RM25 Bilion Suntikan Fiskal Tidak Mencukupi, Kerajaan Harus Berbelanja Lebih Besar

Share it

Perdana Menteri pada Jumaat telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Ke-2 bernilai kira-kira Rm250 bilion dengan nilai suntikan fiskal oleh kerajaan sebanyak RM25 bilion bagi merangsang ekonomi ekoran krisis Covid-19 yang memberi impak teruk terhadap ekonomi negara kita.

Bantuan utama yang diumumkan termasuklah Bantuan Prihatin Nasional kepada isi rumah B40 dan M40 dengan bayaran bantuan tunai sehingga RM1,600. Individu Bujang berpendapatan kurang dari RM4,000 turut menerima sehingga RM800 bantuan secara one-off. Pelajar juga menerima bantuan tunai sebanyak RM200 seorang

Inisiatif lain yang diumumkan oleh kerajaan semalam adalah peruntukan sebanyak RM5.9 bilion untuk pelaksanaan Program Subsidi Upah yang melibatkan 3.3 juta pekerja. Program ini memanfaatkan perusahaan dengan kerajaan menanggung sehingga RM600 kos gaji pekerja untuk tempoh tiga bulan dengan syarat perusahaan dapat membuktikan terdapat penurunan pendapatan melebihi 50% sejak 1 Januari 2020.

Pekerja barisan hadapan seperti doktor, jururawat serta staf perubatan yang lain turut menerima insentif tambahan sebanyak RM600 sebulan sehingga wabak ini berakhir. Anggota tentera, polis, imigresen dan lain-lain turut menerima elaun khas RM200 sebulan dalam tempoh yang sama.

Kerajaan juga memperuntukkan RM50 bilion untuk dana jaminan pinjaman kepada syarikat-syarikat dengan saiz pinjaman minimum RM20 juta bagi setiap syarikat. Selain itu, RM100 bilion yang termasuk di dalam nilai pakej turut melibatkan RM100 bilion penangguhan bayaran ansuran bulanan hutang manakala RM54 bilion lagi membabitkan pengeluaran wang serta pengurangan caruman KWSP.

Meskipun saiz nilai rangsangan ekonomi ini kelihatan besar iaitu bersamaan dengan 16.6% saiz Keluaran Dalam Negara Kasar ( KDNK ) negara, namun hakikatnya wang yang keluar dari poket kerajaan hanyalah bernilai RM25 bilion. Ini bermaksud nilai suntikan fiskal yang diperuntukkan hanyalah sekitar 1.6% daripada KDNK negara.

Suntikan RM25 bilion ini tidak mencukupi buat Malaysia untuk mengharungi tahun 2020 dan pasca-Covid 19. New Zealand sebagai contoh membelanjakan NZ$12.1 bilion ( RM31.6 bilion ) di dalam pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan baru-baru ini. Jumlah ini bersamaan dengan 4% saiz ekonomi New Zealand.

Jiran kita, Singapura pula membuat suntikan fiskal sebanyak SG$17 bilion ( RM54 bilion ) ataupun kira-kira 3.5% dari KDNK mereka. Harus diingatkan kedua-dua negara ini hanya mempunyai populasi masing-masing 4.7 juta dan 5.6 juta orang sedangkan impak Covid-19 ini akan dirasai oleh lebih 30 juta rakyat Malaysia. Namun suntikan fiskal oleh Singapura dan New Zealand secara relatifnya jauh lebih tinggi berbanding Malaysia.

Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia pada beberapa hari lalu mengunjurkan ekonomi Malaysia akan menguncup 2.9% manakala 2.4 juta pekerjaan akan hilang. Pendapatan isi rumah turut dilaporkan akan menurun sehingga RM95 bilion sekaligus melembapkan suasana ekonomi negara.

Bantuan yang diumumkan oleh Perdana Menteri juga tidak mencukupi bagi rakyat Malaysia untuk mengharungi hari-hari yang mencabar ini. Sebagai contoh, keluarga B40 yang mempunyai seorang anak hanya memperoleh RM1,600 bantuan secara one-off yang dibayar secara dua kali.

Keluarga ini bukan saja kehilangan pendapatan buat sementara waktu akibat Perintah Kawalan Pergerakan. Pendapatan mereka selepas PKP ditamatkan juga tidak menentu akibat ekonomi yang semakin lembap.

Keluarga yang sama di Singapura sebagai contoh akan memperoleh sekitar $2400 ( *RM3,517 mengikut kiraan pariti kuasa beli SGD-MYR ) bantuan tunai daripada kerajaan.

