Kaum Bumiputera merupakan kaum terbesar di Malaysia, seramai 21.1 juta orang atau merangkumi hampir 70% daripada populasi penduduk di negara ini. Menurut definisi Jabatan Perangkaan Malaysia, Bumiputera merujuk kepada etnik Melayu, Orang Asli, Bumiputera Sabah dan Bumiputera Sarawak. Meskipun memegang komposisi penduduk terbesar, kaum Bumiputera sering dikaitkan dengan pelbagai kesulitan ekonomi dan sosial yang tampak seperti tiada penghujungnya walaupun saban tahun diberikan keutamaan oleh Kerajaan.
Sekiranya dilihat semula ke polisi-polisi ekonomi Malaysia seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) 1970-1990 dan Model Baru Ekonomi (MBE) 2010-2020, agenda pemerkasaan sosioekonomi Bumiputera seringkali diangkat sebagai agenda utama melebihi agenda-agenda pembangunan yang lain.
Pelbagai tindakan afirmatif dilaksanakan oleh Kerajaan seperti menggalakkan kemasukan orang Melayu ke universiti bagi mewujudkan tenaga kerja yang berdaya saing serta penubuhan Permodalan Nasional Berhad bagi mendorong kaum Bumiputera membina simpanan mereka sendiri. Kesemua polisi ini adalah bagi memastikan kaum Bumiputera tidak ketinggalan berbanding kaum-kaum lain.
Namun begitu, persoalan timbul adakah ‘tongkat’ yang sejak sekian lama diberikan kepada kaum Bumiputera ini tidak cukup untuk membantu melonjakkan tahap sosioekonomi mereka setara dengan kaum-kaum lain, ataupun adakah kaum Bumiputera ini yang tidak bersungguh-sungguh memanfaatkan kelebihan yang dimiliki ini?
Mengimbas kembali ke era sebelum Kemerdekaan, kaum Bumiputera atau khususnya orang Melayu di negara ini tidaklah begitu bernasib baik dek kerana penjajahan yang mencengkam mereka sejak ratusan tahun.
Kuasa-kuasa besar imperalis dunia bersilih ganti menjarah hasil bumi Tanah Melayu untuk di bawa pulang ke empayar masing-masing. Dasar serta polisi yang diamalkan oleh penjajah-penjajah ini sering mengenepikan kaum Bumiputera dalam hampir kesemua aspek kehidupan termasuklah pendidikan, ekonomi serta politik.
Ketika zaman penjajahan British, dasar ‘pecah dan perintah’ yang diamalkan telah menyebabkan ramai orang Melayu tidak berpeluang untuk turut serta dalam aktiviti ekonomi secara komersial. Orang Melayu yang rata-rata menetap di luar bandar hanya tertumpu kepada aktiviti pertanian sara hidup seperti bercucuk tanam serta menjadi nelayan.
Bagi kaum Cina, majoriti mereka menetap di bandar serta lebih berpeluang terlibat dalam aktiviti perniagaan kerana memiliki modal. Tauke-tauke Cina membuat pelaburan yang besar dalam memonopoli industri bijih timah beberapa negeri seperti Selangor dan Perak, sehinggakan lombong-lombong mereka membekalkan hampir 78% daripada keseluruhan pengeluaran timah di Tanah Melayu pada tahun 1910. Selain itu, mereka turut menguasai komoditi-komoditi lain seperti gambir dan juga candu yang menyumbang hampir separuh daripada hasil pendapatan Tanah Melayu pada ketika itu.
Maka tidak hairanlah apabila negara mencapai Kemerdekaan pada 1957, merekalah mendapat manfaat yang terbesar kerana kaum Cina merupakan wakil tempatan tunggal dalam sektor ekonomi. Sebagai contoh, daripada 94,000 perniagaan yang didaftarkan pada tahun 1957, hampir tiga per empat daripadanya dimiliki oleh kaum Cina. Kaum Melayu hanya memegang lebih kurang 15% sahaja daripada perniagaan yang didaftarkan. Monopoli kaum Cina dalam industri-industri utama negara seperti perbankan juga begitu jelas sekali pada era pasca Kemerdekaan.
