CEO di Malaysia Dibayar Gaji 141 Kali Lebih Tinggi Berbanding Pekerja

Share it

 

Nisbah gaji CEO dan pekerja di Malaysia meningkat dari 98 pada tahun 2010 kepada 141 pada tahun lalu. Dalam kata lain, bagi setiap RM1 yang dibayar kepada pekerja bawahan, CEO syarikat akan menerima RM141 dan apa yang lebih membimbangkan adalah jurang ini semakin besar berbanding dengan apa yang direkodkan pada tahun 1990 dimana nisbah gaji CEO dan pekerja hanya 30 kali.

Kebimbangan mengenai jurang gaji yang semakin melebar ini mendapat perhatian ramai pihak terutamanya di Amerika Syarikat. Menurut AFL-CIO, CEO syarikat S&P 500 memperoleh gaji 287 kali ganda lebih tinggi berbanding gaji pekerja penengah. Secara purata, CEO syarikat-syarikat ini memperoleh $14.5 juta pada 2018 manakala pekerja pula hanya menerima gaji sekitar $40,000 setahun.

Di Malaysia, isu-isu berkenaan jurang gaji diantara pekerja dan orang atasan jarang mendapat liputan. Salah satunya adalah kerana kekurangan maklumat untuk dibuat perbandingan. Oleh itu, pihak Ekonomi Rakyat mengambil inisiatif sendiri untuk membuat kiraan berdasarkan data yang sedia ada.

jurang gaji ceo pekerja | ekonomi rakyat

Menurut Laporan Pembangunan Manusia 2013, gaji CEO di Malaysia secara purata pada tahun 1990 hanyalah RM274,800 setahun manakala gaji pekerja mengikut kiraan kami pula adalah sekitar RM9,274 setahun. Jurang gaji ini terus melebar RM265,526 setahun pada 1990 kepada RM1,692,696 pada 2010.

Hal ini kerana gaji CEO telah meningkat dari RM274,800 pada 1990 kepada RM1.71 juta setahun pada 2010 manakala gaji pekerja pula hanya meningkat kepada RM17,304.

Mengikut kiraan yang dibuat, perbezaan gaji antara CEO dan pekerja ini semakin ketara dimana pekerja pada tahun lalu dianggarkan menerima RM37,044 ( berdasarkan laporan Gaji dan Upah 2018 ) manakala CEO pula menerima gaji sekitar RM5.2 juta setahun. Dalam kata lain, pertumbuhan gaji pekerja hanya meningkat 7.91% setahun mulai dari tahun 2010 manakala gaji CEO pula berkembang pada 11.8% setahun sekaligus melebarkan jurang gaji kepada 141 kali.

CEO malaysia gaji | Ekonomi rakyat

Untuk perbandingan, jurang gaji diantara CEO dan pekerja di Singapura hanyalah 74 kali bahkan wilayah yang terkenal dengan pengamalan sistem kapitalis seperti Hong Kong juga mempunyai nisbah yang lebih rendah berbanding di Malaysia iaitu pada 102 kali.

Di Malaysia, Lim Kok Thay merupakan CEO yang mempunyai pendapatan paling tinggi sekali. Beliau yang merupakan CEO konglomerat Genting memperoleh kira-kira RM248 juta dari Genting Berhad & Genting Malaysia Berhad pada 2018. Sebagai perbandingan, CEO Fonterra dan Macquarie yang mempunyai pendapatan paling tinggi di New Zealand dan Australia pun masing-masing memperoleh RM22 juta dan RM50 juta.

Meskipun Malaysia belum lagi mencapai status negara maju, namun pendapatan ‘ top CEOs ‘ di Malaysia ini lebih tinggi berbanding gaji CEO di New Zealand dan Australia dimana KDNK per kapita mereka dua dan tiga kali lebih tinggi berbanding Malaysia.

Gaji CEO paling tinggi | ekonomi rakyat

Selain Lim Kok Thay, Shahril Samsuddin dari Sapura Energy juga menerima gaji yang tinggi iaitu sebanyak RM71.92 juta setahun. Antara syarikat lain yang tersenarai dalam senarai CEO berpendapatan paling tinggi adalah IOI Corporation Berhad ( RM39.01 juta ) dan IHH Healthcare ( RM33.89 juta ).

Sebelum ini, Ekonomi Rakyat di dalam artikel yang lepas turut mendedahkan bahawa CEO Airasia, Tony Fernandes memperoleh gaji tahunan sekitar RM22 juta pada tahun 2018. [ pautan sini ]

CEO Gaji Tinggi. Jadi Kenapa?

senarai gaji ceo paling tinggi | ekonomi rakyat

Jurang gaji yang besar diantara CEO dan pekerja turut menyumbang kepada ketidaksamaan di dalam negara dimana sebilangan elit ataupun golongan kaya mengaut sejumlah besar pendapatan negara. Ketidaksamaan seperti ini jika tidak dibendung boleh memberikan impak yang negatif kepada negara.

Negara yang mempunyai mempunyai ketidaksamaan yang tinggi lebih cenderung untuk terlibat dengan konflik keganasan disebabkan rasa ketidakpuasan hati sebilangan pihak di dalam sesuatu negara. Laporan OECD pada 2014 turut menyatakan jurang ketidaksamaan pendapatan yang semakin melebar boleh membantutkan pertumbuhan ekonomi negara.

Bahagian kedua artikel ini boleh dibaca disini [ klik pautan ]

Ralat

Terbitan asal artikel ini menganggarkan gaji purata tahunan pekerja pada tahun 1990 adalah RM2,400 berdasarkan Malaysia Human Development Report 2013. Angka ini disemak semula oleh Ekonomi Rakyat kepada RM9,274 berdasarkan Laporan Isi Rumah 1989 dan International Labour Organisation untuk perkiraan yang lebih tepat.

Kredit imej feature : Straits times