Apa Naratif Kempen PRU-15?

Share it

Pada saat ini, tinggal beberapa minggu sahaja lagi sebelum para pengundi menentukan siapakah yang layak untuk menerajui negara melalui Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15.

Menariknya, suasana politik di Malaysia ternyata telah berubah sejak PRU-14 yang lalu. Jika dahulu, sebelum PRU dijalankan lagi rakyat Malaysia sudah boleh meneka siapakah yang akan memenanginya dek kerana kurangnya persaingan antara parti-parti kerajaan dan pembangkang.

Namun, semuanya berubah apabila parti-parti politik di Malaysia sudah mula pandai mencari kawan serta lawan. Pelbagai kerjasama politik telah dijalinkan, baik di blok kerajaan mahupun pembangkang untuk lebih berpeluang menang PRU.

Semasa PRU-14, bukan sahaja Barisan Nasional (BN) yang terkejut, malahan seluruh negara terkejut melihat keputusan PRU. Mana tidaknya, BN yang telah memerintah selama hampir lebih 60 tahun ditewaskan oleh Pakatan Harapan (PH). Pemimpin-pemimpin PH yang selama ini hanya pandai membangkang di Parlimen telah bertukar watak menjadi kerajaan.

Namun, riwayat PH sebagai kerajaan tidak kekal lama apabila Langkah Sheraton dijalankan.

Persoalannya, adakah persaingan politik ini membawa kebaikan kepada rakyat, atau hanya memperjudikan kestabilan politik negara?

Yang pasti, PRU-15 pada tanggal 19 November ini tentunya berbeza berbanding PRU sebelum-sebelum ini. Dalam masa empat tahun ini sahaja pelbagai kejadian tidak diingini telah melanda Malaysia. Bermula dengan tercetusnya pandemik COVID-19, rakyat Malaysia telah dihidangkan dengan ‘drama’ pertukaran Perdana Menteri sebanyak tiga kali. Tidak lama selepas itu Parlimen telah menurunkan had umur pengundi kepada 18 tahun yang menjadi gamechanger di PRU-15

Pada PRU-15 ini, tiga gabungan politik terbesar, Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) akan berentap sesama mereka. Setiap gabungan politik ini semestinya ada strategi dan naratif politik tersendiri yang akan dimainkan untuk ‘memancing’ undi rakyat.

BN: ‘Kestabilan dan Kemakmuran’

BN merupakan gabungan politik yang paling lama wujud dalam sejarah politik Malaysia. Mereka juga memegang rekod sebagai kerajaan yang paling lama memerintah, bermula sejak negara merdeka sehinggalah ditewaskan pada PRU-14.

Terbalik dengan kes PH tadi, riwayat BN sebagai pembangkang tidak kekal lama apabila mereka kembali menjadi kerajaan selepas Langkah Sheraton seperti mana yang diimpikan oleh Zahid Hamidi suatu ketika dahulu.

Untuk PRU-15, BN mengangkat kestabilan politik, dengan mengumumkan ‘Kestabilan dan Kemakmuran’ sebagai tema utama manifesto mereka. Hal ini kerana menurut mereka, rakyat sudah merasa muak dengan percaturan politik yang menyaksikan tiga Perdana Menteri bersilih ganti dalam tempoh kurang lima tahun ini.

Mengangkat slogan ini sebagai naratif utama dalam menghadapi Pilihan Raya adalah sesuatu yang ironi buat BN. Hal ini kerana merekalah antara aktor utama di dalam Langkah Sheraton yang menyaksikan TS Muhyiddin Yassin diangkat menjadi Perdana Menteri. Dan mereka jugalah yang menarik sokongan kepada Muhyiddin Yassin bagi menggantikan beliau dengan calon Perdana Menteri daripada Barisan Nasional.

Dengan slogan yang tidak menepati kehendak nurani rakyat, BN berdepan cabaran besar untuk mengembalikan kepercayaan pengundi terutamanya dalam kalangan pengundi bandar dan pengundi muda.

Pun begitu, BN dijangka akan terus mendapat sokongan daripada pengundi-pengundi di kawasan luar bandar yang rata-ratanya pengundi Melayu. Namun jika inilah satu-satu strategi memenangi Pilihan Raya, BN mungkin berdepan jalan sukar untuk ke Putrajaya andai sokongan terhadap mereka tidak meningkat.

PH: Reformasi Institusi…. 

Satu-satunya gabungan politik yang pernah menjadi kerajaan menerusi PRU selain BN, PH menekankan reformasi politik dan ekonomi melalui pentadbiran yang cekap dan berintegriti.

Tidak dinafikan secara amnya PH mempunyai rekod pentadbiran yang bersih (mungkin kerana tempoh pemerintahan yang pendek). Namun, untuk mentadbir sesebuah negara tidak cukup dengan integriti semata-mata. Apa yang diperlukan juga adalah kecekapan.

