Banjir Tak Bermusim – Adakah Malaysia Sedang Menuju Krisis Tanpa Pengakhiran?

Share it

Kekerapan banjir di Malaysia kini di tahap yang membimbangkan apabila meningkat dengan begitu ketara sejak akhir ini. Menurut pangkalan data bencana antarabangsa EM-DAT, 85% daripada bencana alam yang berlaku di Malaysia sejak tahun 2000 hingga kini ialah bencana banjir sekaligus menunjukkan banjir sebagai bencana alam yang paling kerap melanda negara ini. 

Dahulu, hanya kawasan-kawasan yang dikenali sebagai ‘hotspot’ banjir seperti negeri-negeri Pantai Timur (Pahang, Kelantan dan Terengganu) dan Johor sahaja yang kerap dilanda bencana ini. Namun begitu, kini fenomena banjir sudah menjadi semakin tidak dijangka dan sukar diramal kerana ia turut melanda negeri-negeri lain yang tidaklah dikategorikan sebagai berisiko banjir pada asalnya. 

Misalnya, banjir yang berlaku pada hujung tahun 2024 baru-baru ini telah melanda sembilan buah negeri di Semenanjung Malaysia, iaitu Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Kedah, Perlis, Johor, Pahang, Melaka dan Selangor. Banjir yang berlaku pada kali ini telah menjejaskan lebih 150,000 mangsa di seluruh negara. Malah, ibu kota pentadbiran negara di Putrajaya turut terjejas dengan banjir kilat yang berlaku pada 8 Disember 2024, walaupun hujan lebat dikatakan turun hanya selama beberapa jam sahaja.

Setiap kali banjir melanda, bukan sahaja nyawa penduduk terancam dan mereka terpaksa berpindah keluar daripada kediaman masing-masing, malah ia mengakibatkan kemusnahan harta benda yang sangat dahsyat. Infrastruktur-infrastruktur kritikal seperti jalan raya dan jambatan yang musnah serta bekalan elektrik yang terputus menelan kos besar dan mengambil masa berminggu-minggu atau berbulan untuk dibaiki.

Kerugian akibat banjir dianggarkan menjangkau hampir RM800 juta pada tahun 2023

Aktiviti ekonomi tempatan turut lumpuh dengan kerugian yang mencecah jutaan ringgit. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kerugian akibat banjir dianggarkan menjangkau hampir RM800 juta pada tahun 2023. Antara yang paling teruk terjejas ialah kerosakan pada aset awam dan infrastruktur dengan jumlah kerugian sebanyak RM380.7 juta. Sektor pertanian dan pembuatan juga turut terjejas dengan skala yang besar, masing-masing merekodkan kerugian berjumlah RM120.6 juta dan RM10.3 juta. Sektor perkhidmatan turut tidak terkecuali daripada terjejas akibat banjir, dengan kerugian pada premis perniagaan yang mencecah RM53.2 juta. Rata-rata premis perniagaan yang terjejas akibat banjir tergolong dalam sektor perkhidmatan.

Tinjauan yang dibuat oleh Bank Dunia turut mendedahkan bahawa impak banjir terhadap sektor swasta berbeza-beza bergantung kepada saiz syarikat. Perniagaan bersaiz kecil dan sederhana (PKS) dilihat lebih terkesan akibat banjir kerana mereka kebiasannya tidak memiliki insurans bencana yang secukupnya. Akses kredit yang terhad menyebabkan PKS menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pembiayaan yang mencukupi bagi membaik pulih premis perniagaan mereka. Dengan sumber kewangan yang terhad, usaha untuk kembali beroperasi pasca banjir terus menjadi cabaran besar buat mereka.

