Bajet 2023 – Menuju Pilihan Raya Umum Ke-15

Share it
Kerajaan dijangka menjana hasil sebanyak RM272.6 bilion pada tahun hadapan

Bajet 2023 merupakan perencah penting buat pentadbiran Perdana Menteri Ismail Sabri dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 tidak lama lagi. Spekulasi pembubaran Parlimen yang berlegar pada Khamis akhirnya tenggelam setelah Menteri Kewangan, Tengku Zafrul membentangkan Bajet 2023 pada petang Jumaat yang lalu.

Kerajaan merancang untuk membelanjakan RM372.3 bilion pada tahun hadapan dengan RM94.3 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan. RM5 bilion lagi diperuntukkan Kerajaan melalui Kumpulan Wang Covid-19 bagi tujuan sokongan bantuan sosial kepada kumpulan yang mudah terjejas dan selebihnya untuk perbelanjaan operasi.

Tahun hadapan, Purajaya menganggarkan akan menjana hasil sebanyak RM272.6 bilion, sedikit rendah berbanding RM285.2 bilion yang bakal diterima tahun ini. Pengurangan hasil ini didorong oleh pengurangan dividen PETRONAS yang bakal diterima Kerajaan sebanyak RM35 bilion berbanding RM50 bilion yang akan diterima pada tahun ini.

Dokumen Kementerian Kewangan mengunjurkan defisit fiskal negara bakal berkurang dari 5.8% pada tahun ini kepada 5.5% pada tahun hadapan berbanding saiz ekonomi. Namun dari sudut angka sebenar, defisit negara kekal berada melebihi RM98 bilion sejak tahun 2020 rentetan daripada perbelanjaan besar Kerajaan dalam memerangi pandemik Covid-19

Program Bantuan Sosial Diteruskan

Beberapa program utama bantuan sosial seperti Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) diteruskan Putrajaya untuk tahun hadapan. Isi rumah berpendapatan RM2,500 sebulan kebawah dengan lima anak atau lebih dijangka menerima sehingga RM2,500 bantuan tunai melalui BKM.

RM272.3 bilion diperuntukkan untuk tujuan perbelanjaan operasi

Manakala bagi kumpulan isi rumah berpendapatan RM2,500 hingga RM5,000 sebulan, mereka dijangka menerima diantara RM500 hingga RM1,250 bantuan daripada Kerajaan bergantung kepada bilangan anak.

Menurut ucapan Bajet 2023 yang dibentangkan Tengku Zafrul, peruntukan keseluruhan BKM pada tahun hadapan adalah sebanyak RM7.8 bilion, sedikit rendah berbanding peruntukan RM8.2 bilion pada Bajet 2022 yang dibentangkan pada tahun lalu.

Kumpulan M40 turut bakal menerima manfaat daripada pengurangan kadar cukai pendapatan sebanyak 2% bagi individu yang mempunyai banjaran pendapatan bercukai diantara RM50,000 hingga RM100,000 setahun.

Selain daripada itu, lapan juta individu yang mempunyai pendapatan tahunan kurang dari RM100,000 setahun juga bakal menerima kredit e-dompet bernilai RM100. Insentif ini diberikan bagi meluaskan lagi penggunaan pembayaran tanpa tunai dalam kalangan rakyat Malaysia.

Beberapa program melibatkan kanak-kanak juga mendapat peruntukan yang lebih tinggi. Bayaran Bantuan Awal Persekolahan dinaikkan dari RM100 kepada RM150 bagi setiap kanak-kanak bersekolah. Manakala peruntukan program Rancangan Makanan Tambahan ditingkatkan dari RM2.50 kepada RM3.00 di Semenanjung Malaysia dan RM3.00 kepada RM3.50 di Sabah dan Sarawak.

Kerajaan akan membelanjakan RM95 bilion untuk tujuan perbelanjaan pembangunan

Kadar cukai untuk perusahaan mikro, kecil & sederhana (PMKS) turut diturunkan kepada 15% berbanding 17% bagi pendapatan bercukai RM100,000 pertama. Menurut Tengku Zafrul, insentif ini dijangkakan menjimatkan sehingga RM2,000 kepada lebih 150,000 pembayar cukai PMKS.

Penjawat awam juga antara yang mendapat habuan melalui Bajet kali ini. Bantuan Kewangan bakal disalurkan sebanyak dua kali membabitkan pembayaran keseluruhan sebanyak RM1,300 buat penjawat awam gred 56 dan kebawah. Kenaikan gaji tahunan juga bakal ditingkatkan dengan penambahan RM100 sekaligus menjadikan tunai tambahan yang bakal diterima tahun hadapan berjumlah RM2,500.

Belanja Semakin Tinggi, Hasil Tumbuh Perlahan

Hutang Kerajaan Persekutuan meningkat melangkaui RM1 trilion

Data anggaran hasil dan perbelanjaan Kerajaan untuk tahun 2023 mendedahkan kekangan hebat yang dihadapi oleh Putrajaya setelah bergelut selama dua tahun dalam memerangi wabak Covid-19.

