Istilah metaverse mula hangat diperkatakan dalam kalangan orang ramai setelah Facebook membuat satu langkah berani mati apabila menukar nama syarikat induk mereka kepada Meta. Tindakan simbolik ini merupakan satu komitmen besar buat Facebook dalam mempelopori segmen ini di masa hadapan.
Namun disebalik kata-kata canggih ini, apa sebenarnya metaverse itu? Kenapakah Facebook sanggup menukar nama mereka kepada Meta?
Jurulatih pelaburan saham , Aliff Mazli menerangkan bahawa Metaverse merupakan satu rangkaian 3D atas talian yang boleh diibaratkan sebagai realiti maya. Menurut beliau, metaverse memberi pengguna peluang untuk berinteraksi dengan orang lain dengan lebih dekat lagi berbanding kaedah sedia ada.
” Dia macam live 2.0. Dia bagi akses kepada satu dunia baru. Biasanya ia menggunakan gajet dan sebagainya, tapi daripada situ, kita dapat lihat lebih lagi daripada apa yang ada di depan mata dan membawa kita ke alam yang lain “
Ketika ini, pelbagai platform metaverse dibangunkan bagi membantu pengalamanan pengguna dalam berinteraksi secara maya. Antara teknologi metaverse yang sedang dibangunkan adalah platform mesyuarat dimana pengguna boleh masuk ke bilik mesyuarat dan berbincang sebagai avatar menggunakan set kepala ( headset ) realiti tambahan ( augmented reality ) .
Walaubagaimanapun, Aliff berkata platform metaverse ini turut mempunyai risiko buat pengguna terutamanya berkaitan dengan data peribadi pengguna. Katanya, metaverse akan memberi akses kepada penyedia platform untuk memungut lebih banyak maklumat mengenai tingkahlaku pengguna sekaligus boleh mengancam privasi pengguna tersebut jika berlaku sebarang ketirisan.
Namun begitu, beliau percaya bahawa perkara ini akan diteliti dengan mendalam oleh pihak-pihak berautoriti seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi memastikan kepentingan pengguna terjamin.
Beliau juga menasihatkan pengguna agar lebih peka apabila menggunakan platform-platform di atas talian.
” Pengguna perlu bijak. Risiko itu memang sentiasa ada cuma yang penting kita perlu tahu value exchange. Jadi kita kena tahu tujuan penggunaan. Yang penting adalah pengurusan risiko sebagai seorang pengguna. Kita juga perlu tahu sama ada penyedia platform telah mengambil langkah yang sewajarnya dalam membina ekosistem yang utuh dan selamat “
Impak Metaverse
Menurut Aliff, beberapa sektor seperti hospitaliti, peruncitan dan hartanah dijangka akan memanfaatkan perkembangan industri metaverse ini. Beliau mengambil contoh sektor hartanah dimana pembeli ataupun penyewa mungkin akan boleh melawat rumah secara maya dengan pelbagai kemudahan.
” Hartanah. Kalau sekarang kita bila nak lihat, kita kena buat temujanji dan pergi tengok. Bila metaverse digunakan secara meluas. Kita mungkin boleh sertai rumah maya dengan model yang sebenar. Kita juga boleh dapat bayangan tentang susunan perabot. Metaverse akan memudahkan banyak proses ini “
Syarikat-syarikat teknologi turut diramalkan bakal mendapat tempias susulan kemajuan metaverse. Pembangun platform, pengeluar gajet serta syarikat teknologi kewangan antara pemain-pemain industri yang berpotensi meraih pulangan lumayan melalui teknologi ini.
Walaubagaimanpun, Aliff memesan kepada mereka yang ingin membuat pelaburan di dalam sektor ini untuk meneliti dengan lebih terperinci syarikat-syarikat yang ingin dilabur agar pelaburan tidak lebur.
” Syarikat-syarikat seperti Unity Technologies. Memang banyak digunakan untuk buat enjin permainan. Tapi bila kita nak beli, kita mesti buat penilaian dulu. Kita perlu ambil kira pelbagai faktor seperti dari segi persaingan. “
Aliff menerangkan di , mereka mengambil pendekatan bottom up dalam menerangkan kepada peserta-peserta yang mengikuti kelas mereka mengenai kaedah melabur.
” Kita di VI College, kita lihat kepada syarikat itu sendiri, yang mana kita buat bottom-up approach. Kita tengok pada prestasi syarikat. Kalau kita nak melabur beradasarkan peralihan, kita boleh guna top to bottom approach dimana kita tengok industri ataupun sektor yang akan berkembang “
Meskipun industri metaverse ini masih berada di fasa awal, namun potensi teknologi ini tidak boleh dinafikan lagi. Bos Facebook, Mark Zuckerberg berkata metaverse merupakan industri utama di masa hadapan dalam menghubungkan manusia.
Zuckerberg berharap satu bilion manusia dapat menggunakan teknologi ini di dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Beliau juga menjangkakan berbillion dolar dapat diraih melalui e-dagang digital sekaligus dapat mewujudkan peluang pekerjaan terhadap berjuta pembangun dan pencipta di dalam industri teknologi.
Pemain-pemain industri metaverse juga tidak lari dari kekangan dan cabaran dalam memasarkan produk dan perkhidmatan mereka kelak. Antara isu yang bakal dihadapi adalah capaian internet pengguna sama ada mempunyai kelajuan yang mencukupi ataupun tidak.
Hal ini kerana data-data yang bakal dipindahkan ke gajet pengguna lebih besar sekaligus memerlukan rangkaian internet yang padu dan pantas bagi memastikan pengguna mendapat pengalaman terbaik ketika menggunakan platform ini.
Selain daripada itu, harga gajet ataupun kelengkapan yang diperlukan untuk menggunakan metaverse juga dijangka menjadi kekangan utama buat pengeluar. Khabar angin yang bertebaran ketika ini mendedahkan bahawa set kepala realiti maya yang bakal dikeluarkan oleh Apple dijangka akan dijual pada harga $3,000 ( RM12,500 ), jauh lebih tinggi berbanding kemampuan orang ramai.
Apa pun cabaran yang dihadapi, dunia sudah pasti tidak akan mampu menjauhkan diri daripada kemajuan teknologi ini. Apa yang lebih mustahak, bagaimana kita mengambil peluang di sebalik metaverse yang bakal kunjung tiba tidak lama lagi?
Pembaca-pembaca yang ingin mengikuti kelas VI College boleh mengikuti ( SSLS ) yang dijalankan secara PERCUMA pada setiap hujung minggu melalui pautan [ ].