Tidak dapat disangkal, wanita memainkan peranan penting dalam pembangunan sesebuah masyarakat dan negara, lebih-lebih lagi memasuki era moden pada masa kini kini. Jika dibandingkan dengan zaman dahulu, wanita sering ditugaskan bagi mengurus hal-hal domestik di rumah seperti menjaga anak, memasak dan mengemas rumah. Sementara itu, lelaki pula berperanan sebagai ketua keluarga yang bertanggungjawab mencari rezeki untuk isteri dan anak-anak di rumah. Namun begitu, peranan wanita yang tertumpu kepada hanya kerja-kerja domestik semata-mata lama-kelamaan telah berkurangan apabila semakin ramai wanita yang memasuki pasaran buruh di serata dunia.
Di Malaysia misalnya, terdapat 5.9 juta pekerja wanita pada tahun 2021, berbanding hanya 1.8 juta pekerja wanita yang direkodkan pada tahun 1982. Walaupun secara mata kasarnya nampak seolah-olah semakin ramai wanita yang sedang bekerja dalam pasaran buruh negara ketika ini, hakikatnya kadar penyertaan tenaga buruh (LFPR) wanita adalah begitu rendah sekali. Sebagai perbandingan, LFPR lelaki adalah setinggi 80.9% pada tahun 2021, jika dibandingkan dengan hanya 55.5% bagi wanita. Angka ini jika ditafsirkan bererti bahawa daripada keseluruhan penduduk wanita yang berada dalam kategori umur bekerja (15-64 tahun), hanya 55.5% sahaja yang benar-benar menyertai pasaran buruh secara aktif.
Apa yang lebih membimbangkan, trend LFPR wanita di Malaysia seakan-akan tidak berganjak sedikit pun apabila angka itu kekal rendah sejak tahun 1980an lagi. Jika LFPR wanita dicatatkan sebanyak 55.5% pada tahun 2021, angka yang dicatatkan pada tahun 1982 ialah sebanyak 44.5%. Sebagai perbandingan antara jantina, LFPR lelaki di Malaysia kekal konsisten dalam lingkungan 80% antara tempoh 1982 hingga 2021.
LFPR wanita di Malaysia juga merupakan antara yang terendah dalam kalangan negara ASEAN seperti Singapura (59%), Thailand (59%), Vietnam (70%), Kemboja (74%) dan Laos (75%), menurut data Bank Dunia.
Melihatkan kepada statistik-statistik di atas, sudah tentu timbul persoalan apakah yang berlaku dalam pasaran buruh negara sehingga menyebabkan wanita sukar untuk menembusi pasaran buruh di Malaysia. Adakah disebabkan faktor individu seperti wanita sendiri yang kurang berminat untuk bekerja? Ataupun terdapat faktor struktural dalam pasaran buruh seperti diskriminasi majikan yang lebih cenderung untuk memilih pekerja lelaki, ditambah dengan suasana pekerjaan yang tidak menyokong wanita kekal bekerja untuk tempoh jangka masa panjang?
Hal ini kerana apa yang lebih mengejutkan, ramai wanita sebenarnya memasuki alam pekerjaan sejurus tamat pengajian di institusi pengajian tinggi, namun terpaksa keluar beberapa tahun kemudiannya akibat komitmen keluarga yang semakin bertambah. Sekiranya diteliti dalam statistik Laporan Kajian Pengesanan Graduan 2021 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi, jumlah graduan wanita tempatan (177,781) sebenarnya lebih ramai berbanding graduan lelaki tempatan (140,253 ).
Jika dilihat dalam statistik Laporan Survei Tenaga Buruh 2021 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pula, terdapat 1.12 juta pekerja wanita, atau mewakili 43% daripada keseluruhan pekerja dalam lingkungan umur 25-29 tahun. Walaubagaimanapun, jumlah pekerja wanita jatuh kepada hanya 894.1 ribu, atau 39% sahaja daripada keseluruhan pekerja berumur 30-34 tahun.
Analisis lebih mendalam juga mendapati perbezaan nisbah guna tenaga kepada penduduk adalah sebanyak 13.4% antara lelaki (87.1%) dan perempuan (73.7%) bagi kategori umur 25-29 tahun. Namun memasuki kategori umur 30-34 tahun, perbezaan itu meningkat dua kali ganda kepada 26.7% antara lelaki (91.1%) dan perempuan (64.4%). Angka ini bermaksud daripada keseluruhan penduduk wanita yang berumur antara 30-34 tahun di Malaysia, hanya 64.4% sahaja yang kekal bekerja. Di saat semakin ramai golongan lelaki yang memasuki pasaran buruh selaras dengan peningkatan umur, lain pula ceritanya buat golongan wanita di negara ini.