Bagi individu yang kehilangan kerja akibat Covid-19 ini, bantuan yang diperoleh melalui Skim Insurans Pekerjaan hanyalah RM600 sebulan untuk tempoh enam bulan. Di Singapura, bagi pekerja yang bekerja sendiri yang terjejas dek kerana wabak ini akan memperoleh $1,000 ( *RM1,466 ) untuk tempoh 9 bulan.

Program Subsidi gaji berjumlah RM600 juga berkemungkinan besar tidak mampu membantu majikan untuk terus menggajikan pekerja mereka kerana kehilangan hasil sepanjang tempoh PKP serta jangkaan penurunan hasil yang mendadak selepas PKP ditamatkan.

Kerajaan perlu meningkatkan lagi subsidi gaji kepada pekerja bagi menggelakkan mereka dibuang. Singapura sebagai contoh akan membantu majikan yang menggajikan pekerja tempatan sehingga 75% daripada keseluruhan gaji pekerja yang berpendapatan kurang $4,600. New Zealand pula membantu majikan membayar sehingga $585.50 seminggu kepada pekerja untuk tempoh 12 minggu.

Jika jumlah subsidi gaji ini tidak cukup besar bagi meringankan tekanan aliran kewangan yang dihadapi oleh majikan, maka pihak majikan berkemungkinan besar akan memilih untuk mengurangkan jumlah pekerja

Suntikan fiskal kerajaan berjumlah RM25 bilion sememangnya tidak mencukupi dalam mengharungi hari-hari yang mencabar ini. Jika mengambil Singapura sebagai penanda aras, kerajaan Malaysia sepatutnya menyuntik kira-kira RM53 bilion bagi menyelamatkan ekonomi Malaysia.

Dalam artikel yang lepas, penyelidik ekonomi, Zouhair Rosli mencadangkan hampir RM50 bilion peruntukan bagi mengurangkan impak negatif Covid-19. Beliau menambah;

“Ada bekas Menteri yang mengatakan bahawa dua pertiga daripada ekonomi negara kini dipacu oleh sektor swasta. Harus diingat, siapakah sektor swasta ini? Jika kita mengetahui siapakah yang terlibat dalam sektor swasta ini, sudah tentu kita akan melakukan apa sahaja cara untuk memastikan sektor swasta ini dipertahankan sebaik mungkin.

Adakah perbelanjaan sektor swasta di pacu oleh syarikat-syarikat besar? Tidak. Orang-orang kaya? Tidak. Sektor swasta ini melibatkan jumlah perbelanjaan isi rumah di dalam negara ini. Daripada kesemua jumlah perbelanjaan ini, lebih 60% di pacu oleh isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana. Dalam kata lain, daripada RM100 perbelanjaan swasta di jana di Malaysia, RM62 dijana oleh golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Bantuan yang diberikan kerajaan sekarang tidak mencukupi, tersasar, dan hanya diberikan dalam masa dua bulan. Ini tidak mencukupi untuk mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana. Singapura sudah menyediakan pakej bantuan secara terus selama 6 bulan atau sehingga hujung tahun ini. Bantuan yang diberikan kerajaan Singapura juga adalah lebih bersasar dan mencukupi.

Seorang Makcik Kiah di Singapura akan menerima bantuan sebanyak RM1,466 setiap bulan ( dikira berdasarkan pariti kuasa beli ). Dan jumlah bantuan bulanan ini akan berlanjutan selama 9 bulan sehingga hujung tahun ini. Saya ulang, 9 bulan.

Data terkini menunjukkan purata perbelanjaan isi rumah yang berpendapatan rendah adalah sebanyak RM2,284 sebulan. PRE-2 yang diumumkan semalam hanya memberi RM800 sebulan kepada mereka sehingga bulan Mei. Bagaimana pula dengan golongan pertengahan? Perbelanjaan bulanan mereka adalah sebanyak RM4,104 sebulan dan mereka hanya menerima bantuan sebanyak RM500 sebulan.

Kerajaan sepatutnya memberi bantuan paling kurang 50% (RM1,142) atau separuh daripada perbelanjaan bulanan untuk golongan berpendapatan rendah, dan 25% (RM1,026) untuk golongan pertengahan.

Bantuan harus disalurkan kepada individu dan bukan isi rumah. Ada dua golongan yang boleh diberi bantuan. Pertama, setakat ini, dianggarkan sekitar 1.4 juta peniaga kecil yang berpendapatan bawah RM5,000 sebulan. Ianya sama seperti kes Makcik Kiah yang disebut semalam. Bantuan sebanyak RM1,000 sebulan harus diberikan selama 6 bulan iaitu sehingga September tahun ini.

