Di kala muda…. Mendapat biasiswa untuk melanjutkan pengajian ke menara gading merupakan antara salah satu cita-cita setiap pelajar. Pada kebiasaannya, pelajar-pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan meletakkan sasaran untuk meraih keputusan yang cemerlang agar dapat melepasi kelayakan yang ditetapkan untuk memohon biasiswa.
Seperti kebanyakan pelajar yang lain, biasiswa yang diidam-idamkankan sudah semestinya yang dapat menempatkan mereka ke universiti-universiti ternama di luar negara seperti di United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Kanada mahupun New Zealand.
Ada juga sebilangan kecil pelajar yang mengharapkan untuk melanjutkan pengajian di negara-negara non English-speaking countries seperti di Korea Selatan, Jepun, Perancis ataupun Jerman.
Bagi sebahagian besar pelajar, terutamanya dari keluarga berpendapatan rendah, biasiswa boleh diibaratkan sebagai satu tiket yang boleh membantu mereka mengejar cita-cita melanjutkan pengajian tinggi dek kerana kekangan kewangan yang dialami. Namun bagi sekumpulan pelajar yang lain, terutamanya mereka yang datang dari keluarga berpendapatan tinggi, biasiswa tidaklah dipandang sebagai sebuah bantuan yang diperlukan mereka. Sebaliknya, biasiswa dianggap satu anugerah berprestij yang perlu diraih sebagai simbolik pencapaian cemerlang mereka dalam akademik.
Meraih biasiswa-biasiswa berprestij seperti biasiswa Yayasan Khazanah, Bank Negara ataupun Maybank merupakan pencapaian yang boleh dikatakan membanggakan buat mereka.
Persoalannya, adakah pelajar dari latar belakang status sosioekonomi (SES) yang tinggi wajar untuk bersaing dalam merebut bisiswa dengan pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik?
Mengulas isu ini, Puan Shakira Teh berpendapat tidak wajar untuk pelajar-pelajar dari keluarga berpendapatan tinggi untuk bersaing merebut biasiswa dengan pelajar-pelajar dari keluarga berpendapatan rendah, ujar beliau ketika diwawancara Ekonomi Rakyat pada 6 Mei lalu di Sasana Kijang.
Shakira yang merupakan seorang calon Ijazah Falsafah Kedoktoran (PhD) dari Institute of Education, University College London menjelaskan dari sudut definisinya, biasiswa merujuk kepada bantuan yang diberikan untuk membiayai kos pengajian bagi seseorang pelajar.
” Kalau kita tengok maksud biasiswa itu sendiri, ia bermaksud wang yang diberikan kepada pelajar untuk membiayai atau membantu pelajaran pelajar-pelajar tersebut. Maka, ia adalah sebuah bantuan. Jadi sewajarnya, diberikan kepada mereka yang memerlukan berbanding mereka yang layak “
Shakira turut membuat analogi peruntukan perbelanjaan terhadap biasiswa yang berasaskan meritokrasi ini dengan perbelanjaan subsidi minyak yang mana banyak memberi manfaat kepada golongan-golongan berpendapatan tinggi. Fenomena sebegini sekaligus menyumbang kepada jurang kelas.
” Perbelanjaan untuk biasiswa ini pada saya sama dengan konsep dengan perbelanjaan subsidi minyak. Kalau kita tengok subsidi minyak di Malaysia ini, kebanyakannya diterima oleh golongan-golongan berpendapatan tinggi. Sama juga jika kita memberikan biasiswa secara meritokrasi, akhirnya kebanyakan pelajar yang akan menerima biasiswa adalah golongan pelajar-pelajar yang sudah pada asasnya mampu untuk membiayai pelajaran mereka sendiri di peringkat universiti. Ini juga menyumbang kepada jurang kelas “
Di Malaysia, statistik mengenai pecahan penerima biasiswa mengikut pendapatan amat terhad. Namun petikan kajian yang dibuat oleh Mehmet & Yip pada tahun 1985 menunjukkan 25.5% pelajar yang menerima biasiswa datang dari keluarga berpendapatan tinggi, iaitu isi rumah yang berpendapatan melebihi $1,000 sebulan meskipun saiz populasi keseluruhan kumpulan ini hanyalah 10.3%.
