Influencepreneur – Dari Influencer ke Perniagaan

Share it

Media sosial mempunyai pengaruh yang besar dalam dunia pada hari ini. Ledakan penggunaan Internet dan peranti mudah alih seperti telefon pintar dan tablet dalam tempoh beberapa dekad yang lepas telah mencipta sebuah segmen perniagaan baharu yang dikenali sebagai ekonomi digital.

Kepesatan teknologi sejak akhir ini juga telah mencipta pelbagai platform perniagaan atas talian seperti Amazon, Shopee, Taobao dan Lazada. Di samping itu, platform-platform media sosial seperti Facebook, TikTok dan X memainkan peranan signifikan sebagai medium pemasaran dalam menyokong ketersambungan antara penawaran dan permintaan bagi barangan dan perkhidmatan yang ada dalam pasaran. Bahkan ada sesetengah platform media sosial tersebut juga mempunyai platform perniagaan atas talian mereka yang tersendiri seperti Facebook Shops dan TikTok Shop.

Jika dahulu, transaksi perniagaan yang dilakukan hanya boleh dilakukan secara fizikal serta dalam lingkungan geografi yang agak terhad. Namun, dengan wujudnya platform-platform seperti di atas, seseorang individu itu boleh membuat pembelian sesuatu produk walaupun ia dihasilkan di negara lain yang beribu kilometer jauhnya. 

Perkembangan ini juga telah mewujudkan sebuah rantaian peluang pekerjaan yang besar dalam pelbagai sektor, daripada operator kilang dalam sektor pembuatan, kepada pemandu lori, krew kapal kargo dan penghantar kurier dalam sektor logistik, sehinggalah kepada pasukan perkhidmatan pelanggan, dan sebagainya.

Menurut kajian Bank Dunia, ekonomi digital menyumbangkan lebih 15% kepada KDNK di peringkat global. Trend yang hampir sama dapat dilihat di Malaysia, dengan ekonomi digital menyumbangkan 23.2% kepada KDNK negara, menurut Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC). 

Influencer atau Pempengaruh, Watak Penting Di Sebalik Gelombang Ekonomi Digital

Di sebalik ekosistem ekonomi digital yang begitu luas ini, wujud sebuah watak yang turut sama memainkan peranan penting dalam memacu perkembangan segmen perniagaan ini. Jika perkataan ini disebut beberapa dekad yang lepas, bunyinya mungkin kedengaran agak aneh.

Namun, pada hari ini terma influencer atau pempengaruh sudah dikenali dengan cukup popular. Malah, kamus Merriam-Webster telah mula mengiktiraf dengan memasukkan perkataan influencer ke dalam senarainya pada tahun 2019. Begitu juga dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang mula menggunakan istilah pempengaruh sekitar tahun 2020, berdasarkan semakan di Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) DBP.

Namun, siapakah dia influencer atau pempengaruh ini? Menurut DBP, ‘digital influencer’ atau pempengaruh digital boleh ditakrifkan sebagai “Individu yang mempunyai kuasa untuk mempengaruhi orang lain dalam bidang digital menerusi kuasa, ilmu pengetahuan, kedudukan atau hubungannya dengan pengguna”. Ini bermakna seorang pempengaruh mempunyai kuasa dan kedudukan sosial yang besar kerana mereka berupaya mempengaruhi perilaku dan sikap orang awam, termasuklah dalam membuat pembelian sesuatu barangan atau perkhidmatan yang dijual.

Fenomena ini menyebabkan ada dalam kalangan mereka yang menjadikan aktiviti sebagai seorang pempengaruh ini secara sepenuh masa, malah sebagai sumber pendapatan utama. Apa yang menariknya, kebanyakan pempengaruh ini memulakan perjalanan mereka sebagai pencipta kandungan secara aktiviti suka-suka di waktu lapang. Namun, imej dan personaliti yang ditampilkan oleh mereka telah menarik minat ramai pengikut, sekali gus membawa kepada munculnya nama-nama pempengaruh terkemuka dalam negara seperti Khairul Aming, Cik Epal, Mekyun, Jestinna Kuan dan sebagainya. Pengikut-pengikut mereka ada yang mencecah ratusan ribu, malah jutaan. 