Menurut kiraan Ekonomi Rakyat, sejak tahun 2012 yang lalu, hasil yang dijana Kerajaan hanya meningkat pada kadar 3.2% setahun dari RM207.9 bilion kepada RM285.2 bilion pada tahun ini. Namun dalam tempoh yang sama, perbelanjaan negara naik padar kadar 4.4% setahun dari RM249.9 bilion kepada RM384.7 bilion.

Defisit yang tinggi ini mengakibatkan Malaysia mengalami peningkatan hutang yang mendadak bersamaan dengan 61.0% berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini. Angka ini melebihi had siling hutang yang ditetapkan Kerajaan iaitu sebanyak 55% dahulu sebelum disemak semula kepada 65% setelah Covid-19 melanda.

Peningkatan hutang Kerajaan ini mendorong kepada kenaikan bayaran khidmat hutang (caj faedah) yang terpaksa diperuntukkan Kerajaan. Kini, Kerajaan terpaksa membelanjakan 15.1% (RM43.1 bilion) daripada keseluruhan hasil untuk membiayai kos faedah, jauh lebih tinggi berbanding 9.4% (RM19.5 bilion) yang dibelanjakan sepuluh tahun yang lalu.

Pada tahun hadapan, kos khidmat hutang dijangka meningkat kepada RM46.1 bilion yang bersamaan dengan 16.9% daripada kutipan hasil.

*Perbelanjaan operasi Kerajaan hanya boleh dibiayai melalui kutipan hasil. Hutang hanya boleh digunakan untuk membiayai perbelanjaan pembangunan bertujuan untuk memastikan Kerajaan mengamalkan disiplin fiskal yang baik

Selain daripada bayaran khidmat hutang, Kerajaan juga berdepan tekanan dalam mengawal perbelanjaan terhadap emolumen (pembayaran gaji penjawat awam) dan bayaran persaraan kepada bekas kakitangan Kerajaan yang masing-masing mencecah RM90.1 bilion dan RM29.1 bilion pada tahun hadapan.

Trend Tidak Mampan….. Potong Perbelanjaan atau Tambah Pendapatan?

Melihat kepada kenaikan perbelanjaan mendadak, Kerajaan hanya mempunyai dua pilihan dalam mengurangkan defisit fiskal. Pertama, potong perbelanjaan. Kedua, jana hasil tambahan.

Pemotongan perbelanjaan mungkin bakal dilaksanakan selesai Pilihan Raya Umum Ke-15 dilangsungkan. Perbelanjaan subsidi yang tidak efisien seperti subsidi minyak, elektrik mungkin bakal disemak semula kepada kaedah pemberian subsidi yang lebih bersasar lebih cost-effective.

Perbelanjaan pembangunan juga antara komponen yang boleh dikurangkan meskipun tidak baik untuk perkembangan sosio-ekonomi negara untuk jangka masa panjang.

Pilihan kedua adalah dengan menambah ruang kutipan hasil buat Kerajaan. Bermula awal tahun hadapan, cukai barangan bernilai rendah (RM500 kebawah) bakal dikenakan terhadap barangan yang dibeli secara atas talian.

Walaupun begitu, kutipan hasil daripada pengenalan cukai ini tidak signifikan kerana hanya akan menjana sekitar RM200 juta buat Putrajaya.

Cukai-cukai lain seperti cukai barangan & perkhidmatan (GST), cukai keuntungan luar biasa, cukai keuntungan modal sudah semestinya berada di dalam minda pemikir-pemikir Kerajaan bagi memastikan negara mempunyai hasil yang mencukupi untuk tahun-tahun yang mendatang.

2023 – Tahun Mencabar

Kerajaan naikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 6.5%-7.0% pada tahun ini

Berbaki kurang tiga bulan lagi, prospek pertumbuhan ekonomi pada tahun ini dijangka cemerlang setelah Malaysia mencatatkan pertumbuhan 5.0% dan 8.9% pada suku pertama dan kedua tahun ini. Kerajaan juga telah menyemak semula unjuran pertumbuhan keseluruhan tahun ini dari 5.5%-6.5% kepada 6.5%-7.0%.

Rentetan kenaikan kadar bunga yang mendadak terutamanya di Amerika Syarikat dan zon Eropah, Kerajaan Malaysia meramalkan pertumbuhan ekonomi bakal menyederhana kepada 4.0%-5.0% pada tahun hadapan. Ini bukanlah perkembangan yang baik buat PM Ismail Sabri dalam menghadapi PRU15 kelak jika diadakan pada tahun hadapan.

Selain isu ekonomi perlahan, beliau juga bakal menghadapi tekanan ekonomi dari sudut kemerosotan nilai Ringgit, inflasi, isu peluang pekerjaan yang dijangka menjadi modal politik pihak lawan. Bukan itu sahaja, politik dalaman UMNO juga dijangka bakal mewujudkan rintangan buat beliau dalam memastikan kedudukannya sebagai PM terjamin pasca-PRU15.