Perkara ini menyebabkan jurang kekayaan serta pendapatan antara kaum terus melebar, lantas menimbulkan ketidakpuasan hati yang menjadi percikan api membakar sentimen perkauman sehinggalah dikatakan menjadi punca tercetusnya tragedi berdarah 13 Mei 1969.
Namun, semua itu hanyalah sejarah lampau yang sudah pun lama berlalu. Sepatutnya setelah berpuluh tahun mencapai Kemerdekaan, semestinya nasib kaum Bumiputera adalah lebih baik dan terkehadapan memandangkan fokus pembangunan seringkali diberikan kepada mereka.
Apabila berbicara mengenai DEB, seringkali kisah kejayaan menurunkan kadar kemiskinan daripada 49.3% (1971) kepada 16.5% (1990) diulang-ulang. Walaupun hakikatnya tidak dinafikan DEB berjaya memperbaiki tahap sosioekonomi Bumiputera, namun tidak semua orang menikmatinya kerana ada sesetengah dasar DEB ini menggalakkan amalan ‘rent-seeking’ yang mengkayakan golongan elit Melayu tertentu sahaja tanpa sebarang usaha yang sebenar.
Dasar sebegini ditentang keras oleh golongan intelektual seperti Syed Hussein Alatas kerana beranggapan polisi DEB meningkatkan penyertaan ekonomi orang Melayu hanyalah menyebabkan lahirnya golongan kapitalis Melayu yang tamak haloba tanpa menyelesaikan isu sebenar kemiskinan orang Melayu secara amnya.
Lantaran itu perkara ini menyebabkan kaum Bumiputera yang pada asalnya bergelut dengan kemiskinan, ditambah dengan sebuah lagi masalah yang lebih parah, jurang ketidaksamaan yang semakin melebar antara kaum dan sesama mereka. Apa yang lebih parah, masalah-masalah ini terus wujud sehinggalah kini berdasarkan Laporan Statistik Bumiputera 2022 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia baru-baru ini.
Daripada sudut pendapatan, kaum Bumiputera hanya memperoleh penengah pendapatan sebanyak RM5,420 pada tahun 2019, lebih rendah berbanding paras nasional (RM5,873). Apa yang lebih membimbangkan, pendapatan yang diperolehi kaum Bumiputera itu juga jauh ketinggalan berbanding kaum Cina (RM7,931) dan kaum India (RM5,981).
Sekiranya dilihat dengan lebih mendalam, pendapatan yang diperolehi kaum Bumiputera sentiasa berada di tahap yang lebih rendah berbanding kaum Cina dan India. Pada tahun 1957, dilaporkan purata pendapatan yang diterima kaum Melayu adalah sebanyak M$144, terendah berbanding M$272 dan M$217 bagi kaum Cina dan India.
Perbezaan penengah pendapatan kaum Bumiputera dan kaum Cina adalah sebanyak RM2,511 pada tahun 2019. Sebagai perbandingan pada tahun 2012, perbezaan penengah pendapatan antara kaum Bumiputera dan kaum Cina hanyalah sebanyak RM1,363. Situasi ini mencerminkan realiti jurang pendapatan yang semakin melebar antara kaum Bumiputera dan kaum Cina.
Pendapatan yang sedikit diperoleh oleh kaum Bumiputera menyebabkan rata-rata mereka sukar untuk menyimpan dengan berkesan walaupun mempunyai pelbagai platform simpanan dan pelaburan seperti Amanah Saham Berhad (ASB) dan Tabung Haji.
Walaupun purata simpanan ASB dilaporkan sebanyak RM17,055 pada tahun lepas, realitinya tidak lah begitu indah sama sekali. Hal ini kerana menurut Laporan Tahunan ASB 2021, 76% atau 7.8 juta pemegang unit ASB (simpanan RM5,000 dan kebawah) hanya memegang unit saham bernilai RM4.9 bilion dengan purata simpanan hanyalah RM624.
