September 1945 merupakan tarikh penting yang menyaksikan berakhirnya Perang Dunia Kedua. Pada ketika itu, dua negara besar dalam Kuasa Paksi, iaitu Jepun dan Jerman menyerah kalah kepada Kuasa Bersekutu yang terdiri daripada kuasa besar Amerika Syarikat, Empayar British, Perancis dan Rusia.
Penamatan Perang Dunia Kedua turut menyaksikan perubahan ketara dalam polisi luar yang diamalkan negara-negara kuasa besar dunia pada ketika itu. Jika sebelum dan semasa Perang Dunia Kedua, kebanyakan negara ini mengambil sikap imperialisme dengan menjajah serta mengeksploitasi hasil bumi negara-negara lain demi mengaut keuntungan semata-mata.
Namun, selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua, negara-negara kuasa besar ini mula melaksanakan apa yang disebut sebagai ‘perintah dunia baru’ atau new world order bagi memulihkan ekonomi pasca peperangan serta memastikan keamanan global dapat terus dipertahankan.
Pada ketika inilah pertubuhan-pertubuhan global seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mula dibentuk selepas Persidangan Bretton Woods 1944 untuk menjayakan agenda ‘perintah dunia baru’ ini.
23 buah negara juga telah menandatangani Perjanjian Umum Mengenai Tarif dan Perdagangan (GATT) pada tahun 1947 untuk menggalakkan perdagangan antarabangsa dengan mengurangkan atau menghapuskan halangan-halangan untuk berdagang seperti tarif atau kuota. GATT menjadi asas kepada pembentukan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) pada tahun 1995.
Liberalisme: Era Baharu Dunia Pasca Peperangan
Polisi negara-negara kuasa besar ini mula berubah daripada pendekatan imperialisme kepada liberalisme. Mereka mula perlahan-lahan melepaskan cengkaman dan mula menyokong usaha-usaha ke arah kemerdekaan negara-negara yang dijajah.
Malaysia, atau Persekutuan Tanah Melayu pada ketika itu, turut tidak terkecuali apabila Empayar British mula membenarkan urusan pentadbiran negara dijalankan oleh pemimpin-pemimpin tempatan pada ketika itu. Sebuah pilihan raya peringkat Persekutuan Tanah Melayu telah dijalankan pada tahun 1955 untuk memilih anggota Majlis Perundangan Persekutuan.
Namun, peperangan yang disangka-sangka sudah berakhir bertukar wajah menjadi peperangan bersifat halus, atau lebih popular sebagai ‘Perang Dingin’ antara Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet. Selepas tamat Perang Dunia Kedua, kedua-dua kuasa besar ini berlumba-lumba dalam segenap aspek politik, ekonomi, sains, teknologi bahkan sukan untuk menunjukkan siapakah paling jaguh dalam menyebarkan panji ideologi masing-masing.
Dunia pada ketika itu seakan-akan terpisah antara ideologi kapitalisme (Amerika Syarikat) vs sosialisme (Kesatuan Soviet). Apa yang lebih menyedihkan, pertembungan ideologi ini turut mengakibatkan peperangan saudara atau pemisahan sempadan di beberapa buah negara seperti Korea, Vietnam dan Jerman.
Dari sudut positifnya, dunia pasca Perang Dunia Kedua adalah secara relatifnya lebih aman dan tenteram. Kestabilan politik global yang perlahan-lahan dikecapi membantu merancakkan kembali ekonomi, terutamanya dari sudut perdagangan. Sebagai contohnya, jumlah perdagangan antarabangsa meningkat dari AS$56.4 billion (1950) kepada AS$127.2 billion (1960), menurut data WTO.
Pelbagai perjanjian perdagangan bebas menyusul pasca Perang Dunia Kedua, bertujuan mencipta sebuah dunia yang saling berhubung, selaras dengan konsep globalisasi dan keterbukaan perdagangan (trade openness) yang begitu popular pada ketika itu. Ada antara perjanjian ini yang bersifat dua hala (bilateral) atau pelbagai hala (multilateral).
Secara konsepnya, perjanjian perdagangan bebas atau Free Trade Agreement (FTA) merujuk kepada kerjasama yang terjalin antara dua atau lebih negara untuk membentuk sebuah kawasan bebas dagang. Lazimnya, halangan-halangan perdagangan seperti kuota, tarif atau cukai import akan dikurangkan atau dimansuhkan antara negara-negara ini bagi menggalakkan lebih banyak aktiviti perdagangan.
