Memperingati Jasa & Sumbangan Ungku Aziz

sumbangan akademik ungku aziz
Share it

Persatuan Sains Sosial Malaysia telah menganjurkan sebuah majlis secara atas talian bagi memperingati jasa dan sumbangan Almarhum Profesor Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid. Majlis yang diadakan pada 1 Mac lalu menampilkan enam orang sahabat Ungku Aziz sebagai pembicara bagi berkongsikan pandangan mereka terhadap ilmuwan negara itu.

Prof Syed Husin Ali merupakan pembicara pertama yang berkongsikan pandangan beliau terhadap sarjana ini. Beliau menyatakan Ungku Aziz sebagai seorang individu yang cuba menggabungkan dua perkara iaitu teori dan amalan.

Meskipun lahir dari golongan bangsawan, Ungku Aziz mempunyai kesedaran yang tinggi berkenaan isu kemiskinan kerana melihat ramai orang miskin terdiri dari kalangan orang Melayu. Tercetusnya idea untuk mewujudkan institusi Tabung Haji berpunca apabila beliau melihat kepayahan dan kesusahan dalam kalangan orang Melayu untuk pergi ke Mekah.

Perkara ini juga menunjukkan Ungku Aziz bukan semata-mata seorang akademik yang gemar memberikan pendapat dan mengeluarkan teori semata-mata. Beliau sebaliknya turut berusaha untuk melakukan sesuatu untuk menyelesaikan permasalahan yang dihadapi masyarakat kita.

Prof Syed Husin Ali juga berkongsi mengenai pandangan Ungku Aziz mengenai Bahasa Melayu. Menurut beliau, Ungku Aziz seorang individu yang percaya dan yakin bahawa Bahasa Melayu boleh digunakan sepenuhnya sebagai bahasa ilmu di Nusantara.

Sebelum mengakhiri bicara beliau, Syed Husin Ali turut menzahirkan kekecewaannya kerana Almarhum Ungku Aziz tidak dimakamkan di Makam Pahlawan.

Prof Jomo KS kemudiannya berkongsi pandangan beliau mengenai pemikiran Ungku Aziz yang dianggapnya sebagai seorang nasionalis dan anti-imperialis. Menurut Jomo, meskipun Ungku Aziz lahir di London manakala bapanya mendapat pendidikan di Cambridge, namun Ungku Aziz tidak mengikut jejak langkah bapanya. Beliau sebaliknya dididik di Raffles College sebelum melanjutkan pengajian peringkat PhD di Jepun.

Indeks Sarong yang diperkenalkan oleh Ungku Aziz juga merupakan sumbangan besar dalam mengukur tahap kemiskinan orang Melayu. Jomo menyatakan bahawa Indeks Sarong sebagai indikator yang mencerminkan kebajikan sebenar seseorang individu kerana bukannya mudah untuk memiliki kain sarong ataupun kain pelikat pada ketika itu.

Bekas Pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka, Tan Sri Johan Jaafar turut berkongsikan pandangannya mengenai Ungku Aziz dari sudut sastera. Beliau meluahkan kekagumannya terhadap Ungku Aziz yang mengkaji sehingga 16,000 pantun dalam tempoh 20 tahun.

Menurut Johan Jaafar, koleksi pantun yang diterbitkan oleh DBP melalui buku berjudul Kurik Kundi Merah Saga hanya mempunyai 5,635 buah pantun manakala buku Khazanah Pantun Melayu Riau pula hanya mempunyai 3,608 buah pantun sahaja. Beliau menyatakan keterujaannya apabila Ungku Aziz berjaya mengkaji sehingga 16,000 pantun

Ungku Aziz melihat pantun sebagai sesuatu yang luar biasa kerana ia menyerlahkan kebijaksanaan orang Melayu melalui sindiran dan humor. Menurut Johan, pantun menyerlahkan daya akal dan daya cipta yang canggih dalam kalangan masyarakat Melayu meskipun tradisi oral ini hadir dari rakyat.

” Pantun ini adalah kemuncak daripada satu pencapaian luar biasa dalam kalangan orang Melayu. Kita harus ingat, ini tradisi oral. Pantun ini bukan karya Istana. Pantun terhasil daripada golongan petani, daripada golongan rakyat dan ia sebahagian daripada sastera rakyat yang sangat popular “

Turut berkongsikan kisah mereka mengenai Ungku Aziz adalah Puan Khoo Siew Mun yang pernah menjadi pelajar Ungku Aziz. Selain itu, Prof Emeritus Abdul Rahman Embong dan Prof Dr. Mohd Hazim Shah juga berkesempatan memberi buah pandangan mengenai pemikiran dan jasa Ungku Aziz. Dr Muhammad Azwan Abdul Rahman menjadi pengacara manakala Prof Rashila Ramli menjadi moderator majlis.

Rekod Facebook menunjukkan majlis atas talian yang dijalankan bagi memperingati Ungku Aziz telah menarik diikuti lebih 4,000 penonton dan merupakan acara paling popular yang pernah dianjurkan oleh Persatuan Sains Sosial Malaysia

Ungku Aziz merupakan ahli akademik ulung di Malaysia dan pernah menjawat jawatan sebagai Naib Canselor di Universiti Malaya selama 20 tahun. Beliau dianugerahkan gelaran Profesor Diraja pada tahun 1978 dan terkenal dengan jasanya menubuhkan Tabung Haji, Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Beliau meninggal dunia pada 15 Disember tahun lalu pada usia 98 tahun di Hospital Prince Court, Kuala Lumpur kerana sakit tua.