25 Tahun Belanjawan Defisit – Mampukah Defisit Fiskal Dikurangkan?

Gambar oleh FB Anwar Ibrahim
Share it
Kerajaan dijangka kutip RM291.5 bilion hasil pada tahun 2023

Belanjawan 2023 baru sahaja dibentangkan baru-baru ini di Dewan Rakyat oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pembentangan pada 24 Februari lalu merupakan Belanjawan kali kesembilan yang pernah dibentangkan oleh beliau, menyamai rekod Tengku Razaleigh Hamzah yang memegang jawatan Menteri Kewangan antara tahun 1976 hingga 1984.

Sebenarnya, Belanjawan 2023 telah pun dibentangkan oleh bekas Menteri Kewangan Tengku Zafrul sekitar Oktober tahun lalu. Namun begitu, Belanjawan tersebut tidak sempat dibahas dan dilulus ekoran pembubaran Parlimen bagi memberi ruang kepada Pilihanraya Umum Ke-15.

Sejumlah RM388.1 billion diperuntukkan dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan semula ini, dengan RM289.1 bilion untuk perbelanjaan mengurus, RM99 bilion bagi perbelanjaan pembangunan serta RM2 bilion bagi simpanan luar jangka. Jumlah peruntukan ini adalah lebih besar berbanding RM372.3 billion yang diumumkan dalam Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Tengku Zafrul tahun lalu.

Secara keseluruhannya, pertumbuhan ekonomi dijangka menyederhana kepada 4.5% bagi tahun 2023. Jangkaan ini adalah sejajar dengan pertumbuhan ekonomi global yang turut dijangka sederhana sekitar 2.9% akibat tekanan-tekanan yang masih melingkari seperti momentum ekonomi global yang perlahan serta dasar kewangan yang masih ketat di kebanyakan negara untuk mengekang kenaikan inflasi.

Kerajaan Malaysia hanya mengutip 15.4% hasil berbanding saiz ekonomi negara ini, jauh lebih rendah berbanding 22.3% yang direkodkan pada tahun 2023

Di sebalik peruntukan besar yang diumumkan dalam Belanjawan 2023, Kerajaan diunjur mampu mengutip hasil RM291.5 billion tahun ini, turun sedikit sebanyak 1% berbanding RM294.4 billion yang dikutip sepanjang tahun 2022. Penurunan ini berpunca dari ekonomi global yang dijangka perlahan serta harga komoditi yang dijangka menyederhana tahun ini.

Kesinambungan Program-Program Lepas

Secara keseluruhannya, kandungan Belanjawan 2023 tampak seperti tiada apa yang baharu kerana kebanyakan program atau insentif yang diumumkan hanyalah kesinambungan daripada apa yang telah pun dijalankan sebelum-sebelum ini.

Bahkan, ada sesetengah program seperti bantuan tunai Kerajaan Persekutuan hanyalah dijenamakan semula daripada Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) kepada Sumbangan Tunai Rahmah (STR), yang dijangka memanfaatkan kira-kira 8.7 juta penerima berpendapatan bawah RM2,500. Kerajaan turut berjanji akan memberi bantuan tambahan sebanyak RM600 lagi buat isi rumah termiskin yang tersenarai dalam pangkalan data e-Kasih.

Antara isu utama yang dibangkitkan dalam pembentangan Belanjawan 2023 baru-baru ini juga adalah mengenai tahap hutang negara yang dilapor akan mencecah RM1.2 trillion, bersamaan lebih 60% daripada KDNK negara. Bayaran khidmat hutang sahaja dijangka sekitar RM46 billion, melepasi had maksimum 15 peratus yang ditetapkan selama ini.

Isu hutang negara yang tinggi ini turut diulas oleh Bank Dunia Malaysia dalam Laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia berjudul ‘Expanding Malaysia’s Digital Frontier’ yang dilancarkan awal Februari lalu. Hutang Kerajaan Persekutuan yang tinggi akibat dari perbelanjaan besar-besaran yang diamalkan semasa tempoh pandemik COVID-19 dikhuatiri berisiko mengehadkan ruang fiskal negara.

Lantaran itu, Bank Dunia Malaysia menggesa Kerajaan untuk mencari sumber baharu bagi meningkatkan hasil negara, serta mengurangkan perbelanjaan-perbelanjaan besar yang membebankan kewangan negara seperti pemberian subsidi petrol, diesel dan LPG secara universal. Sepanjang tahun lepas sahaja, Kerajaan membelanjakan RM50.8 billion untuk subsidi bahan api berikutan harga minyak global dan arang yang naik mendadak akibat peperangan Rusia-Ukraine.

Kerajaan menyemak semula kadar cukai pendapatan individu

Kadar Cukai Pendapatan Baharu: M40 Suka, T20 Sengsara?

Antara yang mencuri tumpuan pada pembentangan Bajet 2023 ini ialah pengurangan kadar cukai pendapatan sebanyak 2% buat golongan M40 yang memiliki banjaran pendapatan tahunan antara RM35,000 sehingga RM100,000. Pengurangan cukai ini bertujuan memberi lebih banyak pendapatan boleh guna untuk dibelanjakan kira-kira 2.4 juta pembayar cukai dalam kategori M40.