Kedua, subsidi gaji juga harus diberikan kepada individu (sekali lagi, bukan isi rumah) yang bergaji kurang dari RM5,000 sebulan dan bantuan disalurkan kepada pihak majikan. Bantuan boleh diberikan sebanyak RM1,000 setiap bulan juga selama 6 bulan. Pakej yang dicadangkan ini memerlukan perbelanjaan terus daripada kerajaan sekitar RM50 billion.

Daripada jumlah RM50 billion ini, 83% dibelanjakan untuk subsidi gaji dan selebihnya dibelanjakan untuk membantu peniaga-peniaga kecil yang lain. Perbelanjaan untuk subsidi gaji adalah amat penting untuk memastikan mereka yang masih mempunyai pekerjaan tetap mempunyai pekerjaan sehingga krisis ini reda. Dalam erti kata lain, ini adalah untuk mempertahankan pekerjaan yang sedia ada daripada lesap akibat krisis kesihatan yang melanda sekarang.

Kita harus pastikan bahawa ekonomi berada dalam keadaaan yang tidak terlalu teruk sebaik sahaja wabak Covid-19 ini reda. Bukan dengan bercakap tentang soal fiskal dan agensi penilaian kredit yang mana ianya sudah tidak memberi apa-apa makna kepada negara pada masa sekarang. Singapura telah mengumukan pakej perbelanjaan terbaru sebanyak RM17 billion.

Ini bersamaan dengan 3.5% daripada KDNK. Kerajaan Singapura juga bersedia menerima kenyataan di mana perbelanjaan deficit negara tersebut akan melonjak lebih tinggi pada kadar 7.9% hasil daripada perbelanjaan pakej rangsangan ekonomi mereka yang terbaru.

Ini bukanlah masa untuk berkira-kira tentang hasil kepada kerajaan untuk kerajaan berbelanja. Kerajaan mampu berbelanja lebih daripada hasil yang diperolehi. Apa yang lebih penting ialah kita harus pastikan perbelanjaan itu tepat kepada mereka yang memerlukan untuk menjana ekonomi pada situasi hari ini. Kita harus ingat, kerajaan bukanlah syarikat swasta!” tegasnya lagi

 

Kebanyakkan langkah-langkah pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan semalam tidak melibatkan aliran wang daripada kerajaan ke dalam ekonomi. Penangguhan bayaran ansuran hutang sebagai contoh melibatkan RM100 bilion wang rakyat yang sudah pun berada di dalam sistem ekonomi.

Begitu juga dengan langkah mengeluarkan wang KWSP sebanyak RM500 sebulan untuk tempoh 12 bulan yang akan memberi kesan di hari tua. Langkah ini juga tidak membantu keseluruhan pekerja di Malaysia. Kajian oleh Institut Penyelidikan Khazanah mendapati lebih 40% pencarum KWSP tidak mempunyai lebih dari RM6,000 di dalam akaun 2 mereka.

Penyelidik Sosio-ekonomi, Dr. Mohd Ariff Daud turut menzahirkan keresahan beliau terhadap Pakej Rangsangan ini;

” Dari satu sudut, pakej ini positif kerana kerajaan sedar akan keperluan rakyat yang keputusan sumber pendapatan melalui pemberian BPN. Namun dari sudut lain kita lihat kerajaan seakan terlalu optimistik, seakan krisis ini akan selesai dalam masa 2-3 bulan sahaja. Sedangkan Bank Negara Malaysia secara tersirat membuat unjuran krisis ini akan berlarutan sehingga hujung tahun. Kerajaan sekadar menyediakan pakej membendung wabak COVID-19, dan bukan pakej menghadapi krisis ekonomi yang mendatang selepas ini. “

Kerajaan seharusnya berbelanja besar bagi menempuhi saat-saat gentir seperti ini. Bantuan tunai harus diperluaskan untuk tempoh yang lebih lama dan golongan yang terdedah ( vulnerable ) haruslah diutamakan bagi memberikan nafas baru sejurus PKP ditamatkan.

Pendekatan ekonomi lapuk yang mementingkan defisit fiskal dan status penarafan kredit tidak terpakai pada detik seperti ini. Krisis ini bukanlah hanya sekadar krisis ekonomi yang pernah kita lalui pada 2008 dan 1998. Krisis ini turut melibatkan krisis kesihatan yang tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kita. Justeru, pendekatan konvensional tidak lagi terpakai pada waktu seperti ini. Langkah yang lebih agresif dan radikal perlu diambil SEKARANG.

Ingatlah, apa yang kita lakukan sekarang bukan hanya untuk menampan impak negatif akibat Covid-19, tetapi untuk memberikan harapan, sokongan dan membina masa depan yang lebih cerah buat segenap lapisan rakyat Malaysia dalam menempuhi hari-hari yang mendatang. Bak kata ahli falsafah Denmark, Kierkegaard, Life can only be understood backwards; but it must be lived forwards.