Harga Minyak Petrol di Malaysia Kekal Antara Yang Termurah Di Dunia

Share it
Harga minyak global mencanak naik setelah Rusia menceroboh Ukraine

Petrol merupakan antara bahan keperluan rakyat Malaysia yang paling sensitif sekali. Hampir setiap minggu sekali rakyat Malaysia akan berhenti di stesen minyak bagi mengisi tangki kereta ataupun motosikal mereka.

Pada harga RM2.05 seliter, rakyat Malaysia menikmati subsidi oleh Kerajaan sebanyak RM1.80 seliter*. Jumlah subsidi yang ditanggung Kerajaan dijangka akan terus bertambah setelah harga minyak mentah dunia meningkat melebihi $110 setong susulan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

*Harga petrol RON95 tanpa subsidi dianggarkan sekitar RM3.85 seliter pada harga semasa

Tahun lalu, dengan harga purata minyak mentah yang jauh lebih rendah, Kerajaan Malaysia membelanjakan kira-kira RM8 bilion bagi menyalurkan subsidi petrol. Dengan jumlah penggunan petrol setinggi 14.4 bilion liter setahun, harga semasa minyak mentah yang meningkat melangkaui $110 setong sudah pastinya memberi tekanan yang tinggi kepada poket Kerajaan.

Anggaran kasar Ekonomi Rakyat menunjukkan Kerajaan dijangka membayar sehingga RM26 bilion bagi meneruskan subsidi kepada rakyat pada harga semasa. Angka ini bersamaan dengan 150% daripada keseluruhan subsidi dan bantuan sosial yang diperuntukan Kerajaan di dalam Belanjawan 2022.

Harga minyak RON95 kekal pada RM2.05 seliter

Harga Minyak Malaysia Terlalu Rendah

Harga minyak di Malaysia pada RM2.05 seliter merupakan antara yang terendah di dunia. Berdasarkan kompilasi yang dikeluarkan oleh Global Oil Prices, hanya terdapat beberapa buah negara sahaja yang mempunyai harga minyak yang lebih rendah berbanding Malaysia.

Hampir kesemua negara tersebut mempunyai kadar pengeluaran minyak yang jauh lebih tinggi berbanding penggunaan domestik.

Dalam kalangan negara-negara Asia Tenggara, harga Minyak di Malaysia merupakan yang terendah selepas Brunei. Singapura misalnya menetapkan harga minyak sebanyak RM8.51 seliter. Manakala Thailand dan Indonesia masing-masing menetapkan harga pada RM5.71 dan RM3.78 seliter.

Malaysia dalam kalangan negara-negara yang mempunyai harga petrol terendah di dunia – 5 Mac 2022

Di Malaysia, polisi mesra kereta yang diperkenalkan Kerajaan telah mengakibatkan pemilikan kereta yang tinggi sekaligus mendorong kepada penggunaan minyak yang lebih tinggi.

Polisi semasa yang memberikan subsidi di pam sudah pastinya tidak lagi mampan buat keadaan fiskal negara. Seperti yang dilaporkan oleh Ekonomi Rakyat pada tahun lalu, sebahagian besar subsidi ini hanya memanfaatkan golongan berpendapatan tinggi.

Golongan berpendapatan tinggi membolot sebahagian besar subsidi minyak

Golongan tertinggi 20% mengaut 42% daripada keseluruhan subsidi minyak manakala golongan terbawah 20% hanya menikmati 4% daripada keseluruhan subsidi minyak yang diperuntukkan Kerajaan.

[ Baca Artikel Di Sini : Patutkah Subsidi Minyak Digantikan Dengan Bantuan Tunai ]

Langkah pentadbiran Barisan Nasional untuk mengapungkan harga minyak tidak bertahan lama. Menjelang Pilihan Raya Umum ke-14, Kerajaan pada ketika itu mengekalkan harga minyak pada RM2.20 seliter bagi memastikan isu kenaikan harga minyak tidak dipolitikkan semasa Pilihan Raya.

Pentadbiran Pakatan Harapan mengapungkan semula harga minyak pada harga semasa namun apabila negara dilanda krisis Covid-19, pentadbiran Perikatan Nasional menetapkan harga siling minyak RON95 pada RM2.05 seliter bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga minyak global yang mula pulih selepas kejatuhan mendadak harga minyak dunia pada awal krisis Covid-19.

Apungkan Harga Minyak?

Pengapungan harga minyak sudah semestinya bukan langkah yang popular untuk dilaksanakan Kerajaan. Dengan kadar inflasi yang sudahpun tinggi iaitu pada 2.5% pada tahun lalu, peningkatan bahan api bakal melonjakkan lagi kos sara hidup rakyat kerana ia mempunyai kesan domino terhadap harga barangan lain.

Harga minyak petrol di Malaysia merupakan yang terendah di Asia Tenggara selepas Brunei – 5 Mac 2022

Pada detik ini, penerusan subsidi menyeluruh di pam kelihatan tidak mampan untuk jangka masa yang panjang kerana belanja yang terlalu besar buat perbendaharaan negara. Kerajaan mungkin boleh mempertimbangkan untuk menambah peruntukan Bantuan Keluarga Malaysia disamping menarik kembali subsidi runcit minyak secara beransur-ansur.

Namun ia tetap akan menjadi satu langkah yang tidak popular secara keseluruhannya….. Atau Kerajaan boleh menggunakan keuntungan besar yang bakal dijana PETRONAS ( jika harga minyak kekal tinggi ) untuk terus membiayai dasar subsidi yang terbukti tidak efisien ini.