Manakala hanya 12.3% penerima biasiswa datang dari keluarga berpendapatan rendah (kurang dari $300 sebulan), walaupun saiz populasi kumpulan ini hampir menyamai separuh (49.4%) populasi Malaysia pada ketika itu.
Terdapat banyak kajian dari seluruh pelusuk dunia menunjukkan pelajar-pelajar yang datang dari keluarga berstatus sosioekonomi yang tinggi memperoleh banyak kelebihan berbanding pelajar-pelajar dari keluarga dengan status sosioekonomi yang rendah.
Nutrisi makanan yang berkhasiat, akses pendidikan di rumah serta kualiti sekolah yang baik merupakan antara faktor-faktor yang memberikan kelebihan kepada anak-anak keluarga berpendapatan tinggi dalam mencapai keputusan yang cemerlang di dalam peperiksaan mereka.
Shakira menjelaskan bahawa sistem meritokrasi turut dikritik sebilangan pihak kerana ia terlalu memberi penekanan terhadap aspek credentialism, yang membawa maksud kepercayaan atau kebergantungan terhadap prestasi akademik ataupun kelayakan yang dimiliki bagi mengukur tahap kebijaksanaan serta kemampuan seseorang itu dalam melakukan sesuatu pekerjaan.
” Bila ada sistem meritokrasi, salah satu kritikan adalah dia memberi penekanan terhadap credentialism. Disebabkan itu, ia menerangkan sebab mengapa sedikit sebanyak ramai orang nakkan kelayakan tersebut. Jadi kelayakan credentialism ini termasuklah sama ada kita pernah pergi ke sekolah berprestij atau sama ada kita penerima biasiswa ataupun sama ada kita belajar di universiti-universiti elit. Itu semua adalah hasil daripada masyarakat meritokrasi. “
Situasi ini sering berlaku terutamanya di alam pekerjaan. Di Amerika Syarikat misalnya, bank-bank pelaburan dilaporkan banyak mengambil graduan lepasan universiti-universiti elit bekerja bersama mereka. Menurut syarikat perundingan sumber manusia, SHL pada tahun 2021, 21.16% pekerja-pekerja Goldman Sachs di Amerika Syarikat merupakan graduan lepasan univeristi-universiti Ivy League.
Di Malaysia juga, ada sesetengah syarikat yang dikatakan memberi keutamaan kepada graduan-graduan luar negara, terutamanya dari universiti-universiti Ivy League dan Russel Group untuk bekerja bersama mereka.
Mengulas lanjut mengenai isu meritokrasi, Shakira walaubagaimanapun memahami mengapa sebilangan penaja, terutamanya penaja korporat, menekankan aspek meritokrasi di dalam pemberian biasiswa terhadap pelajar-pelajar yang ditaja mereka.
Menurut beliau, sebilangan syarikat korporat menganugerahkan biasiswa agar dapat melahirkan pelapis-pelapis baru untuk menerajui organisasi mereka apabila tamat pengajian kelak. Oleh yang demikian, adalah penting untuk pelapis-pelapis ini dipilih dari kalangan mereka yang terbaik mengikut sistem meritokrasi, jelas Shakira.
” Biasiswa-biasiswa ini tidak kiralah sama ada biasiswa Kerajaan ataupun biasiswa tajaan korporat, lazimnya digunakan sebagai satu alat pengurusan Sumber Manusia (HR). Jadi kalau di sektor korporat, memang biasanya selepas pelajar itu tamat belajar, mereka akan masuk dan bekerja dengan syarikat tersebut “
Internship/Latihan Industri Turut Menyumbang Kepada Ketidaksamaan
Ketika ditanya mengenai isu jurang ketidaksamaan dalam masyarakat di Malaysia, Shakira menjelaskan bahawa isu perpecahan kelas ini bukan sahaja berlaku di sekolah tetapi juga di dalam peringkat internship/latihan industri itu sendiri. Menurut beliau, kelebihan yang dimiliki dari sudut ekonomi dan geografi (tempat tinggal) akan menentukan sama ada seseorang pelajar itu berpeluang untuk mendapatkan internship ataupun tidak.