Tempoh 22 bulan PH memerintah kerajaan bukanlah sebuah momen indah yang berbaloi untuk dikenang. Masalah bermula seawal manifesto PRU mereka yang menjanjikan bulan dan bintang buat rakyat Malaysia dalam masa 100 hari. Namun, apabila mereka naik menjadi kerajaan, barulah PH sedar betapa susah dan tidak realistiknya janji-janji mereka seperti pemansuhan tol dan hutang PTPTN.

Sehinggakan Dr Mahathir terpaksa mempertahankannya dengan berkata “Manifesto Bukan Bible”.

Isu-isu ekonomi antara isu utama yang dimainkan di dalam Pilihan Raya kali ini. Posisi PH sebagai pembangkang membolehkan agenda ini diketengahkan dengan lebih berkesan dalam menarik undi-undi golongan muda.

Harga barang yang semakin tinggi, gaji yang rendah serta isu-isu sktruktur lain yang membelenggu jutaan warga Malaysia dijangka bakal menjadi senjata dan zikir harian buat mereka, lebih-lebih lagi dalam tempoh berkempen ini.

Namun demikian, PH tetap berdepan tugasan sukar untuk menembusi pemikiran kumpulan Melayu konservatif. Apatah lagi kini masyarakat Melayu mempunyai dua pilihan dominan, BN atau PN, untuk memilih wakil rakyat yang ‘lebih Melayu’ berbanding gabungan politik PH yang didominasi oleh bukan Melayu.

Tetapi dari sudut yang lain, strategi mereka untuk berkempen isu-isu ekonomi dipercayai mampu menarik sokongan pengundi muda, terutamanya pengundi-pengundi baru, berbeza dengan BN dan PN yang lebih memfokuskan sokongan mereka terhadap pengundi-pengundi Melayu di luar bandar.

PN: Perpaduan Melayu-Islam, Tolak DAP Komunis

Topik Melayu-Islam bukanlah sebuah modal politik yang baru memandangkan kaum Melayu memiliki jumlah pengundi teramai. Tidak keterlaluan untuk dikatakan kadangkala isu Melayu-Islam ini sering ditunggang untuk mengapi-apikan sentimen perkauman dan memancing sokongan orang Melayu.

PAS misalnya, sering meratib betapa bahayanya sekiranya orang Melayu menyokong DAP. Kata mereka, DAP yang rata-ratanya diwakili oleh kaum Cina adalah penyebar ideologi komunis yang hanya mahu menjatuhkan raja dan keistimewaan orang Melayu. Ironinya, PAS juga pernah bekerjasama dengan DAP ketika bersama Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat.

Parti Bersatu lain pula ceritanya. Dahulu mereka bersama PH, namun kini mereka dicop sebagai ‘pengkhianat’ kerana terlibat dengan Langkah Sheraton. Ada juga yang berpendapat Bersatu hanya menumpang ‘aura’ Tun Mahathir semasa PRU yang lepas. Cabaran besar buat Bersatu semestinya untuk mengekalkan kerusi-kerusi milik pada PRU-15.

Dari sudut yang lain, naratif kempen Perikatan Nasional lebih rapat dengan Barisan Nasional dimana kedua-dua gabungan politik ini akan bersaing bagi mendapatkan sokongan maksimum daripada pengundi Melayu.

Pengundi bukan-Melayu sudah semestinya bukan target market buat mereka.

Siapa Yang Bakal Menang?

Kempen dan naratif di dalam Pilihan Raya merupakan instrumen penting parti-parti politik bagi mendapatkan undi. Strategi kempen yang dirangka haruslah ‘kena’ dan ‘masuk’ dengan sentimen jutaan pengundi-pengundi atas pagar yang masih belum membuat keputusan di luar sana.

Hal ini kerana merekalah ‘kingmaker’ sebenar di dalam Pilihan Raya. Setakat artikel ini ditulis, hampir 31% pengundi menyatakan mereka masih belum membuat keputusan mengenai parti manakah yang bakal disokong di PRU-15, menurut tinjauan Merdeka Centre. Bahkan tidak terkejut sekiranya ada di antara mereka yang hanya akan membuat keputusan pada saat terakhir memangkah kertas undi.

Ini bukanlah jumlah kecil kerana jika angka ini bersifat representatif, bilangan pengundi yang masih belum membuat keputusan adalah bersamaan dengan 4.43 juta orang pengundi. Ini merupakan market yang perlu diburu oleh ketiga-tiga gabungan politik dominan di negara ini dan bukan hanya memfokuskan kepada existing customers ataupun pengundi tegar mereka semata-mata.

Persoalan siapakah yang bakal menang PRU-15 mungkin sukar dijawab melihatkan kepada senario politik semasa. Mungkin tiada mana-mana gabungan politik yang akan mendapat majoriti dan kemenangan mutlak untuk membentuk kerajaan, sekaligus menyebabkan Kerajaan Minoriti atau Kerajaan Gabungan terpaksa dibentuk bagi mencukupkan kuota minimum 112 sokongan Ahli Parlimen.