
Sapura Energy, sebuah syarikat perkhidmatan minyak & gas yang pernah mempunyai modal pasaran sebanyak RM28.5 bilion kini merekodkan kerugian bersih sebanyak RM8.9 bilion untuk tahun kewangan berakhir 2022.
Berita ini bukanlah suatu khabar yang baik buat rakyat Malaysia. Permodalan Nasional Berhad ( PNB ), salah satu pengurus dana terbesar di Malaysia yang mewakili pelabur-pelabur awam di negara ini memiliki pegangan sebanyak 40% di dalam syarikat ini.
PNB meningkatkan kawalan syer mereka di dalam syarikat ini apabila melanggan syer tambahan yang diterbitkan Sapura Energy bagi membantu syarikat ini meneruskan operasi. Sebanyak RM2.68 bilion dilaburkan PNB pada awal tahun 2019 sekaligus menjadikan Sapura Energy sebagai syarikat kedua di dalam sektor tenaga dimana PNB mempunyai pegangan besar selepas Velesto Energy.
Kini, harga saham Sapura Energy hanya tinggal 3.5 sen, 88% lebih rendah berbanding harga saham pada awal tahun 2019 iaitu sekitar 29 sen sesaham. Modal pasaran Sapura Energy juga merudum kepada RM559 juta.
*Kerugian atas kertas PNB dianggarkan sekurang-kurangnya RM2.48 bilion
Isu kegawatan Sapura Energy bermula sejak tahun kewangan 2018 apabila syarikat itu merekodkan kerugian bersih RM2.5 bilion. Pada tahun 2019, Sapura kembali mencatatkan keuntungan sebanyak RM203 juta setelah menjual 50% pegangan mereka di dalam anak syarikat eksplorasi dan pengeluaran menyebabkan Sapura meraih keuntungan daripada pelupusan sebanyak RM2.5 bilion.
Kerugian Sapura berterusan untuk tahun 2020 hingga 2022 dimana Sapura merekodkan kerugian sebanyak RM4.6 bilion, RM160 juta dan terkini RM8.9 bilion. Berdasarkan penyata kewangan yang diterbitkan beberapa hari lalu, kerugian terkumpul yang dicatatkan Sapura adalah sebanyak RM13.5 bilion.
Dengan liabiliti hampir RM16 bilion, masa depan Sapura Energy yang merupakan salah satu syarikat kebangaan Bumiputera suatu ketika dahulu kini menjadi tanda tanya.
Bekas Perdana Menteri, Najib Razak di dalam hantarannya di Facebook mencadangkan agar Kerajaan menyelamatkan Sapura Energy bagi melindungi para vendor dan pelabur Bumiputera yang melabur melalui PNB.
Terdapat dua cadangan yang diutarakan, satu adalah dengan memberi pinjaman mudah ataupun memohon Kerajaan menjamin pinjaman Sapura. Keduanya adalah dengan mengarahkan PETRONAS ataupun Khazanah untuk mengambilalih Sapura.
Persoalannya kini…. Wajarkah wang pembayar cukai digunakan untuk membailout Sapura Energy?
Cadangan untuk menyelamatkan syarikat ini kelihatan tidak mendapat reaksi positif daripada orang ramai. Bendera merah pertama yang kelihatan mungkin kerana cadangan ini datangnya daripada bekas Perdana Menteri yang terpalit dengan pelbagai skandal pelaburan yang tidak menguntungkan seperti 1MDB.

Keduanya, isu pampasan gaji yang terlalu tinggi oleh CEO Sapura Energy, Tan Sri Shahril Shamsuddin menyebabkan orang ramai tidak merasa kesian terhadap nasib syarikat ini. Sentimen orang ramai ini ada benarnya, dari tahun 2014 hingga 2020, Shahril yang mempunyai 12.8% pegangan di dalam syarikat ini menerima gaji keseluruhan sebanyak RM432.7 juta.
