Sri Lanka ‘Bankrap’ – Apa Puncanya?

Share it

Sri Lanka mendapat perhatian dunia apabila kediaman rasmi Presiden Gotabaya Rajapaksa di Colombo dipecahmasuk oleh warga Sri Lanka. Gotabaya yang mengambil alih tampuk kepimpinan Sri Lanka pada penghujung tahun 2019 telah meletak jawatan setelah lari meninggalkan negaranya ketika berada di Singapura selepas transit di Maldives selama semalam.

Krisis ekonomi di Sri Lanka mempunyai sejarah yang panjang dan berkait rapat dengan struktur politik di negara itu. Keluarga Rajapaksa yang merupakan pembesar di Sri Lanka telah mendominasi politik untuk sekian lama.

Sebelum Gotabaya Rajapaksa dilantik menjadi Presiden, abangnya Mahinda Rajapaksa pernah memimpin negara itu untuk tempoh yang panjang. Dari tahun 2005 hingga 2015, Mahinda memegang jawatan Presiden dan pernah menjadi Perdana Menteri pada tahun 2004 dan juga pada tahun 2019 hingga 2022 ketika adiknya menjadi Presiden.

Kepimpinan melalui nepostime di Sri Lanka juga menyaksikan Namal Rajapaksa, anak kepada Mahinda dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan. Adik Mahinda, Basil Rajapaksa juga pernah memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan pada tahun 2021 hingga 2022.

Umum mengetahui bahawa nepostime yang bermaksud ” amalan orang berkuasa dan berpengaruh yang gemar memberikan jawatan kepada keluarga terdekat ataupun sahabat handai ” merupakan satu budaya yang tidak sihat untuk sesebuah masyarakat.

Ini kerana pemilihan ataupun jawatan yang diberi dibuat hanya berdasarkan hubungan darah tanpa mengambil kira aspek kecekapan individu terbabit dalam menjalankan tugas mereka. Nepotisme juga mendedahkan lagi sesuatu organisasi itu kepada masalah penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

Selain isu nepotisme yang melanda Sri Lanka, janji-janji manis yang ditawarkan oleh gabungan politik yang diketuai oleh keluarga Rajapaksa juga telah menyumbang kepada krisis ekonomi di negara itu.

Menjelang Pilihan Raya Presiden pada tahun 2019, Gotabaya yang terdesak untuk kembali berkuasa menawarkan manifesto berani mati kepada warga Sri Lanka. Percaturan tersebut sememangnya membuahkan hasil yang positif buat Gotabaya apabila menang Pilihan Raya Presiden setelah meraih 6.9 juta undi yang bersamaan dengan 52% daripada keseluruhan undian.

Langkah awal yang dilaksanakan Gotabaya adalah dengan memotong cukai barangan dan perkhidmatan atau lebih dikenali sebagai GST di Malaysia. GST yang dahulunya berada pada kadar 15% dipotong kepada 8%. Selain itu, cukai korporat yang menyumbang kepada pendapatan Kerajaan juga diturunkan kepada 24% berbanding 28%.

Keadaan ini memberi tekanan fiskal buat Kerajaan Sri Lanka dalam menguruskan perbelanjaan awam negara mereka. Sri Lanka juga dilaporkan telah menghentikan pembayaran hutang asing mereka bermula April lalu.

Hutang luar yang bertimbun juga menyebabkan rizab luar negara itu susut ke paras terendah pada Mei lalu apabila hanya tinggal $50 juta berbanding $7.6 bilion pada penghujung tahun 2019.

Situasi ini telah menyebabkan Kerajaan Sri Lanka berdepan dengan protes besar-besaran daripada rakyat mereka sendiri. Hal ini kerana pemerintah Sri Lanka tidak mampu untuk mengimport bahan api dari luar kerana kekurangan matawang asing sekaligus melumpuhkan ekonomi negara itu.

*Wabak Covid-19 yang melanda dunia juga memburukkan lagi keadaan ekonomi Sri Lanka apabila tidak dapat menjana pendapatan melalui sektor pelancongan

Bermula Mac lalu, warga Sri Lanka mula membanjiri jalan raya menyatakan protes terhadap Kerajaan sehingga menyebabkan beberapa ahli jemaah kabinet mereka meletak jawatan pada April. Pada Mei, pemimpin de facto Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa pula meletak jawatan bagi meredakan ketegangan dalam kalangan rakyat.

Namun semua itu sudah terlambat. Kemuncaknya dapat dilihat apabila puluhan ribu warga Sri Lanka membanjiri Istana Presiden mereka sehingga Gotabaya terpaksa lari ke luar negara sebelum meletak jawatan dengan surat peletakan jawatan dihantar melalui e-mel.

Gotabaya bukan satu-satunya pemimpin yang digulingkan akibat krisis ekonomi. Sejarah telah membuktikan bahawa krisis ekonomi merupakan penyebab utama kepada revolusi. Perancis, Iran mahupun Rusia, kesemua mempunyai denominator yang sama iaitu isu ekonomi.

Puncanya juga lebih kurang serupa. Pembaziran, rasuah dan urustadbir yang lemah menyumbang kepada permasalahan ekonomi lantas membangkitkan kemarahan orang ramai.

Tabung Kewangan Dunia (IMF) pada penghujung Jun lalu telah melakukan lawatan kerja bagi meninjau situasi ekonomi dan politik di negara itu sebelum membentangkan pelan penyelamatan ekonomi buat Sri Lanka.

Selain IMF, India yang merupakan salah satu rakan dagang terbesar Sri Lanka juga telah menyalurkan bantuan dianggarkan sekitar $4 bilion buat Sri Lanka. Bagi Presiden Sri Lanka yang baru, Rani Wickremesinghe, tugas berat menanti beliau untuk membina semula sebuah ekonomi yang hampir musnah.