
Tempoh berkempen untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 kini hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi. Jika PRU14 dilabel sebagai ibu segala Pilihan Raya, PRU15 ini pula mungkin boleh dianggap sebagai bapa segala Pilihan Raya.
Landskap politik tanahair boleh dikatakan berubah 180 darjah setelah dominasi Barisan Nasional (BN) berjaya ditamatkan pada tahun 2018. Pada pertarungan kali ini, hampir kesemua parti-parti politik yang bertanding boleh menjadi sebahagian daripada Kerajaan kerana angka-angka awal agensi peninjau menunjukkan kekuatan BN tidak seampuh dahulu untuk membentuk Kerajaan secara solo.
Pesta demokrasi kali ini lebih meriah kerana pengundi mempunyai lebih banyak pilihan parti untuk mengundi. Tambah-tambah lagi pengundi-pengundi Melayu tradisional yang boleh memangkah BN, Perikatan Nasional (PN) ataupun Gerakan Tanah Air (GTA).
Menurut data-data yang dikutip oleh agensi bancian seperti Ilham Center dan Merdeka Center, rata-rata pengundi menyuarakan kebimbangan terhadap isu ekonomi. 44% dan 35% responden yang ditinjau Ilham Center mahukan pemimpin untuk menyelesaikan isu pemulihan ekonomi serta isu kemiskinan dan kos sara hidup.
Dapatan yang serupa turut ditemui oleh Merdeka Center dimana 31% responden menyatakan bahawa isu inflasi sebagai kebimbangan utama mereka. Soalan lain yang ditanya Merdeka Center turut mendapati 74% responden berpandangan bahawa kebimbangan ekonomi sebagai masalah utama yang dihadapi di negara ini.
Data makro bukan cerminan denyut nadi rakyat

Menjelang Pilihan Raya, data-data seperti prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), nilai eksport dan jualan sektor pembuatan sering kali dipetik parti pemerintah bagi menunjukkan ekonomi berada di dalam keadaan memberangsangkan.
Apa tidaknya, KDNK untuk suku ketiga tahun ini misalnya menunjukkan peningkatan 14.2%, pertumbuhan tertinggi di dalam sejarah setelah ekonomi merosot 4.5% pada tempoh yang sama tahun lalu.
Sehingga suku ketiga 2022, Malaysia menyaksikan prestasi ekonomi meningkat 9.3%, jauh lebih tinggi berbanding ramalan pertumbuhan ekonomi 5.5% dan 6.5% untuk tahun ini.
Nilai eksport untuk sembilan bulan pertama tahun ini juga naik 30.3% dari RM889.4 bilion kepada RM1.16 trilion. Manakala jualan sektor pembuatan pula naik 17.6% dari RM1.13 trilion kepada RM1.33 trilion pada sembilan bulan pertama 2022.
Meskipun angka-angka rasmi menunjukkan pemulihan ekonomi berada di dalam keadaan yang memberangsangkan, namun realiti yang dihadapi oleh rakyat kekal muram.

Gaji yang direkodkan rata-rata pekerja di Malaysia pada tahun 2021 masih lagi berada di bawah paras pra-pandemik iaitu padar RM2,250 sebulan berbanding RM2,442 pada tahun 2019.
Bagi pekerja etnik India, gaji penengah mereka pula susut 4% dari RM2,014 kepada RM1,930 sebulan.
Angka terkini gaji pekerja di sektor pembuatan turut membimbangkan. Walaupun jualan sektor ini naik 17.6% untuk sembilan bulan pertama tahun 2022, namun gaji purata bagi pekerja di sektor ini hanya naik RM24 ataupun bersamaan dengan 0.7% dari RM3,398.5 pada Januari 2022 kepada RM3,422.3 pada September 2022.
*Tahun ke tahun, gaji pekerja sektor pembuatan hanya naik 1.6% dari RM3,367.5 sebulan pada September 2021 kepada RM3,422.3 pada September 2022
Gaji bukan saja isu yang membelenggu rakyat Malaysia. Jutaan pekerja di Malaysia juga bergelut untuk mendapatkan pekerjaan yang setaraf dengan kelayakan akademik mereka. Menurut data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia, 1.84 juta pekerjaan dengan pendidikan tinggi kini ‘underemployed‘.

Pertambahan 40,000 orang berbanding 1.79 juta yang direkodkan pada suku kedua 2022 dengan peratusan kadar ‘underemployment‘ naik dari 36.7% kepada 36.8%.
Selain itu, isu kos sara hidup juga membebankan. Inflasi yang direkodkan pada akhir-akhir ini berada di paras tertinggi iaitu sebanyak 4.7% pada Ogos 2022 dan 4.5% pada September 2022.
Barangan keperluan asas seperti telur (gred C) naik 14% dari 37 sen pada September 2021 kepada 43 sen sebiji pada September 2022. Manakala ayam naik 5% dari RM9.35 sekilo kepada RM9.86 sekilo.
Kos makan di luar juga mengalami peningkatan yang signifikan. Harga sebungkus nasi lemak umpamanya naik 21% dari RM2.81 kepada RM3.39 sebungkus. Kos sekeping roti canai turut naik 25% dari Rm1.14 sekeping kepada RM1.42 sekeping manakala harga secawan teh tarik meningkat 18% dari RM1.63 secawan kepada RM1.92 secawan.

Naratif Bangsa & Agama Lebih Menarik
Walaupun isu-isu ‘bread and butter‘ merupakan kebimbangan utama pengundi, namun parti-parti politik terutamanya BN dan PN tidak meletakkan isu ini sebagai agenda utama kempen politik mereka. Naratif politik PRU kali ini lebih tertumpu kepada retorik bangsa dan label melabel dek kerana polarisasi politik dimana gabungan BN dan PN lebih memberi perhatian untuk menarik undi Melayu.
PH pula ada mengetengahkan isu ini di dalam kempen politik mereka seiring dengan isu-isu rasuah dan reformasi institusi. Namun, strategi itu mungkin tidak banyak memanfaatkan PH di dalam usaha merebut sebanyak mungkin kerusi-kerusi Parlimen di luar bandar.
Biarpun tinjauan menunjukkan pengundi meletakkan isu ekonomi sebagai kegelisahan utama mereka, akan tetapi isu ini mungkin tidak boleh diterjemahkan kepada kertas undi memandangkan struktur politik Malaysia yang lebih tertumpu kepada politik identiti.
Keadaan ini memberi kelebihan buat BN dan PN dalam mendapatkan sokongan undi Melayu yang merupakan pengundi terbesar di Malaysia. Bagi PH pula, kewujudan mereka sebagai gabungan politik berbilang kaum membuatkan mereka sukar untuk menembusi jiwa pengundi-pengundi Melayu terutamanya di luar bandar.
Dari sudut ekonomi juga tidak ada banyak isu yang boleh dimainkan PH melainkan isu harga barang yang semakin tinggi. Berbeza dengan PRU-14 dimana isu GST didedangkan dengan begitu meriah dan riuh sekali.
Tetapi seperti yang dikatakan di awal artikel tadi, objektif Pilihan Raya kali ini untuk semua gabungan politik bukanlah untuk mendapatkan 112 kerusi Parlimen, tetapi untuk meraih sebanyak mungkin kerusi Parlimen bagi berunding dengan gabungan-gabungan politik lain untuk membentuk Kerajaan selepas 19 November ini.