Dalam masa yang sama, kadar cukai pendapatan dinaikkan antara 0.5% hingga 2% buat golongan T20 yang menerima pendapatan tahunan antara RM100,000 hingga RM1 juta. Pemindahan kadar cukai antara golongan M40 dan T20 ini dikatakan merupakan sebahagian usaha Kerajaan untuk mewujudkan sebuah sistem percukaian yang lebih progresif.

Pelaksanaan kadar cukai pendapatan baharu ini mungkin memberi sedikit kelegaan kepada golongan M40. Namun, kesan penurunan kadar cukai pendapatan golongan M40 ini juga harus dilihat dari pelbagai sudut kerana hasil cukai bersih Kerajaan dijangka berkurang sebanyak RM900 juta. Walaupun Kerajaan menggantikan kadar cukai pendapatan yang dipotong 2% daripada golongan M40 ini dengan menaikkannya buat golongan T20, kurang daripada 150,000 pembayar cukai T20 yang dijangka terlibat dengan kenaikan ini.

Apa yang diharapkan ialah pendapatan boleh guna yang bertambah selepas kadar cukai pendapatan dikurangkan itu akan ‘dipulangkan’ semula kepada ekonomi menerusi perbelanjaan-perbelanjaan yang dibuat.

Dalam pada itu, Kerajaan juga akan memperkenalkan cukai barangan mewah bagi pembelian barangan-barangan mewah dengan had nilai tertentu mengikut jenis barang mewah seperti jam tangan dan barangan fesyen mewah. Deloitte Malaysia meramalkan peningkatan kadar cukai pendapatan buat golongan T20 serta pelaksanaan cukai barangan mewah berpotensi melonjakkan hasil cukai negara sebanyak 4% berbanding tahun lalu.

Cukai Keuntungan Modal juga turut disebut sedang dikaji untuk diperkenalkan bermula tahun 2024 bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat.

Duti eksais juga akan dikenakan ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape, dengan separuh daripada hasil duti eksais ini akan diperuntukkan semula kepada Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mendokong ikhtiar Generational Endgame (GEG) serta meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan.

Kerajaan sasar untuk mengurangkan defisit fiskal kepada 3.2% menjelang tahun 2025

Belanjawan Defisit, Norma Baharu?

Sedar ataupun tidak, pembentangan Belanjawan 2023 baru-baru ini juga merupakan ‘ulang tahun’ jubli perak yang ke-25 Malaysia berbelanjawan defisit. Lantaran itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan hasrat Kerajaan untuk menurunkan nisbah defisit kepada KDNK negara daripada 5.6% yang dicatatkan pada tahun 2022 kepada 5% bagi tahun 2023. Kerajaan turut menyasarkan untuk mengurangkan lagi nisbah itu kepada 3.2% menjelang 2025 demi menuju kewangan negara yang lebih mampan.

Namun, adakah sasaran ini realistik memandangkan berbaki lebih kurang dua tahun sahaja lagi sebelum 2025? Lebih-lebih lagi, apabila hasil negara turut diramal turun 1% bagi tahun 2023, sejajar dengan pertumbuhan ekonomi global yang perlahan dan penurunan harga komoditi.

Sebagai perbandingan, nisbah defisit kepada KDNK negara pernah merekodkan sekitar 5.4% semasa tahun 2010, tidak lama selepas Krisis Kewangan Global melanda. Malaysia mengambil masa sekitar enam tahun untuk menurunkan nisbah defisit menjadi 3.2% kepada KDNK, semasa tahun 2015.

Dengan prospek ekonomi yang semakin muram, hanya terdapat dua kaedah sahaja dibawah kawalan Kerajaan untuk mengurangkan defisit fiskal negara pada tahun-tahun mendatang. Pertama, mengurangkan perbelanjaan. Namun, langkah ini sudah pasti bakal menimbulkan kemarahan orang ramai kerana berbelanja kurang buat rakyat.

Tambahan lagi sistem kesihatan negara ini yang semakin berada di dalam keadaan kritikal akibat kekurangan tenaga kerja bagi menyokong perkhidmatan kesihatan kepada rakyat. Sebarang usaha untuk menyelesaikan isu ini sudah semestinya akan memberi implikasi yang besar buat kewangan negara.

Alternatif lain bagi mengurangkan defisit adalah dengan meningkatkan hasil melalui cukai, yang mana turut bakal membangkitkan kegusaran orang ramai. Apatah lagi cukai-cukai yang memberi impak signifikan terhadap kewangan negara hanya terhad kepada cukai kepenggunaan seperti Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST).

Dilema inilah menyebabkan Kerajaan Malaysia untuk sekian lama meneruskan tradisi Belanjawan defisit sejak tahun 1998 walaupun teori konvensional menyarankan perbelanjaan Kerajaan harus bergantung kepada kitaran ekonomi dimana belanjawan defisit hanya diamalkan apabila ekonomi bergerak perlahan.

Satu-satunya harapan untuk defisit fiskal 3.2% dapat dicapai adalah melalui pertumbuhan ekonomi pantas untuk beberapa tahun hadapan. Namun situasi ini bukanlah dibawah kawalan Kerajaan kerana prospek ekonomi negara kita sentiasa bergantung kepada prestasi ekonomi global.

Gambar utama oleh FB Anwar Ibrahim