Ramai pengusaha PKS terpaksa bergantung kepada simpanan peribadi atau mencari alternatif lain untuk memastikan kelangsungan perniagaan mereka. Untuk membantu meringankan beban kewangan ini, Bank Negara Malaysia (BNM) dan institusi kewangan lain sering memperkenalkan langkah sokongan seperti moratorium pinjaman semasa dan selepas bencana. Moratorium ini memberi penangguhan bayaran balik pinjaman, membolehkan PKS memberikan tumpuan kepada usaha pemulihan sambil mengurangkan tekanan kewangan yang dihadapi. Selain itu, bank juga menawarkan skim pembiayaan khas dengan kadar faedah yang rendah untuk membantu perniagaan bangkit semula selepas mengalami kerugian akibat banjir.

Harus diingatkan, impak negatif yang dibawa akibat banjir bukan sahaja bersifat jangka pendek dan fizikal semata-mata. Kesihatan mental penduduk juga mungkin terjejas, lebih-lebih lagi mereka yang tinggal di kawasan berisiko tinggi dan terpaksa berhadapan dengan bencana banjir saban tahun. Penduduk lain yang tidak terjejas dengan bencana banjir juga mungkin terkena tempiasnya, antaranya menerusi kenaikan harga makanan seperti sayur-sayuran di pasaran. Pertubuhan Pekebun Sayur-Sayuran Cameron Highlands sudah pun mengeluarkan kenyataan memaklumkan bahawa harga sayur-sayuran dijangka terus naik lebih 50% sehingga akhir Disember tahun ini akibat faktor cuaca yang tidak menentu.

Persoalan yang harus dibincangkan ialah kenapa bencana banjir berlaku tiap-tiap tahun di Malaysia dan sampai bila situasi ini akan dibiarkan terus berlaku tanpa solusi yang lebih praktikal?

Punca Banjir Berlaku di Malaysia

Terdapat beberapa faktor semula jadi yang menyumbang kepada berlakunya bencana banjir di Malaysia, termasuk hujan lebat yang berterusan serta fenomena air laut pasang besar. Sebagai sebuah negara beriklim hutan hujan tropika, Malaysia menerima purata taburan hujan yang tinggi kira-kira 3,500 mm setahun. Corak taburan hujan di Malaysia dipengaruhi oleh tiupan angin monsun Timur Laut dan Barat Daya. Kebiasaannya, semasa monsun Timur Laut yang berlaku antara bulan November hingga Mac, kawasan-kawasan yang terletak di Pantai Timur Semenanjung Malaysia dan Sabah serta Barat Sarawak akan sering mengalami hujan lebat, sekali gus meningkatkan risiko banjir di kawasan tersebut. 

Di samping taburan hujan, faktor seperti saiz dan kedalaman sungai yang sempit dan cetek juga boleh menyebabkan banjir berlaku kerana tidak dapat menampung kuantiti air yang banyak sewaktu hujan lebat.

Selain itu, faktor-faktor buatan manusia, antaranya seperti pembangunan yang terlalu pesat tanpa kawalan, undang-undang penggunaan tanah yang lemah, kekurangan infrastruktur saliran yang mencukupi atau longkang-longkang yang tersumbat akibat pembuangan sampah – kesemuanya ini turut mengakibatkan banjir, terutamanya di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur.

Apa yang Kerajaan Sudah Lakukan Setakat Ini?

Untuk memahami usaha kerajaan dalam menangani bencana banjir di Malaysia, adalah penting untuk menilai langkah-langkah yang telah diambil setakat ini. Secara amnya, usaha mitigasi banjir yang dilaksanakan oleh kerajaan biasanya melibatkan pendekatan menyeluruh yang boleh terbahagi kepada tiga fasa utama: sebelum banjir (ex-ante), semasa banjir dan selepas banjir (ex-post). 

Langkah pencegahan (ex-ante) dilaksanakan bertujuan untuk mengurangkan risiko banjir dan memastikan kesiapsiagaan masyarakat dan agensi yang terlibat. Antara usaha yang diambil termasuk dengan membina infrastruktur-infrastruktur seperti empangan, tebatan banjir, sistem saliran dan memperdalam sungai untuk menampung lebih banyak air hujan. Perbincangan bersama pihak-pihak berkepentingan turut dilakukan untuk memastikan perancangan mitigasi banjir ini dapat dilaksanakan mengikut standard yang terbaik. 