” Kebanyakan peluang-peluang (internship/latihan industri) ini berada di bandar-bandar besar seperti di KL, Pulau Pinang, ataupun Johor. Jadi kita tahu secara amnya mereka yang tinggal di bandar-bandar besar ini secara agregatnya lebih baik dari segi sosioekonominya berbanding mereka yang tinggal di luar bandar. “
Beliau juga memetik beberapa kajian yang meneliti pengalaman internship yang dirasai pelajar-pelajar dari keluarga berpendapatan rendah di dalam institusi-insitusi pembelajaran bertaraf elit. Menurut Shakira, pengalaman internship yang dialami oleh pelajar-pelajar ini adalah tidak serupa meskipun mereka berada di dalam institusi pembelajaran yang sama dengan pelajar-pelajar yang datang dari keluarga yang mempunyai status sosioekonomi lebih tinggi.
” Di universiti yang berprestij itu sendiri, peluang latihan industri tidaklah sama rata kepada semua pelajar. Pelajar-pelajar dari keluarga berpendapatan rendah seperti di Harvard misalnya, pada waktu cuti mereka perlu bekerja untuk membayar yuran-yuran pengajian. Kena balik tolong keluarga. Jadi peluang latihan industri (yang relevan dengan bidang mereka) itu tidak ada kepada mereka walaupun mereka sudah berada di dalam tempat-tempat pembelajaran yang elit
“Ada buku oleh Anthony Jack yang menunjukkan memang kalau di dalam universiti berprestij di Amerika Syarikat, pengalaman yang dialami oleh pelajar-pelajar adalah berbeza. Dan apa yang membezakan adalah latar belakang sosioekonomi pelajar itu sendiri “
Di serata dunia, tempat dimana seseorang pelajar itu menjalankan latihan industri merupakan satu aspek penting yang akan membantu mereka mendapatkan pekerjaan tetap setelah tamat belajar. Perkara ini ditambah lagi dengan penggunaan Linkedin yang semakin meluas ketika ini.
Walaubagaimanapun, fasa latihan industri yang perlu dilalui oleh pelajar-pelajar, terutamanya di Malaysia, bukanlah fasa yang mudah buat kebanyakan dari mereka. Hal ini kerana latihan industri yang dilaksanakan di negara ini secara amnya sering memberikan elaun yang rendah, malah kebanyakannya lebih rendah dari gaji minimum RM1,500.
Dalam keadaan yang lebih ekstrem, ada sesetengah pelajar yang terpaksa melalui fasa latihan industri tanpa mendapat sebarang elaun untuk menyara kehidupan mereka sepanjang tempoh latihan industri tersebut. Tiada apa-apa yang mampu dilakukan para pelajar ini kerana latihan industri merupakan salah satu prasyarat yang diwajibkan buat mereka untuk menamatkan pengajian.
Shakira yang ditanya lanjut mengenai isu ini berkata hak-hak pelajar yang menjalankan latihan industri perlu dilindungi dengan mewujudkan kontrak atau terma-terma rujukan (term of reference) agar mereka tidak terdedah kepada eskploitasi yang tidak sepatutnya.
Beliau juga berpendapat bahawa elaun minimum perlu diperkenalkan oleh Kerajaan agar kos-kos berkaitan, seperti perbelanjaaan pengangkutan, sewa bilik dan pelbagai kos sara hidup lain boleh dibiayai oleh pelajar itu sendiri sepanjang tempoh latihan industri.
” Perlu ada kontrak ataupun terma-terma rujukan (term of reference) untuk setiap latihan industri yang dibuat oleh pelajar. Ada dua sebab kenapa perlu ada kontrak, pertama kita nak beri peluang yang sama kepada semua pelajar-pelajar universiti tanpa mengira latar belakang. Kedua, untuk mengelakkan sebarang eksploitasi…… Kita tidak mahu pelajar dikerah kerja sampai lewat malam ataupun hujung minggu, ataupun melakukan kerja-kerja yang berisiko ataupun berbahaya. “