Kerajaan Malaysia hanya membelanjakan kurang dari 20% daripada keseluruhan Pakej Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bernilai RM15 bilion yang diumumkan pada Isnin lalu. Suntikan fiskal kerajaan melalui pakej ini hanyalah sekitar RM2.7 bilion manakala inisiatif lain yang disebut oleh Perdana Menteri kebanyakkannya telah diumumkan melalui peruntukan Belanjawan 2021.
Kerajaan memperuntukkan tambahan RM1 bilion terhadap Kementerian Kesihatan Malaysia serta agensi-agensi kerajaan yang lain seperti Majlis Keselamatan Negara. Peruntukan ini termasuklah RM150 juta untuk menambah petugas kesihatan serta RM100 juta untuk kerjasama dengan hospital swasta.
Selain itu, kerajaan turut memperuntukkan RM1 bilion bagi membantu perusahaan mengekalkan pekerja dan mengurangkan beban mereka melalui Program Subsidi Upah 3.0. Kerajaan juga memperuntukkan RM650 juta untuk program Geran Khas Prihatin PERMAI dimana pengusaha kecil dan sederhana menerima bantuan tunai sebanyak RM1,000.
Pemandu teksi, pemandu bas sekolah serta pemandu bas persiaran turut dibantu oleh kerajaan dengan pemberian tunai RM500 secara one-off dengan peruntukan sebanyak RM66 juta.
Meskipun terdapat 22 inisiatif yang dinyatakan oleh Perdana Menteri pada Isnin lalu, kebanyakkan program yang disebut menggunakan peruntukan yang telah diumumkan sebelum ini.
Bantuan Prihatin Nasional 2.0 sebagai contoh merupakan inisiatif yang diumumkan dalam pakej rangsangan ekonomi KITA PRIHATIN pada September tahun lepas manakala Bantuan Prihatin Rakyat pula telah diumumkan melalui Belanjawan 2021. Harus juga diingatkan, BPN 2.0 yang diumumkan di dalam PERMAI adalah pemberian bagi fasa kedua. Bayaran fasa pertama sudah pun diberi pada akhir tahun lepas.
RM24 bilion pengeluaran wang dari KWSP pula sememangnya melibatkan wang rakyat.
Pelepasan Cukai Yang Tidak Bermakna
Antara pelepasan cukai yang diumumkan termasuklah keatas pembelian komputer atau telefon bimbit. Ini kononnya selaras dengan keperluan norma baharu yang banyak bergantung kepada penggunaan alat digital.
Malang sekali, mereka yang mempunyai kesukaran untuk bekerja atau belajar secara atas talian adalah mereka yang berpendapatan rendah. Disebabkan pendapatan mereka yang rendah, mereka tidak dikategorikan sebagai pembayar cukai pendapatan. Justeru, insentif seperti ini tidak memberi apa-apa manfaat kepada golongan berpendapatan rendah.
Pelanjutan pengecualian cukai jualan untuk kenderaan penumpang juga tidak memberikan apa-apa manfaat kepada golongan yang paling terkesan di dalam wabak ini.
Masih Ramai Tertinggal
Bantuan tunai tambahan yang diumumkan kepada rakyat pada pakej PERMAI hanyalah melalui program Geran Khas Prihatin 3.0 PERMAI. Jumlah RM1,000 ini secara amnya membantu meringankan beban peniaga-peniaga kecil dalam mengharungi hari-hari mencabar tatkala PKP dilaksanakan.
Malang sekali, terdapat sebilangan besar tenaga kerja di Malaysia merupakan mereka yang terlibat di dalam sektor informal. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, terdapat hampir 1 juta pekerja sendiri di Malaysia yang tidak mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia sekaligus tidak layak untuk memohon GKP PERMAI
Manakala dalam masa yang sama, isi rumah berpendapatan rendah pula tidak mendapat sebarang bantuan tambahan daripada kerajaan. Situasi 2021 kini menunjukkan jauh berbeza berbanding jangkaan awal ketika pembentangan Belanjawan 2021 dibuat pada November lalu.
Kes Covid-19 telah meningkat dari sekitar 1,000 kes baru pada awal November lepas kepada lebih 3,000 kes baru belakangan ini. Unjuran pertumbuhan ekonomi bentuk ‘V’ yang menjadi asas andaian pertumbuhan ekonomi pada ketika itu kelihatan seperti tidak lagi relevan melihat kepada situasi semasa.
Oleh itu, isi rumah berpendapatan rendah perlu terus dibantu dengan memberikan bantuan tunai tambahan kepada mereka. Peruntukan RM6.5 bilion Bantuan Prihatin Rakyat ( BPR ) ketika ini hanyalah 30% lebih tinggi berbanding Bantuan Sara Hidup yang diumumkan pada Belanjawan 2020.
Persekitaran ekonomi Malaysia kekal suram dengan peningkatan mendadak kes baru Covid-19 pada tahun ini. Perintah Kawalan Pergerakan pula telah dilaksanakan di seluruh negara melainkan Sarawak. Program vaksinasi yang dijadualkan bermula hadapan berkemungkinan besar tidak akan menunjukkan sebarang impak positif dalam masa terdekat kerana majoriti rakyat Malaysia akan menerima vaksin hanya selepas suku ketiga tahun ini.
‘ Indah Khabar Dari Rupa ‘ itulah peribahasa yang menggambarkan tahun situasi 2021 ketika ini berbanding apa yang diramalkan pada tahun lalu. Kerajaan perlu lebih responsif dan agresif dalam memastikan golongan rentan kekal dibantu sementara menunggu wabak ini reda.