Sistem amaran awal seperti laman sesawang Public Info Banjir yang diuruskan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga telah diperkenalkan sejak tahun 1999 untuk memberi amaran kepada penduduk di kawasan berisiko. Dari tahun ke tahun, laman sesawang tersebut telah ditambah baik, antaranya dengan memasukkan maklumat-maklumat penting seperti lokasi pusat pemindahan, status terkini banjir serta maklumat amaran hujan dan paras air sungai yang dipaparkan secara interaktif. Penggunaan teknologi seperti paparan imej real time di beberapa buah sungai juga diperhebatkan bagi memastikan data yang diberikan kepada orang ramai adalah lebih relevan dan terkini. 

Semasa banjir, fokus utama adalah untuk melindungi nyawa dan keselamatan penduduk yang terjejas. Langkah-langkah yang biasanya dilakukan termasuk evakuasi atau pemindahan penduduk dari kawasan berisiko tinggi ke pusat pemindahan sementara (PPS). Kerjasama antara agensi-agensi utama seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) digerakkan untuk memastikan operasi penyelamatan berjalan lancar. Bantuan kecemasan seperti makanan, air bersih, pakaian dan ubat-ubatan diagihkan kepada mangsa banjir melalui usaha bersepadu antara kerajaan dan organisasi bukan kerajaan (NGO).

Selepas banjir (ex-post), langkah-langkah yang diambil lebih memfokuskan untuk memulihkan kehidupan masyarakat yang terjejas serta memperbaiki infrastruktur-infrastruktur awam yang telah rosak. Bantuan kewangan akan disalurkan kepada keluarga yang terjejas untuk membantu mereka memulakan semula kehidupan. Penilaian pasca-bencana turut dijalankan untuk menilai punca banjir, tahap keberkesanan langkah mitigasi dan mengenal pasti penambahbaikan usaha mitigasi banjir yang boleh dilakukan untuk meningkatkan kesiapsiagaan di masa hadapan. Kos kerugian akibat banjir juga dianggarkan bagi mengira kos perbelanjaan untuk baik pulih serta merancang strategi pemulihan yang lebih berkesan.

Penguatkuasaan Undang-Undang Penggunaan Tanah yang Ketat Untuk Mengurangkan Risiko Banjir

Banjir yang semakin kerap berlaku di Malaysia memerlukan pendekatan menyeluruh serta strategi jangka panjang untuk mengurangkan risiko bencana berkenaan pada masa hadapan. Salah satu langkah penting yang sepatutnya menjadi fokus kerajaan adalah memperketatkan undang-undang berkaitan penggunaan tanah. Dalam erti kata lainnya, kawalan terhadap projek-projek pembangunan di kawasan yang berisiko banjir, seperti tanah rendah, harus diperketatkan untuk mengelakkan kemusnahan harta benda dan nyawa yang lebih besar. Apa yang mungkin boleh dipertimbangkan ialah kawasan-kawasan berisiko banjir ini sepatutnya diwartakan sebagai zon larangan pembangunan. 

Kerajaan juga perlu memastikan bahawa pemaju hartanah tidak membina infrastruktur komersial dan perumahan di kawasan yang terdedah kepada risiko bencana alam tanpa perancangan mitigasi dan penilaian impak alam sekitar yang teliti. Langkah ini boleh dilaksanakan dengan lebih berkesan, misalnya melalui penguatkuasaan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 dan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang menatijahkan kawalan yang lebih ketat ke atas kelulusan projek pembangunan. 

Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) yang bakal dibentang oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Parlimen tahun depan juga sewajarnya lebih menitikberatkan aspek bencana banjir, terutamanya dalam membuat perancangan bandar yang lebih selamat buat penduduk dan orang awam. RUU PSB mungkin berpotensi untuk menjadi kerangka undang-undang pembangunan bandar yang lebih moden dan mampan apabila Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memaklumkan antara elemen yang bakal difokuskan dalam RUU ini termasuk untuk memperketatkan proses kelulusan projek bagi mengelakkan kejadian bencana seperti banjir kilat daripada berlaku.