Namun, tidak semestinya semua pempengaruh mempunyai pengikut yang sebegitu ramai. Ada juga yang mempunyai jumlah pengikut lebih kecil antara 1,000 hingga 100,000 pengikut, mereka ini lebih dikenali sebagai microinfluencer. Dalam kalangan pempengaruh, ada yang menggunakan nama dan identiti sebenar mereka dalam dunia nyata, namun ada juga yang menggunakan nama samaran secara anonymous.

Influencer Marketing (Pemasaran Pempengaruh)

Populariti yang dimiliki golongan pempengaruh turut menarik minat sesetengah jenama atau syarikat untuk menawarkan peluang kolaborasi kepada mereka untuk memasarkan produk-produk kepada pengikut-pengikut di media sosial, lazimnya melalui kaedah paid review.

Selain itu, ada juga syarikat yang menaja pakej percutian kepada pempengaruh-pempengaruh di media sosial. Pempengaruh tersebut kemudiannya akan membuat kandungan yang berkaitan bagi mempromosikan produk-produk tersebut. Antara pempengaruh-pempengaruh popular dalam segmen pelancongan di Malaysia seperti Zaza dari Merantau Dunia dan Fikri Zamri.

Bukan itu sahaja, malah ada antara pempengaruh ini mengorak langkah yang lebih berani dengan memperkenalkan jenama dan produk mereka yang tersendiri, seperti Sambal Nyet dan Daging Dendeng (Khairul Aming), minyak wangi Owlet (Ceddy), lilin Nyala (Azfar Heri) dan sebagainya. 

Boleh dikatakan ada dalam kalangan pempengaruh (influencer) kini bukan sahaja lagi sebagai seorang pencipta kandungan (content creator), namun ada yang sudah menjadi seorang inflencepreneur, iaitu pempengaruh (influencer) + usahawan (entrepreneur).

Kos, Saiz Pasaran dan Peluang Menjana Pendapatan Lumayan 

Tiga faktor utama yang menyebabkan semakin ramai orang menceburi kerjaya influencer ialah dari sudut kos yang lebih rendah, saiz pasaran yang besar dan peluang untuk menjana pendapatan yang lumayan. 

Berbanding dengan usahawan lain, seorang influencepreneur memerlukan kos yang lebih kecil untuk memasarkan produk-produk perniagaan mereka. Hal ini kerana seorang pempengaruh berupaya membina personal branding mereka di media sosial dengan membuat kandungan-kandungan yang menarik serta berinteraksi secara langsung dengan pengikut-pengikut. Di peringkat permulaan, mungkin cukup dengan adanya sebuah telefon pintar, kamera, perisian pengeditan percuma (seperti Capcut etc.) dan sebagainya pun sudah memadai untuk membuat kandungan di media sosial.

Bagi pempengaruh yang membuat paid review bagi jenama atau syarikat tertentu, mereka hanya perlu membuat kandungan bagi menarik minat pengikut dan orang awam di media sosial untuk membeli produk-produk tersebut. Kos-kos lain seperti penghasilan dan penghantaran produk diuruskan sepenuhnya oleh syarikat-syarikat tersebut. Selain pendapatan menerusi paid review, ada juga pempengaruh yang menjana pendapatan menerusi aktiviti monetizing di platform-platform media sosial. Sekiranya kandungan mereka di media sosial melepasi ambang tontonan dan impression yang tertentu, mereka akan dibayar sejumlah wang oleh pengendali platform berkenaan. 

*Tidak hairanlah di X (dahulu dikenali sebagai Twitter), ada pempengaruh yang sanggup menggunakan platform NGL bagi memancing engagement bersama pengguna media sosial lain, termasuklah dengan cara berkongsi ‘pengakuan-pengakuan’ atau confession yang mengarut

Namun, situasinya berbeza untuk pempengaruh yang memasarkan produk keluaran mereka sendiri kerana perlu menanggung kos yang lebih besar. Ini termasuklah kos pengeluaran dan overhead bagi memastikan perniagaan mereka kekal mampan dan berdaya saing untuk jangka masa panjang.

Pengaruh besar yang dimiliki oleh seorang pempengaruh di media sosial membolehkan mereka untuk memasarkan produk dengan lebih efektif serta mencapai target audience yang lebih ramai, lebih-lebih lagi dengan kuasa viral yang ada dalam dunia media sosial pada hari ini.

Berbanding syarikat-syarikat yang menjalankan perniagaan sebagai sebuah entiti yang mempunyai elemen korporat, pempengaruh mempunyai kelebihan apabila mereka mampu berinteraksi secara terus dengan target audience mereka di media sosial.

Secara tidak langsung, pendekatan tersebut membolehkan mereka membina imej keyakinan serta kesetiaan yang tinggi dalam kalangan pengikut di media sosial untuk terus menjadi pembeli bagi produk-produk yang dijual. Interaksi secara langsung di media sosial juga memberi peluang kepada mereka untuk mengenal pasti demografi target audience untuk membuat analisis pasaran bagi memaksimakan jualan dan keuntungan.

Menurut Laporan Capaian ICT Oleh Isi Rumah 2022 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), 96% isi rumah di Malaysia mempunyai akses kepada Internet. Tinjauan yang dijalankan oleh DataReportal mendapati terdapat kira-kira 26.8 juta pengguna media sosial di Malaysia setakat Januari 2023, mewakili 78.5% daripada keseluruhan jumlah penduduk.

Seorang rakyat Malaysia juga didapati menghabiskan kira-kira tiga jam sehari menggunakan aplikasi media sosial atau bersamaan 46 hari setahun. Malaysia juga merupakan negara keenam dengan masa skrin tertinggi di dunia, menurut Sortlist.

Antara aplikasi media sosial yang mempunyai pengguna teramai di Malaysia ialah Facebook (20.25 juta), YouTube (23.90 juta), TikTok (19.30 juta), Instagram (13.90 juta) dan Twitter (5.50 juta), menurut DataReportal.

Data-data di atas bererti pempengaruh yang menceburi bidang perniagaan secara atas talian berupaya membuat jualan dengan lebih banyak berdasarkan saiz pengguna media sosial yang ada dalam negara, sekali gus berpeluang meraih pendapatan yang lebih besar. 

Misalnya, Khairul Aming yang mempunyai lebih 10 juta pengikut di X, TikTok dan Instagram dilaporkan berjaya meraih jualan RM1.2 juta dalam tempoh tiga minit ketika produk Daging Dendeng pertama kali dijual pada  Februari lepas. Khairul Aming turut mendedahkan bahawa produk Sambal Nyet keluarannya telah berjaya mencatatkan jualan berjumlah RM21.5 juta dalam tempoh dua tahun. Apa yang menariknya, pempengaruh sebegini bukan hanya menjana pendapatan untuk diri sendiri, malah mereka kini mampu mencipta peluang pekerjaan dan pendapatan kepada orang lain, serta dalam masa yang sama membantu merancakkan ekonomi setempat.

Ekonomi Infleunceprenuer: Bukan Hanya Mimpi Indah Belaka

Di sebalik keghairahan dan kerancakan dalam fenomena influenceprenuer ini, terdapat beberapa aspek yang perlu diberikan perhatian sewajarnya. Meskipun pekerjaan sebagai seorang pempengaruh nampak seperti mudah, namun hakikatnya secara tidak langsung mereka perlu bersaing dengan pempengaruh-pempengaruh lain di media sosial, terutamanya jika mereka menjual produk yang hampir lebih kurang sama.  Hal ini kerana sesiapa sahaja boleh mengorak langkah untuk menjadi influencer.