Dalam masa yang sama, purata umur seorang ibu ketika melahirkan anak yang pertama di Malaysia ialah 28 tahun. Maka tidak menghairankan apabila memasuki umur 30an, komitmen keluarga mereka semakin bertambah kerana mungkin ketika itu para ibu sudah mendapat anak yang kedua pula.
Dalam laporan yang sama, hampir 3.1 juta atau 6 daripada 10 wanita memberi alasan ‘kerja rumah/tanggungjawab keluarga’ sebagai alasan mereka tidak berpeluang untuk turut serta dalam pasaran buruh.
Data itu turut diperkuatkan lagi apabila daripada hampir 800.6 ribu penduduk luar tenaga buruh yang pernah mempunyai pengalaman kerja, 64% atau 508.4 ribu daripadanya terdiri dalam kalangan wanita.
Baru-baru ini, Kerajaan telah meluluskan pindaan Akta Kerja 1955 di Parlimen. Antara pindaan yang paling mencuri tumpuan ialah cuti bersalin yang dinaikkan daripada 60 hari kepada 98 hari, berkuatkuasa 1 Januari 2023. Pindaan akta itu adalah selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa mengenai Maternity Protection Convention, 2000 (No. 183) yang menetapkan tempoh cuti tidak kurang daripada 14 minggu (98 hari).
Pindaan tersebut rata-rata mendapat reaksi positif, terutamanya dalam kalangan pekerja wanita di negara ini yang merasa lega kerana dapat bercuti lebih lama sekiranya mengandung. Pindaan tersebut juga memberi peluang kepada pekerja wanita yang mengandung untuk menerima elaun bersalin daripada majikan sepanjang tempoh cuti 98 hari tersebut, tanpa mengira had gaji. Jika sebelum ini, pekerja wanita terpaksa mengambil cuti tanpa gaji sekiranya mereka mahu mengambil cuti tambahan selepas 60 hari yang diperuntukkan tersebut.
Keberadaan sang ibu di usia awal kanak-kanak merupakan detik penting buat kedua-dua ibu bapa yang melalui fasa baru alam kehidupan mereka. Cuti bersalin yang lebih lama memberikan peluang untuk ibu yang baru mendapatkan cahaya mata untuk beradaptasi dengan kehidupan yang baru sebelum kembali bekerja.
Dari sudut kesihatan juga, kajian mendapati bahawa tempoh cuti bersalin yang lebih lama memberikan kesan positif terhadap kesihatan mental dan fizikal kepada kedua ibu dan anak.
Walaubagaimanapun disebalik reaksi positif pelbagai pihak, terdapat beberapa kerisauan timbul berkaitan pelaksanaan pindaan cuti bersalin ini, terutamanya terhadap masa hadapan pekerja wanita di Malaysia.
Beban Kepada Para Majikan
Pertambahan cuti bersalin daripada 60 hari kepada 98 hari berpotensi memberi kesan negatif buat para majikan, khususnya dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Hal ini kerana pertambahan cuti bersalin itu menyebabkan mereka terpaksa menanggung kos membayar elaun sepanjang cuti bersalin 98 hari tersebut, berbanding 60 hari sebelum ini. Dalam tempoh tersebut, produktiviti serta pengeluaran syarikat juga berisiko terganggu dengan ketidakhadiran pekerja wanita tersebut sepanjang tempoh cuti yang dilanjutkan kepada 98 hari tersebut.
Memburukkan Lagi Diskriminasi Terhadap Pekerja Wanita
Apa yang lebih merisaukan, para majikan dikhuatiri akan cenderung untuk mengamalkan diskriminasi dengan melantik pekerja lelaki berbanding pekerja wanita kerana tidak mahu menanggung kos elaun bersalin serta ketidakhadiran pekerja untuk tempoh berbulan-bulan lamanya. Bahkan sebelum pindaan Akta Kerja 1955 ini dikuatkuasakan sepenuhnya pada awal tahun ini, terdapat desakan-desakan daripada pihak industri yang berulang kali meminta Kerajaan untuk menangguhkan pelaksanaan pindaan ini yang sepatutnya sudah dijalankan lebih awal pada 1 September 2022.
Pada tahun 2021, terdapat hampir 3.5 juta pekerja wanita yang sudah berkahwin di negara ini. Maka jika pertambahan cuti bersalin ini menyebabkan majikan akan membuat diskriminasi terhadap pekerja wanita, terutamanya yang sudah pun berkahwin atau akan berkahwin tidak lama lagi, sudah tentu perkara ini tidak bagus untuk masa depan golongan wanita di negara ini.