Walaupun Malaysia telah memiliki pelbagai undang-undang dan garis panduan berkaitan dengan perancangan bandar dan penggunaan tanah, keberkesanan peraturan tersebut bergantung sepenuhnya kepada penguatkuasaan yang tegas dan konsisten. Jika undang-undang ini gagal dikuatkuasakan dengan tegas, risiko banjir akan terus meningkat, seperti yang dapat dilihat dalam beberapa insiden baru-baru ini.

Kes banjir besar di Taman Sri Muda pada Disember 2021 menjadi contoh yang jelas bagaimana pembangunan yang tidak dirancang dengan baik boleh membawa akibat buruk. Kawasan ini, yang pada asalnya dipercayai telah dirancang sebagai zon tadahan banjir, telah diubah menjadi kawasan perumahan. Lebih memburukkan keadaan, kawasan tersebut yang dibangunkan secara tidak terkawal tanpa mempertimbangkan impak jangka panjang terhadap alam sekitar telah meningkatkan risiko banjir dengan ketara. Insiden banjir di Taman Sri Muda ini telah mendorong sebilangan penduduk mamfailkan saman terhadap beberapa agensi Kerajaan Pusat dan negeri termasuk NADMA, MBSA, KDEB Waste Management Sdn Bhd dan TNB kerana didakwa cuai dan berlakunya pelanggaran tanggungjawab ketika bencana banjir itu berlaku.

Laporan Ketua Audit Negara 2019 mendedahkan enam kolam takungan banjir di Kuala Lumpur telah diluluskan pemberimilikan bagi tujuan pembangunan projek-projek perumahan dan komersial.

Sebuah lagi contoh yang boleh dibincangkan ialah apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) didapati telah meluluskan enam kolam takungan banjir yang sepatutnya berfungsi untuk mengatasi masalah banjir bagi tujuan pembangunan projek-projek perumahan dan komersial, sepertimana yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 Siri 2. 

Kes-kes seperti banjir di Taman Sri Muda dan pendedahan mengenai kelulusan pembangunan di kolam takungan banjir oleh DBKL jelas menunjukkan pentingnya kawal selia dan penguatkuasaan undang-undang berkaitan perancangan dan pembangunan bandar. Dalam kes ini, bukan sahaja pemaju swasta perlu bertanggungjawab, tetapi agensi kerajaan juga sepatutnya memainkan peranan besar dalam memastikan risiko banjir dapat diminimumkan. Apabila agensi kerajaan sendiri gagal mematuhi piawaian atau meluluskan projek yang jelas bercanggah dengan peranan asas mereka, persoalan besar timbul mengenai siapa yang akan memantau dan memastikan agensi-agensi kerajaan ini bertanggungjawab?

Sekiranya undang-undang tidak dikuatkuasakan dengan tegas dan kes-kes sebegini dibiarkan senyap sahaja tanpa tindakan selanjutnya, risiko banjir bukan sahaja meningkat tetapi juga ia akan mengikis kepercayaan rakyat terhadap keupayaan kerajaan dalam melindungi mereka.

Untuk memastikan tanggungjawab sosial yang lebih tinggi dalam kalangan sektor swasta, Parti Sosialis Malaysia (PSM) misalnya, telah mencadangkan agar pemaju projek turut menyumbang kepada pembiayaan kos projek tadahan banjir. Langkah ini bertujuan untuk melibatkan sektor swasta secara langsung dalam usaha mitigasi bencana, terutamanya di kawasan yang terdedah kepada risiko banjir. Dengan menyumbang kepada projek seperti tadahan banjir, pemaju hartanah bukan sahaja membantu mengurangkan risiko banjir tetapi juga menunjukkan komitmen mereka terhadap pembangunan yang lebih lestari. 

Selain itu, pendekatan ini dapat meringankan beban kewangan kerajaan dalam melaksanakan projek infrastruktur mitigasi banjir. Dengan kerjasama antara sektor awam dan swasta, lebih banyak kawasan berisiko tinggi dapat dilindungi, sekaligus mengurangkan kerugian ekonomi dan sosial akibat bencana alam. Namun, untuk merealisasikan cadangan ini, diperlukan mekanisme yang jelas dan telus bagi memastikan sumbangan daripada pemaju digunakan secara berkesan.

Belajar Pengalaman Urus Banjir dari Negara-Negara Lain

Pengalaman dari negara-negara lain juga boleh dijadikan teladan dalam usaha Malaysia menguruskan isu banjir dengan lebih efektif. 

Projek Room for River di Belanda

Di Belanda, sebagai contoh, sistem tebatan banjir yang dikenali sebagai “Room for the River” berjaya mengurangkan impak banjir dengan mengembalikan fungsi semula jadi sungai. Belanda yang terletak di pertembungan tiga sungai utama, iaitu sungai Rhine, Meuse dan Scheldt sering terdedah kepada risiko banjir. Program “Room for the River”, sesuai dengan namanya, melibatkan beberapa inisiatif yang bertujuan untuk memberikan lebih banyak ruang kepada sungai untuk menampung air. Antara langkah yang diusahakan termasuk memperluaskan sungai dan mengubah suai landskap untuk membolehkan air mengalir dengan lebih lancar. Pendekatan berasaskan alam semula jadi yang diambil oleh Belanda bukan sahaja berjaya mengurangkan risiko banjir tetapi juga terbukti memberi manfaat tambahan seperti meningkatkan biodiversiti dan memperbaiki kualiti air untuk jangka panjang.

Begitu juga di Jepun, negara tersebut menggunakan teknologi canggih untuk mengawal banjir seperti Metropolitan Area Outer Underground Discharge Channel atau lebih popular dikenali sebagai G-Cans, yang berfungsi untuk mengalirkan lebihan air hujan ke terowong bawah tanah bagi mengelakkan banjir besar di kawasan bandar. Teknologi ini, walaupun mahal, telah terbukti sangat berkesan dalam melindungi kawasan bandar daripada kerosakan besar akibat banjir. Malaysia, terutamanya di kawasan bandar besar seperti Kuala Lumpur, boleh belajar daripada pendekatan ini dengan melabur dalam infrastruktur moden dan sistem kejuruteraan yang inovatif untuk mengawal aliran air.

Projek G-Cans di Tokyo, Jepun

Walau bagaimanapun, teknologi secanggih mana pun tidak akan berkesan sekiranya mentaliti dan sikap penduduk tidak berjaya diubah, terutamanya dalam menjaga alam sekitar dengan lebih baik. Hal ini kerana Kuala Lumpur sudah mempunyai teknologi seperti Terowong SMART bagi mengawal banjir kilat, namun mengapakah banjir tetap sering berlaku walaupun kadang kalanya hujan hanyalah sekejap sahaja? Ini tidak lain tidak bukan turut berpunca daripada sikap negatif seperti mencemarkan alam sekitar, membuang sampah sesuka hati dan tidak mematuhi garis panduan pengurusan sisa yang lama-kelamaan mengakibatkan sistem perparitan tersumbat, yang seterusnya menyebabkan berlakunya banjir kilat.

Sekiranya isu banjir tidak ditangani segera, ia akan terus menjadi bencana yang memberikan kesan besar terhadap kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara. Menurut data dari Internal Displacement Monitoring Centre (IDMC), Malaysia telah mencatatkan kerugian ekonomi yang menyamai 0.13% daripada KDNK negara akibat bencana banjir yang berlaku antara tahun 2008 hingga 2022. Dalam tempoh tersebut, hampir satu juta rakyat Malaysia telah terjejas, dengan ramai kehilangan tempat tinggal, sama ada secara sementara atau kekal.