Meritokrasi Menghukum Kanak-kanak dari keluarga Miskin
Pemilihan ke sekolah berasrama penuh yang mempunyai kualiti pendidikan memberangsangkan juga rata-rata berdasarkan keputusan peperiksaan besar seperti UPSR ( dahulunya ) dan PMR. Ini memberi tekanan untuk pelajar-pelajar dari keluarga berpendapatan rendah untuk bersaing dengan pelajar-pelajar dari keluarga kaya yang mempunyai pelbagai kemudahan-kemudahan lain.
Sistem meritokrasi yang mementingkan pencapaian tanpa melihat nasib dan keadaan seseorang itu telah menghukum mereka yang sudahpun ketinggalan dari awal lagi sekaligus meneruskan kitaran kemiskinan buat keluarga mereka apabila tidak berpeluang meraih pendidikan yang lebih berkualiti.
Selain pemilihan ke sekolah berasrama penuh, penganugerahan biasiswa juga rata-rata memberi kelebihan kepada golongan senang. Kajian oleh Mehmet dan Yip pada tahun 1985 menunjukkan isi rumah Bumiputera kaya mempunyai 21 kali ganda lebih tinggi peluang untuk mendapatkan biasiswa kerajaan berbanding isi rumah Bumiputera miskin.
Pekerjaan Hanya Untuk Orang Kaya
Pasaran buruh juga tidak terlepas di dalam mendiskriminasikan pekerja terutamanya graduan yang datang daripada keluarga susah dan tinggal luar bandar. Sebagai contoh, pekerjaan-pekerjaan yang berpendapatan tinggi lebih berpusat di bandar-bandar besar sekaligus memberikan kos tambahan untuk seseorang pekerja itu mengambil tawaran kerja tersebut.
Kos sewa bilik, pengangkutan dan perpindahan dari satu lokasi ke lokasi yang lain menyukarkan seseorang itu mendapat pekerjaan yang membina laluan karier yang baik.
Latihan industri ataupun internship juga hanya memberikan kelebihan kepada graduan-graduan baru datang dari keluarga berada. Umum mengetahui bahawa kadar pampasan seperti elaun yang diberikan di Malaysia cukup rendah dan adakalanya tidak dibayar langsung.
Jadi siapakah yang mampu berbelanja untuk membuat latihan industri bagi meraih pengalaman?
Ya. Hanya graduan-graduan dari keluarga berpendapatan tinggi mempunyai kelebihan ini. Jika mereka tinggal di Kuala Lumpur, lebih banyak peluang internship ditawarkan berbanding dengan rakan-rakan mereka yang tinggal di Tawau, Sabah.
Ini memberikan kelebihan kepada graduan-graduan yang tinggal di bandar-bandar besar yang mampu menerima elaun yang sedikit bagi meraih sedikit pengalaman. Tidak hairanlah satu per tiga graduan yang datang dari keluarga berpendapatan di bawah RM1,000 kekal tidak bekerja, jauh lebih tinggi berbanding graduan yang datang dari keluarga yang berpendapatan tinggi.
Stigma Terhadap Orang Miskin
Ada beberapa stigma atau stereotaip yang seringkali dikaitkan dengan golongan miskin. Tiga tuduhan yang sering dilemparkan adalah orang miskin malas, mempunyai ramai anak dan tidak pandai mengurus kewangan.
Benarkah mereka malas? Hakikatnya tidak. Kajian Children Without yang dibuat pada tahun 2018 menunjukkan penghuni di flat kos rendah di Kuala Lumpur bekerja selama 48 jam seminggu, sejam lebih lama berbanding jumlah jam bekerja rakyat Malaysia secara purata.
Namun demikian, pendapatan yang diraih oleh mereka sedikit rendah berbanding rakyat Malaysia yang lain. Kajian mendapati purata upah yang diterima golongan ini adalah 25% lebih rendah berbanding rakyat Malaysia. Mereka hanya menerima RM9 bagi setiap jam bekerja berbanding purata rakyat Malaysia yang menerima RM12 sejam.
Berkenaan dengan dakwaan mereka mempunyai ramai anak juga kurang tepat. Bilangan anak untuk mereka yang tinggal di flat kos rendah ini juga hanyalah dua orang, sama dengan purata anak di peringkat kebangsaan.
Namun demikian, keluarga yang miskin cenderung untuk mempunyai lebih dari dua generasi untuk tinggal di bawah satu bumbung. Dalam kata lain, datuk dan nenek, ibubapa serta anak-anak mungkin tinggal sekali lantas mengakibatkan bilangan isi rumah yang lebih besar.
Dalam artikel yang lalu, Ekonomi Rakyat turut mendedahkan bahawa isi rumah berpendapatan rendah di Malaysia membelanjakan sebahagian besar pendapatan mereka terhadap barangan keperluan. Hanya 15.9% daripada keseluruhan perbelanjaan mereka digunakan untuk perkara-perkara tidak perlu seperti pembelian rokok, alkohol dan perbelanjaan rekreasi.
Manakala bagi golongan berpendapatan tinggi, mereka memperuntukkan 22.4% untuk perkara-perkara sedemikian.
Isu kemiskinan ini perlu menjadi fokus utama dalam usaha merangka semula struktur ekonomi Malaysia pasca-krisis. Dengan peningkatan kadar kemiskinan melangkaui 8.4%, ia perlu diselesaikan segara agar pemulihan ekonomi dapat dinikmati secara saksama.
Ketidakcukupan wang bukan saja isu kemiskinan yang perlu diselesaikan di negara ini. Prof Syed Hussein Alatas di dalam karya agungnya, The Myth of Lazy Natives menyatakan kemiskinan jiwa juga perlu ditangani ketika membicarakan mengenai soal nasib dan kemunduran orang Melayu.
” it is the poverty of their soul (kemiskinan jiwa), not of money, that causes them to be backward “
Dan yang lebih mengharukan, isu kemiskinan jiwa ini mungkin lebih parah dan lebih sukar dibasmi dalam kalangan rakyat kita jika dibandingkan dengan soal kemiskinan wang ringgit.
Artikel Bahagian Pertama : Mengapa Orang Miskin Kekal Dalam Kemiskinan
One thought on “Meritokrasi Menghukum Kanak-Kanak Dari Keluarga Susah”
Comments are closed.