Subsidi Gaji dan Pelepasan Cukai bagi Kurangkan Beban Majikan
Terdapat beberapa cadangan yang boleh dipertimbangkan oleh pihak Kerajaan bagi mengurangkan beban para majikan dalam menanggung kos sepanjang cuti bersalin ini.
Pertama, Kerajaan boleh memberikan insentif subsidi gaji untuk membantu majikan-majikan membayar elaun bersalin kepada pekerja wanita mereka yang mengandung. Pendekatan sebegini sudah pun dijalankan di negara jiran, Singapura menerusi skim Government-Paid Maternity Leave (GPML). Di Singapura, pekerja wanita yang sedang mengandung layak untuk menerima cuti bersalin sebanyak 16 minggu, atau sebanyak 112 hari. Sepanjang cuti bersalin 16 minggu tersebut, majikan akan membayar gaji pekerja (elaun bersalin) tersebut seperti biasa. Namun, mereka boleh menebusnya kepada pihak Kerajaan bergantung kepada kategori kelahiran bayi.
Bagi bayi pertama sehingga bayi kedua, majikan akan membayar separuh atau lapan minggu pertama elaun bersalin pekerja. Pihak Kerajaan akan membantu majikan dengan membayar separuh lagi atau lapan minggu terakhir elaun bersalin pekerja tersebut. Manakala untuk bayi ketiga dan seterusnya, Kerajaan akan menanggung keseluruhan kos elaun cuti bersalin sepanjang tempoh 16 minggu. Lebih menarik, skim ini terpakai bukan sahaja kepada para pekerja, tetapi juga buat mereka yang bekerja sendiri, dengan syarat mereka sudah bekerja sendiri tidak kurang dari tempoh tiga bulan berturut-turut serta kehilangan pendapatan akibat cuti bersalin.
Insentif sebegini juga boleh dilaksanakan secara bersasar hanya kepada syarikat-syarikat PMKS sahaja sekiranya Kerajaan rasa terbeban untuk menanggung kos elaun cuti bersalin bagi semua syarikat di Malaysia. Di UK misalnya, elaun cuti bersalin menjadi tanggungjawab sepenuhnya para majikan. Namun begitu, Kerajaan UK memberikan insentif penebusan antara 92%-103% kos elaun cuti bersalin yang ditanggung oleh syarikat-syarikat kecil, sederhana dan besar.
Kedua, pihak Kerajaan juga boleh membantu dengan memberikan pelepasan cukai kepada majikan yang menggajikan pekerja mereka yang ketika tempoh cuti bersalin. Pelepasan cukai ini sedikit sebanyak akan membantu syarikat-syarikat mengurangkan beban kos yang ditanggung mereka. Di US contohnya, majikan yang memberikan cuti bergaji kepada pekerja yang melahirkan anak layak untuk mendapatkan pelepasan cukai setinggi 25% bagi tempoh cuti sehingga 12 minggu.
Menuju Masa Hadapan yang Lebih Cerah Buat Pekerja Wanita
Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) menyasarkan LFPR wanita sebanyak 56.4% pada tahun 2020. Namun, LFPR wanita hanya berjaya mencatatkan angka sebanyak 55.5% pada tahun 2020. Mungkin ada yang berhujah pandemik COVID-19 menyebabkan sasaran itu gagal dicapai. Namun hakikatnya, LFPR wanita di Malaysia langsung tidak pernah melebihi paras 56% sekali pun dalam sejarah. Sebuah sasaran baharu telah diletakkan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) yang menyasarkan kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh setinggi 59% menjelang 2025. Secara jujurnya, boleh dikatakan sasaran yang ditetapkan ini bersifat ‘play-safe’ kerana 59% itu begitu rendah jika dibandingkan dengan negara-negara jiran. Bahkan pada tahun 2025 nanti mungkin mereka sudah jauh meninggalkan kita.
Melihat kepada situasi ini, pembuat dasar perlu lebih agresif dalam merangka polisi yang menyeluruh bagi memastikan tenaga kerja wanita dapat terus menyumbang kepada keseluruhan sistem ekonomi dan kekeluargaan kelak.
Naratif perbincangan isu-isu seperti ini harus berganjak dari hanya mengukur kesan wang Ringgit seperti yang acap kali dimainkan oleh pihak majikan namun perlu mengambil kira kesan tidak langsung terhadap institusi kekeluargaan itu sendiri.
Sekiranya pembuat dasar dan pemain industri gagal bekerjasama dalam mewujudkan peluang ekonomi dan pekerjaan yang lebih terbuka dan menyokong golongan wanita, maka kita akan mengalami kerugian besar kerana potensi wanita-wanita ini tidak dapat dimanfaatkan.