Ulangtahun Pertama Ekonomi Rakyat – Teguh Merakyatkan Pemikiran

Ulangtahun Pertama Ekonomi Rakyat
Share it

Ekonomi Rakyat, sebuah portal ekonomi atas talian telah menjangkau usia satu tahun pada 31 Januari 2021. Berkat sokongan pembaca terutamanya dari pengikut di Facebook dan Twitter, portal ini telah berjaya menjadi wadah buat wacana ekonomi di media sosial di dalam bahasa kebangsaan kita, Bahasa Melayu.

Kewujudan Ekonomi Rakyat diinspirasikan dari sikap dan gelagat sebilangan ahli ekonomi, penyelidik dan ahli akademik yang gemar membicarakan hal ehwal ekonomi di dalam Bahasa Inggeris dan secara elitis.

Agak ironi, golongan ini kerap kali cuba menyelesaikan masalah orang-orang susah dari tingkat tiga belas di sebuah menara pencakar di langit di tengah-tengah kota raya Kuala Lumpur.

Di dalam kesejukan angin penyaman udara, mereka ini bertungkus lumus memerah idea dengan menggunakan jargon-jargon yang dipelajari ketika menuntut ilmu di sekolah ekonomi terkemuka di kota London untuk membincangkan permasalahan dari dapatan kajian terbaru mereka sambil menikmati juadah makan tengah hari yang dihidangkan secara buffet.

Fenomena seperti ini sudah berlarutan sejak sekian lama. Puluhan laporan, kajian dan penyelidikan yang dikeluarkan dalam kalangan penyelidik sosial tidak dibincangkan secara terbuka. Proses advocacy ataupun mendapatkan perhatian dan kesedaran orang awam hasil dari dapatan kajian sering tidak berlaku dalam kalangan penyelidik.

Ekonomi Rakyat hadir untuk merakyatkan pemikiran. Ilmu-ilmu ekonomi dan sosial boleh dibincangkan di dalam Bahasa Melayu dengan menggunakan bahasa yang mudah dah ringkas sekaligus dapat menjangkau lebih ramai pembaca.

Slogan ‘Merakyatkan Pemikiran’ ini pula diilhamkan dari kata-kata yang diungkapkan oleh Prof Jomo KS pada tahun 2019 ketika diwawancara di RTM dimana beliau mengkritik sikap elitis dalam kalangan orang-orang yang dikatakan terdidik ini.

” Itu tanggungjawab kita semua terutama sekali mereka yang menganggap diri mereka lebih terdidik. Tujuan kita merakyatkan pemikiran, merakyatkan pengetahuan ini dan bukan kita cakap antara kita saja dan secara elitis dan tidak mempedulikan nasib rakyat dan jangan kita hina rakyat. Jangan kita sangka kerana orang tidak pergi universiti misalnya dia tidak boleh faham. Semua orang boleh faham kalau kita cuba jelaskan dengan baik “

Dengan penembusan internet yang rancak belakangan ini, sudah tiba masanya untuk orang ramai dari segenap lapisan masyarakat dihidangkan dengan bacaan-bacaan ekonomi dan sosial yang lebih berpaksikan sudut pandang rakyat.

Ketika Ekonomi Rakyat pertama kali menerbitkan artikel, ekonomi rakyat masih lagi stabil meskipun kes Covid-19 sudah disahkan di negara ini melalui pelancong asing. Namun beberapa minggu kemudian, virus ini telah menular ke seluruh pelusuk negara mengakibatkan kerajaan memulakan Perintah Kawalan Pergerakan.

Semenjak itu, negara ini berada di dalam krisis ekonomi terburuk sepanjang penubuhan Malaysia. Ekonomi rakyat hampir hancur, ratusan ribu dibuang kerja manakala ratusan ribu lagi underemployed. Ribuan perusahaan ditutup termasuk syarikat-syarikat besar. Keluaran Dalam Negara Kasar ( KDNK ) Malaysia jatuh 17.1% pada suku kedua 2020, terburuk di dalam sejarah.

Ekonomi Rakyat mula membincangkan mengenai polisi ekonomi kerajaan dari pandangan dan perspektif rakyat. Berbeza dengan ahli ekonomi ataupun penyelidik di luar sana yang gemar memetik istilah-istilah seperti ‘ peratusan hutang negara berbanding KDNK ‘ ataupun ‘ tekanan fiskal ‘ tatkala ditanya oleh akhbar mengenai pakej rangsangan yang baru diumumkan.

Penerimaan pengikut Ekonomi Rakyat di media sosial pula boleh dikatakan memberangsangkan. Dalam tempoh setahun, lebih 11,000 pengikut telah mengikuti kami di Twitter dengan jutaan impressions belakangan ini manakala Facebook kami diikuti lebih 4,000 orang.

Dengan kesempatan ini, Ekonomi Rakyat ingin merakamkan ribuan penghargaan buat pembaca dan pengikut Ekonomi Rakyat yang mengikuti kami sepanjang setahun yang lalu. Tidak lupa juga ucapan terima kasih kepada penulis-penulis yang menyumbangkan artikel dan buah pandangan mereka melalui platform ini.

 

Ekonomi Rakyat

Kuala Lumpur

31 Januari 2021

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *