Dalam surat kepada penggubal undang-undang AS, Pejabat Belanjawan Kongres (CBO) menyatakan pertumbuhan ekonomi AS untuk tahun 2020 hingga 2030 akan berkurang $7.9 trilion dari jangkaan asal yang diramalkan pada bulan Januari lalu. Pengurangan ini bersamaan dengan 3% KDNK AS berbanding unjuran awal.
Ramalan mengenai kesan wabak Covid-19 terhadap ekonomi ini muncul seminggu selepas pegawai Rumah Putih mengumumkan mereka tidak akan mendedahkan jangkaan pertumbuhan ekonomi AS dalam semakan belanjawan pertengahan penggal tahunan musim panas ini.
Pandemik Covid-19 turut memberi kesan kepada pertumbuhan ekonomi AS termasuk pengurangan jumlah perbelanjaan pengguna sekaligus memaksa banyak perniagaan ditutup. Sebahagian daripada impak ini ditampung oleh pakej rangsangan ekonomi daripada kerajaan AS sebanyak AS$2 trilion melalui perbelanjaan kecemasan kerajaan buat isi rumah dan perniagaan.
Impak pandemik terhadap ekonomi global termasuk ekonomi AS amat besar. Kadar pengangguran meningkat dari 3.5% pada Februari kepada 14.7% pada April, kutipan cukai merosot, perbelanjaan melonjak secara drastik sebelum ekonomi mengecut setelah mencatat pertumbuhan positif selama bertahun-tahun.
“Pertumbuhan perlahan bermakna kadar penggangguran lebih tinggi, gaji lebih rendah dan pendapatan orang ramai berkurangan. Perkara sebegitulah apa yang kita akan lihat untuk tempoh 10 tahun seterusnya.” Ketua pakar ekonomi Upwork Adam Ozimek menambah
Ketika ini, penggubal undang-undang AS sedang berdebat mengenai memperbaharui pakej-pakej bantuan ekonomi AS yang dijangka berakhir tidak lama lagi termasuk faedah pengangguran yang dijangka tamat pada Julai.
“Untuk mengelakkan risiko Great Depression, Senat harus bertindak dengan pantas untuk memastikan bahawa setiap orang di Amerika mempunyai pendapatan yang mereka perlukan untuk menyediakan makanan kepada ahli keluarga mereka serta mempunyai tempat berteduh,”