High Risk, High Return

Meskipun sering kedengaran kisah-kisah epik seperti Khairul Aming yang berjaya meraih jualan jutaan ringgit, namun hakikatnya mungkin hanya berapa peratus sahaja pempengaruh yang mampu meraih pendapatan lumayan sedemikian. 

Seperti yang didedahkan oleh pempengaruh kandungan masakan terkenal di laman Youtube, Che Nom. Menurut beliau, dakwaan bahawa seseorang Youtuber boleh meraih pendapatan sehingga ratusan ribu dalam masa sebulan mungkin benar, tetapi hanya segelintir atau 0.01% sahaja yang boleh berbuat demikian. Namun, untuk mencapai pendapatan sebegitu banyak, beliau berkata sekurang-kurang tujuh kandungan perlu dihasilkan dalam masa seminggu, dengan anggaran purata lebih 300,000 tontonan bagi setiap video.  

Meskipun mereka memiliki pengaruh dan pengikut yang ramai, ia tidak semestinya menjanjikan seseorang pempengaruh itu boleh 100% berjaya dalam menjalankan perniagaan. Hal ini kerana untuk menjalankan perniagaan dengan baik, pelbagai skill dan ilmu diperlukan supaya tidak tersilap langkah di kemudian hari. Menjadi seorang ahli perniagaan memerlukan set kemahiran yang berbeza berbanding menjadi seorang pembikin kandungan semata-mata.

Di samping itu, seorang pempengaruh juga perlu sentiasa berwaspada dalam menampilkan imej mereka di media sosial, walaupun mereka tidak menceburi dalam aktiviti perniagaan sekali pun. Sekiranya mereka melakukan sesuatu yang menyentuh sensitiviti masyarakat umum, berkemungkinan besar mereka akan di ‘cancel’ serta kehilangan pengikut, terutamanya dengan kuasa viral yang begitu dahsyat pada hari ini. Oleh itu, keadaan ini menuntut pempengaruh agar menitikberatkan sebuah lagi aspek yang turut sama penting iaitu dari segi perhubungan awam (public relations, PR) di media sosial, lebih-lebih lagi dalam menguruskan damage control.

Selain itu, seorang pempengaruh juga perlu sentiasa kreatif memerah idea bagi mencipta kandungan yang menarik bagi terus mengekalkan pengikut sedia ada serta menambah bilangan pengikut baharu. Namun, disebabkan struktur pekerjaan mereka ini yang berbeza berbanding pekerjaan di sektor-sektor formal, mereka juga terdedah kepada risiko kurangnya prospek dan pembangunan kerjaya (career development) yang progresif, seiring dengan usia. Sekiranya mereka sudah kekeringan idea untuk menghasilkan kandungan-kandungan yang menarik, ditambah pula dengan gelombang pempengaruh-pempengaruh baharu yang muncul di media sosial, berkemungkinan mereka akan tenggelam serta menjadi tidak relevan lagi.

Pempengaruh – Sampai ke Tua?

Melihatkan kepada isu tersebut, sebuah lagi aspek yang perlu dipertimbangkan ialah exit plan bagi golongan pempengaruh, terutamanya mereka yang menjadikannya sebagai pekerjaan sepenuh masa. Jika mereka tidak lagi berminat atau tidak mahu meneruskan lagi untuk menjadi pempengaruh, ke manakah hala tuju mereka selepas itu. 

Isu-isu di atas wajar dipandang serius, terutamanya apabila ramai golongan muda, khususnya pelajar-pelajar sekolah yang bercita-cita mahu menjadi seorang pempengaruh sebagai kerjaya mereka di masa hadapan. 

Hal ini kerana tidak dapat tidak, media sosial dijangka akan terus menjadi pemacu utama dalam merancakkan ekonomi digital di masa hadapan. Oleh itu, menyediakan ekosistem perniagaan yang kondusif dan prospek kerjaya yang lebih progresif kepada golongan pempengaruh adalah penting dalam membantu ekonomi digital untuk terus berkembang.