Ini bermaksud secara purata, beliau menerima gaji tahunan sebanyak RM61.8 juta sejak tahun 2014. Pada tahun 2018 misalnya tatkala Sapura mengalami kerugian RM2.5 bilion, gaji beliau kekal tinggi pada RM71.9 juta.
*Laporan Suruhanjaya Sekuriti menunjukkan beliau merupakan CEO dengan gaji tertinggi di Malaysia selepas CEO Genting Â
Hanya selepas tahun 2019 gaji beliau dikurangkan dengan drastik kepada RM12.8 juta dan RM9.6 juta pada tahun 2020 dimana Sapura mencatatkan kerugian RM4.565 bilion. Berdasarkan Laporan Suruhanjaya Sekuriti yang dikeluarkan, gaji yang diterima Shahril ini masih dianggap besar kerana gaji penengah CEO di sektor tenaga hanyalah RM3.44 juta.
Bahkan CEO Maybank yang merekodkan keuntungan setinggi RM6.5 bilion pada tahun 2020 hanya meraih gaji sebanyak RM9.4 juta.
Lantas, kewajaran Sapura Energy memberi pampasan yang tinggi kepada CEO tatkala syarikat berada di dalam kegawatan sudah pasti akan dipersoalkan.

Bukan itu saja, Sapura juga dilaporkan telah membayar ratusan juta ringgit yuran jenama ( branding fees ) kepada syarikat yang dimiliki oleh keluarga Tan Sri Shahril sendiri kerana menggunakan nama Sapura.
*Nama Sapura diambil daripada nama isteri/ibu pengasas/bekas CEO Sapura bernama Siti Sapura Husin
Berdasarkan laporan tahunan yang diterbitkan, Sapura Energy membayar RM83.4 juta kepada Sapura Holdings Sdn Bhd yang dimiliki secara peribadi oleh Tan Sri Shahril dari tahun 2018 hingga 2021.
Manakala sebanyak RM280 juta yuran jenama dibayar kepada Sapura Holdings Sdn Bhd dan Kencana Capital Sdn Bhd ( yang dimiliki oleh Mokhzani Mahathir ) untuk tujuan yang sama dari tahun 2014 hingga 2017.
*SapuraCrest Petroleum & Kencana Petroleum bergabung pada tahun 2012
Liabiliti
Najib Razak di dalam hantarannya menyatakan bahawa kegagalan Sapura untuk meneruskan perniagaan akan mengakibatkan kesan yang besar kepada bank-bank yang turut dimiliki oleh PNB seperti Maybank.
Berdasarkan penyata kewangan terkini, Sapura mempunyai keseluruhan liabiliti hampir RM16 bilion dengan pinjaman sebanyak RM10.7 bilion. Angka ini satu jumlah yang besar dan dapat dilihat terhadap kos pembiayaan Sapura yang menjangkau lebih RM500 juta setahun.
Walaubagaimanapun, jika nasib Sapura kurang bernasib baik dimana syarikat terpaksa dicairkan, aset-aset Sapura bernilai RM16.2 bilion mungkin mampu menampung sebahagian besar pinjaman-pinjaman bank yang telah diberikan.
Ini seiring dengan amalan di seluruh dunia di mana pihak pemberi pinjaman antara kumpulan pertama yang akan menerima agihan hasil daripada pencairan aset syarikat-syarikat yang bankrap.
Kerugian langsung yang dialami oleh PNB juga dijangka tidak signifikan jika dibandingkan dengan saiz aset sebanyak RM322.6 bilion yang berada di bawah kelolaan PNB.
Persoalan sama ada wajar Sapura diselamatkan hanya mampu dijawab oleh Kerajaan. Apa yang penting ketika ini, kepentingan orang ramai sebagai pelabur dan pembayar cukai perlulah diutamakan agar tidak berlaku pembaziran melibatkan dana awam hanya kerana ingin menjaga periuk nasi sebilangan pihak sahaja.