anda berjaya memasuki semula laman sesawang itu, jualan tiket telah habis. Alangkah malangnya nasib….

Hiburan, satu perkara yang tidak asing dalam kehidupan seseorang manusia. Hiburan sering dijadikan sebuah ‘escapisme’ untuk lari sebentar daripada dunia realiti. Hiburan wujud dalam pelbagai jenis bentuk yang lazimnya berunsurkan sukan atau kesenian.

Saban tahun, industri hiburan menjana berbillion-billion ringgit terhadap ekonomi negara. Memetik data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sub-sektor kesenian, hiburan dan rekreasi menjana output kasar bernilai RM11.0 billion pada tahun 2021, kira-kira 0.71% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia yang berjumlah RM1.55 trillion. 

Pecahan mengikut aktiviti mendapati output kasar bagi sub-sektor ini disumbangkan sebahagian besarnya oleh sukan dan rekreasi (88.7%), diikuti muzium, hiburan dan kebudayaan (8.9%). Aktiviti kesenian, hiburan dan kreatif mencatatkan output kasar yang terendah sebanyak RM0.3 billion, atau 2.4% sahaja daripada keseluruhan output kasar sub-sektor ini. Persembahan secara langsung atau ‘live’ seperti konsert, opera dan teater tergolong dalam aktiviti kesenian, hiburan dan kreatif ini.

Di negara ini, sistem ekonomi dan urusan jual beli lazimnya dijalankan secara terbuka, dengan pemantauan berkala pihak berkuasa menerusi bidang kuasa masing-masing serta undang-undang sedia ada. Antara kelebihan yang wujud pada sistem ekonomi pasaran terbuka atau ‘free market’ ialah kebebasan yang diberikan kepada mana-mana individu untuk membeli barangan yang dijual dalam pasaran secara sah, asalkan tidak melanggar undang-undang yang ditetapkan. Perkara ini membolehkan sesiapa sahaja dibenarkan untuk terlibat dalam aktiviti jual beli dalam ekonomi.

Namun, pasaran ini tidaklah sempurna, lebih-lebih lagi dengan sikap pengguna yang kadangkala sukar dijangka, walaupun secara teorinya mereka ini diandaikan bersikap rasional. Kelemahan yang ada pada sistem ekonomi ini menyebabkan sesetengah golongan mudah mengambil kesempatan dengan membolot sumber-sumber yang terhad demi keuntungan diri sendiri semata-mata tanpa menghiraukan orang lain.

Bagaimana Golongan ‘Scalpers’ Mengambil Kesempatan?

Misalnya, baru-baru ini tular di akhbar dan media sosial mengenai jualan tiket konsert jelajah Coldplay: Music of the Spheres World Tour yang habis terjual dalam masa yang begitu singkat. Tidak lama selepas itu, ada sebahagian tiket-tiket ini dijual semula dengan harga yang berkali ganda lebih mahal berbanding harga asal. Misalnya, harga tiket termurah, iaitu RM228 (AS$67), dilapor telah dijual semula pada harga RM1,749, lapan kali ganda lebih tinggi dari harga asal, menurut akhbar The Star.

Ini bukanlah pertama kali masalah ini terjadi. Bahkan, konsert-konsert yang dijalankan sebelum ini di Malaysia melibatkan artis-artis ternama seperti Ed Sheeran dan BLACKPINK turut dicemari dengan insiden penjualan semula oleh golongan yang disebut sebagai ‘scalpers’ atau ‘ulat tiket’ ini. Bukan setakat konsert, bahkan jualan barangan dan perkhidmatan lain seperti konsol permainan PlayStation®5 dan Kad NFC Touch ‘n Go juga tidak dapat lari dari menjadi mangsa kerakusan golongan ‘scalpers’ ini.

Antara taktik yang sering digunakan ‘scalpers’ dalam merebut slot pembelian atas talian ialah dengan menggunakan bot. Meskipun secara kebiasannya laman sesawang jualan mewajibkan setiap pembeli melengkapkan verifikasi manusia seperti sistem CAPTCHA (Completely Automated Public Turing Test to Tell Computers and Humans Apart), bot-bot yang digunakan ‘scalpers’ ini cukup bijak, terutamanya dalam memanipulasi alamat protokol Internet (IP) sehingga kelihatan seolah-olah dimiliki oleh individu-individu sebenar. 

Tidak cukup dengan itu, penggunaan bot-bot ini pada jumlah yang begitu banyak dalam satu masa yang sama menyebabkan laman sesawang jualan menjadi sesak, perlahan atau tidak berfungsi. Penggunaan bot-bot ini membolehkan ‘scalpers’ bergerak lebih pantas dalam merebut membeli tiket dalam kuantiti yang banyak berbanding pengguna biasa. Akibatnya, pengguna biasa yang penuh keterujaan setia menanti jualan tersebut tidak dapat membuat pembelian yang diidam-idamkan.

Golongan ‘Scalpers’ Wujud Kerana Terdapat Permintaan?

Namun, jika diperhatikan dengan lebih mendalam, golongan ‘scalpers’ ini wujud kerana terdapat permintaan. Ada sesetengah individu yang mungkin dikategorikan sebagai ‘die-hard fans’ ini tidak kisah sekiranya mereka terpaksa berbelanja ribuan ringgit, berkali ganda lebih mahal berbanding harga sebenar, asalkan mereka dapat apa yang mereka mahukan. Kewujudan ‘scalpers’ serta keinginan membuak pembeli-pembeli ini menyebabkan isu ini sukar ditangani kerana permintaan sentiasa ada.