Perjanjian Perdagangan Bebas: Sebuah Wayang Negara Kuasa Besar?
Namun, persoalannya, sejauh manakah perdagangan bebas ini benar-benar bebas? Ataupun adakah ia hanyalah satu bentuk penjajahan baharu atau neo-colonialism yang digerakkan negara-negara kuasa besar ini bagi menjamin penguasaan mereka dalam ekonomi global?
Hal ini kerana jika diteliti kebanyakan perjanjian perdagangan bebas ini dipelopori oleh negara-negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat, UK dan Jepun, yang sering menggunakan kelebihan ekonomi yang dimiliki mereka untuk ‘memancing’ penyertaan negara-negara ekonomi lebih kecil.
Kebiasaannya, pelbagai janji manis akan ditabur seperti harga import yang lebih murah, akses kepada barangan dan perkhidmatan yang lebih berkualiti, perkongsian tenaga buruh mahir serta kepakaran teknologi. Negara-negara kecil ini turut dijanjikan bahawa ekonomi mereka akan bertambah maju hasil penyertaan dalam perjanjian perdagangan bebas bersama negara-negara kuasa besar ini.
Meskipun perdagangan bebas ini menjanjikan peluang dan akses perdagangan yang lebih terbuka buat negara-negara peserta, hakikatnya kelebihan sudah tentu akan lebih banyak diperolehi oleh negara-negara kuasa besar ini berbanding negara-negara kecil.
Memetik kajian daripada Arnold (2006), beliau berkata bahawa polisi Amerika Syarikat seolah-olah ‘mengikat’ rakan dagang mereka untuk menyertai perjanjian perdagangan bebas. Taktik yang biasa digunakan Amerika Syarikat ialah dengan mencipta sebuah persepsi bahawa negara-negara ini akan rugi dan terlepas peluang sekiranya mereka tidak mahu menyertai perjanjian perdagangan bebas ini. Akibatnya, ada sesetengah negara ini yang menjadi terlalu bergantung kepada Amerika Syarikat.
Dennis Arnold yang turut berkhidmat sebagai Pensyarah Kanan di University of Amsterdam memetik contoh Mexico yang menyertai Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika Utara (NAFTA) pada tahun 1994 bersama Kanada dan Amerika Syarikat. Melalui NAFTA, eksport Mexico meningkat tiga kali ganda daripada AS$67.5 billion (1993) kepada AS$187.4 billion (2002). Sejumlah AS$124 billion pelaburan langsung asing (FDI) diterima Mexico dalam tempoh yang sama, majoritinya dari Amerika Syarikat.
Meskipun tidak dinafikan Mexico berjaya menikmati prestasi ekonomi yang lebih baik hasil perjanjian ini, Mexico menjadi terlalu bergantung terhadap Amerika Syarikat. Sebagai contoh, 65% import Mexico datang dari Amerika Syarikat menurut kajian Arnold ini. Manakala, hampir 89% eksport Mexico dihantar ke Amerika Syarikat.
Lebih malang, kebergantungan yang tinggi terhadap Amerika Syarikat menyebabkan taraf sosioekonomi Mexico gagal ditambah baik. Hal ini kerana perjanjian perdagangan bebas sebegini secara tidak langsung menjadi sebuah bentuk eksploitasi moden oleh negara-negara maju.
Secara kebiasaannya, pengeluaran syarikat-syarikat negara maju ini akan dipindahkan ke negara-negara yang mundur atau sedang membangun ini bagi memaksimumkan keuntungan mereka menerusi kos buruh yang murah. Akibatnya, gaji di negara-negara ini kekal rendah, serta menyebabkan industri mereka terus terperangkap dalam pengeluaran ‘labour-intensive’ yang berteknologi rendah.
Perkara ini dibuktikan apabila KDNK per kapita sebenar Mexico pada tahun 2003 (127,519 peso Mexico) adalah hampir sama sahaja berbanding lebih dua dekad yang lepas, iaitu 113,381 peso Mexico pada tahun 1980. Purata kadar pertumbuhan ekonomi tahunan sepanjang tempoh NAFTA dalam kajian Arnold ini hanyalah didapati sekitar 1% sahaja.