Sebagai perbandingan, 83% unit saham yang bernilai RM149.3 bilion dimiliki oleh sekitar 1.01 juta orang (simpanan > RM50,000) dengan purata simpanan RM147,613. Jika dipecahkan lagi, kumpulan penyimpan terkaya di ASB seramai 28,219 orang (simpanan > RM500,000) mempunyai purata simpanan sebanyak RM815,680.
Statistik ini juga mencerminkan jurang kekayaan yang luas meskipun di dalam kalangan kaum Bumiputera.
Persiapan menuju persaraan juga samar-samar buat kaum Bumiputera apabila dilaporkan 74% daripada ahli KWSP yang mempunyai simpanan kurang RM10,000 adalah terdiri daripada kaum Bumiputera. Hanya 13% dan 7% sahaja daripada mereka merupakan kaum Cina dan India.
Jumlah kaum Bumiputera yang bekerja sesetengah dalam bidang professional juga dilaporkan lebih rendah berbanding kaum Bukan Bumpitera. Misalnya, hanya 11,699 akauntan berdaftar daripada kaum Bumiputera, jika dibandingkan dengan 23,610 akauntan kaum Cina.
Jumlah peguam Bumiputera juga sedikit rendah, seramai 8,888 orang berbanding 13,254 peguam berbangsa Cina dan India. Sama juga dengan artitek, hanya 951 arkitek Bumiputera berbanding 1,328 artikek kaum Cina dan India. Namun, kaum Bumiputera dilihat mendominasi pekerjaan doktor gigi, jururawat dan nelayan di negara ini.
Daripada sudut pemilikan hartanah, hanya 73.7% kaum Bumiputera tinggal di rumah yang dimiliki mereka sendiri, sedikit tinggi berbanding kaum India (71.4%). Namun, mereka tetap jauh ketinggalan berbanding kaum Cina (86.7%).
Aktiviti pemilikan hartanah Bumiputera juga dilihat lemah apabila hanya merekodkan nilai transaksi sebanyak RM30.8 bilion melalui 106,276 transaksi. Kaum Bumiputera yang merangkumi sekitar 30% daripada populasi di negara ini pula melakukan 81,633 transaksi dengan nilai sebanyak RM40.8 bilion pada tahun lalu.
Walaupun kadar kemiskinan telah turun dengan sangat drastik, daripada 49.3% pada 1970 kepada 5.6% pada tahun 2019, kaum Bumiputera masih dibelenggu masalah kemiskinan apabila mencatatkan kadar kemiskinan mutlak 7.2%, jauh lebih tinggi daripada paras nasional.
Angka itu juga lebih tinggi berbanding kaum Cina (1.4%) dan India (4.8%). Kadar kemiskinan kaum Bumiputera yang agak tinggi ini juga menyebabkan mereka menjadi penerima teramai bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seramai 383,036 orang berbanding hanya 136,124 Bukan Bumiputera.
Daripada aspek sosial juga rekod kaum Bumiputera tidak begitu baik. Apa yang merisaukan sebahagian statistik ini memaparkan kaum Bumiputera ‘menjuarai’ carta jumlah penghuni di pusat-pusat pemulihan akhlak kanak-kanak dan remaja.
Misalnya, nisbah penghuni Asrama Akhlak adalah 6:1 antara Bumiputera dan Bukan Bumiputera. Begitu juga dengan Sekolah Tunas Bakti, seramai 399 penghuninya pada 2021 terdiri daripada kaum Bumiputera. Hanya 25 penghuni sahaja daripada kaum Bukan Bumiputera.
Melihatkan kepada angka-angka yang dibincangkan di atas, nampak seperti nasib Bumiputera tidak lah begitu baik walaupun sudah berkali-kali lagu Anak Kecil Main Api dinyanyikan. Keutamaan dan pelbagai bantuan Kerajaan kepada Bumiputera dilihat gagal mencapai objektif dalam meningkatkan pegangan ekonomi Bumiputera meskipun ada yang berpendapat dasar ini berjaya mencapai matlamat untuk mengekalkan keharmonian fabrik sosial di negara ini.