Walaubagaimanapun, perkara ini tidaklah boleh disalahkan sepenuhnya kepada peminat-peminat yang sanggup membeli pada harga yang mahal ini. Hal ini kerana umum diketahui Malaysia bukanlah sebuah negara pilihan utama apabila artis-artis ternama ini mahu mengadakan siri jelajah konsert, berbanding negara-negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Thailand. 

Sebagai contoh, sebuah band rock dari UK, Artic Monkeys yang telah melangsungkan konsert jelajah Asia sekitar Februari hingga Mac tahun ini. Band ini mengadakan konsert di Singapura, Hong Kong, Filipina, Thailand, Jepun dan Indonesia, tetapi tidak di Malaysia. Begitu juga dengan Taylor Swift, penyanyi yang cukup popular dengan lagu-lagu hits seperti Love Story, Anti-Hero dan All Too Well, yang bakal mengadakan konsert selama enam hari di Stadium Nasional Singapura pada awal Mac tahun hadapan. Singapura merupakan satu-satunya negara Asia Tenggara yang menjadi destinasi pilihan konsert jelajah Taylor Swift bagi kalendar tahun 2024.

Disebabkan inilah ada sesetengah golongan yang tidak kisah mahu membayar harga yang mahal, kerana mereka merasakan konsert-konsert ini jarang diadakan di Malaysia, berbanding di negara-negara jiran yang lain.

Undang-Undang Lebih Tegas Diperlukan bagi Tangani Isu ‘Scalpers

Bapa ekonomi moden Adam Smith, yang mempopularkan teori ekonomi klasik pasaran bebas, percaya bahawa setiap manusia mempunyai kepentingan diri atau ‘self-interest’. Menurut beliau, ‘self -interest’ inilah yang menjadi kuasa ‘tangan ghaib’ atau ‘invicible hand’ yang akan menggerakkan aktiviti ekonomi. Beliau berhujah kerana setiap manusia sudah tentu mahukan yang terbaik untuk diri sendiri; pembeli mahukan barangan yang berkualiti, penjual mahu meraih keuntungan. Maka, beliau percaya peranan Kerajaan dalam ekonomi sepatutnya terhad sahaja kerana dikhuatiri akan menjejaskan pasaran bebas ini dari berfungsi secara optimum.

Namun, hakikatnya ‘self-interest’ yang melampau menyebabkan timbulnya pelbagai masalah yang lebih rumit dalam pasaran, termasuklah isu golongan ‘scalpers’ ini yang lebih mementingkan keuntungan semata-mata. Maka, peranan Kerajaan diperlukan untuk mengawal selia daripada perkara ini terus berlaku. Tanggungjawab serta akauntabiliti juga harus dipikul pihak pengurusan jualan tiket bagi memastikan insiden sebegini setidak-tidaknya dapat dikawal dengan baik. Sebagai contoh, Ticketmaster Entertainment, sebuah syarikat jualan tiket atas talian di Amerika Syarikat, yang memberi jaminan akan membatalkan tiket sekiranya didapati dijual semula di pasaran.

Di Malaysia malangnya, tiada akta atau undang-undang khusus untuk mengawal aktiviti penjualan semula oleh golongan ‘scalpers’ ini. Hanya baru-baru ini sahaja Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Kementerian Komunikasi dan Digital mengeluarkan kenyataan bahawa sebuah rang undang-undang baharu akan digubal untuk mengatasi masalah ini. 

Penggubalan rang undang-undang ini sememangnya diperlukan bukan sahaja untuk memelihara pengguna, bahkan untuk memastikan urusan penganjuran konsert di negara ini tidak dipenuhi dengan pelbagai isu yang berisiko menyebabkan Malaysia terus dipinggirkan dari menjadi destinasi pilihan penganjuran konsert artis-artis ternama.

Di Amerika Syarikat, Akta Better Online Ticket Sales (BOTS) yang berkuat kuasa sejak tahun 2016 diluluskan bagi menghalang mana-mana individu atau organisasi dari menggunakan bot-bot bagi membeli tiket-tiket yang dijual atas talian secara pukal, lalu dijual berkali ganda lebih mahal. Akta di bawah kawal selia Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan AS ini menetapkan denda sebanyak AS$16,000 (RM74,656) kepada pesalah.

Manakala di Australia, akta Fair Trading 1987 dipinda dengan memasukkan sebuah undang-undang khusus yang menyentuh isu ‘scalpers’, diberi nama Fair Trading (Ticket Scalping) Amendment Act 2018. Menerusi pindaan akta ini, mana-mana pihak dilarang untuk menjual semula tiket pada harga yang melebihi 110% daripada kos asal tiket tersebut. Sekiranya didapati bersalah, denda ialah sebanyak A$100,000 (RM312,508) kepada korporat, serta A$20,000 (RM62,501) kepada individu.

Penjualan semula tiket, atau apa-apa barangan dan perkhidmatan sebenarnya tidaklah salah sekiranya dijual pada harga yang wajar. Hal ini kerana sememangnya konsep dan amalan penjualan semula ini wujud dalam sistem ekonomi, digelar sebagai pasaran sekunder. Namun, apa yang menjadi masalah ialah apabila jualan tersebut dieksploitasi pada harga yang terlampau mahal. Lebih memburukkan keadaan apabila pihak berkuasa gagal memainkan peranan dalam mengawal selia aktiviti-aktiviti sebegini. Masalah ini juga terus berlaku kerana wujudnya ‘wiling seller’ yang sanggup menekan harga tiket dengan melampau, serta dalam masa sama ‘willing buyer’ yang rela membayar harga mahal demi sebuah pengalaman yang dirasakan tidak dapat dilepaskan seumur hidup.

Tanpa kawal selia yang baik, industri kesenian, hiburan dan kreatif akan selamanya tidak mampu bersaing dengan negara-negara jiran lain. Potensi industri ini untuk menjana hasil yang signifikan buat negara juga bakal terjejas.