Setelah hampir 20 tahun berada dalam NAFTA, Mexico gagal mencapai tahap ekonomi yang dijanjikan semasa awal penyertaan mereka dahulu. Perjanjian ini yang lebih memihak kepada Amerika Syarikat menyebabkan rakyat Mexico berasa kurang senang, lantas memaksa perjanjian NAFTA ini diubah suai beberapa tahun yang lepas.
Negara-negara maju di Barat yang sejak sekian lama menjadi jaguh dalam mempromosikan perdagangan bebas juga nampaknya semakin meninggalkan konsep ini apabila merasakan kedudukan ekonomi mereka terancam, terutamanya dengan kehadiran kuasa ekonomi besar baharu seperti China.
Sebagai contoh, Amerika Syarikat melancarkan siri perang dagang dengan mengenakan tarif terhadap barangan yang diimport dari China ketika pentadbiran Presiden Donald Trump. Malah sehingga ke saat ini, Amerika Syarikat masih mengenakan sekatan eksport terhadap beberapa jenis barangan ke China, terutamanya produk teknologi seperti cip, atas alasan “keselamatan negara”. Begitu juga dengan UK yang telah mengambil keputusan untuk keluar dari Kesatuan Eropah (EU) melalui langkah Brexit pada awal 2020 kerana merasakan tidak beruntung untuk terus kekal lama berada dalam EU.
Meskipun keterbukaan perdagangan wajar diteruskan bagi manfaat-manfaat yang bakal diperolehi, ini tidak bermakna sesebuah negara itu perlu sewenang-wenangnya memasuki perjanjian perdagangan bebas bersama negara-negara maju lain. Hal ini kerana jika diteliti terdapat beberapa buah negara yang mengamalkan dasar perdagangan perlindungan (trade protectionism), namun masih berjaya mencapai status negara maju. Antara negara-negara tersebut ialah Korea Selatan dan Jepun, yang mengamalkan dasar perdagangan perlindungan sekitar tahun 1960an.
Antara tujuan utama dasar ini dijalankan ialah untuk menyokong pertumbuhan industri tempatan. Tanpa dasar perdagangan perlindungan, produk-produk yang dihasilkan syarikat tempatan akan berhadapan dengan persaingan yang hebat, lebih-lebih lagi daripada negara maju yang sudah tentunya memiliki kemahiran dan kepakaran untuk menghasilkan produk yang lebih baik. Sekiranya ini berlaku, produk tempatan tidak berpeluang untuk berkembang serta mencapai kualiti yang baik sehingga dapat dikomersialkan di peringkat antarabangsa.
Sekitar sedekad yang lepas, Malaysia pernah digegarkan dengan kontroversi Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri Najib Razak. Perjanjian TPPA ini pada asalnya dianggotai oleh 12 buah negara termasuklah Australia, Brunei, Canada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Vietnam, Amerika Syarikat dan Malaysia.
Perjanjian ini penuh kontroversi kerana dikatakan mampu mengancam banyak elemen melibatkan kos perubatan, paten, harta intelek, alam sekitar, hak pekerja, pertanian, pemilikan Kerajaan dalam syarikat korporat dan sebagainya.
Pada ketika itu, tokoh ekonomi, Prof Dr Jomo Kwame Sundaram telah menggesa Malaysia menolak dari menyertai Perjanjian TPPA. Beliau berpandangan perjanjian ini tidak akan mendatangkan manfaat yang signifikan kepada negara. Menurut beliau, unjuran impak ekonomi yang dibuat oleh Model Polisi Global PBB terhadap Perjanjian TPPA mendapati bahawa perjanjian ini akan membawa kepada kehilangan pekerjaan yang besar serta peningkatan ketidaksamarataan dalam negara.
Perjanjian ini bagaimanapun tidak berjaya diteruskan setelah Presiden Donald Trump membuat keputusan untuk menarik penyertaan AS. Namun, idea perjanjian ini tidak terhenti di situ kerana saki baki negara yang tinggal bersepakat untuk meneruskannya menerusi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP). Meskipun CPTPP ini turut ditolak sesetengah pihak, termasuk oleh Prof Jomo sekali lagi, ia tetap diteruskan juga.
Apa yang berlaku terhadap Mexico sepatutnya menjadi sebuah pengajaran bagi Malaysia supaya lebih berhati-hati dalam membuat keputusan menyertai mana-mana perjanjian perdagangan bebas. Hal ini bagi mengelakkan Malaysia daripada terjerumus ke dalam masalah ekonomi yang lebih besar kelak, sepertimana yang melanda Mexico.