Kadar Faedah, Inflasi Tinggi dan Keselamatan Makanan: Pengajaran di Sebalik Tahun 2022

Share it

Tahun 2022 baru sahaja melabuhkan tirai beberapa minggu yang lepas. Pelbagai peristiwa telah terjadi sepanjang setahun lalu yang memberikan seribu satu pengajaran. Meskipun tahun 2022 menyaksikan momentum pemulihan ekonomi diteruskan secara perlahan-lahan, boleh dikatakan 2022 bukanlah sebuah tahun yang baik kerana ekonomi Malaysia dan global terus diuji dengan pelbagai rintangan sehingga menyebabkan potensi pemulihan ekonomi sebenar tidak dapat dicapai.

Jangkaan awal yang dibuat Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) semasa Julai 2021 meramalkan pertumbuhan ekonomi global setinggi 4.9% untuk tahun 2022. Walaubagaimanapun semasa Oktober 2022, IMF kemudiannya terpaksa menyemak semula angka tersebut dengan menurunkan jangkaan pertumbuhan ekonomi global kepada hanya 3.2% bagi tahun 2022.

Setelah dilanda penularan wabak COVID-19 yang amat dahsyat pada awal 2020, ramai pihak yang menaruh harapan bahawa tahun 2022 akan memacu pemulihan ekonomi untuk kembali normal seperti era pra-pandemik. Namun begitu, tiada siapa sangka bahawa ekonomi global terus berhadapan dengan pelbagai masalah besar seperti rantaian bekalan global yang terganggu, ketegangan geopolitik yang mencetuskan peperangan antara Rusia dan Ukraine sehingga mengakibatkan lonjakan mendadak harga minyak global, inflasi tinggi sehingga mendorong bank-bank pusat seluruh dunia mengambil langkah menaikkan kadar faedah, penutupan sepenuhnya ekonomi China dan sebagainya.

Menaikkan Kadar Faedah Tidak Menjamin Inflasi Turun

Kadar inflasi di Malaysia meningkat sehingga 4.7% pada Ogos 2022

Ketika penularan wabak COVID-19 pada awal tahun 2020, kerajaan di kebanyakan negara tiada pilihan selain terpaksa melaksanakan sekatan aktiviti ekonomi dan sosial bagi mengurangkan risiko jangkitan. Rakyat Malaysia tentunya masih ingat mengenai episod-episod ngeri terpaksa berkurung di dalam rumah selama berbulan-bulan akibat pelaksanaan PKP.

Penutupan besar-besaran aktiviti ekonomi dan sosial ketika itu telah mengakibatkan penawaran dan permintaan merudum dengan sangat dahsyat. Dari sudut penawaran, industri-industri terpaksa mengurangkan pengeluaran mereka, bahkan ada antara mereka yang terus gulung tikar akibat terjejas teruk dengan pandemik. Dalam masa yang sama rakyat Malaysia menjadi semakin kurang berbelanja berbanding waktu normal, lantas mengurangkan permintaan dalam pasaran. Kadar inflasi di Malaysia turun ke paras begitu rendah pada -0.2% bagi Januari 2021, didorong oleh kejatuhan harga minyak global. Harga minyak mentah Brent misalnya, jatuh ke paras sekitar $20 setong semasa April 2020.

Permintaan dan penawaran perlahan-lahan pulih apabila ekonomi dibuka semula beberapa bulan selepas itu. Walaubagaimanapun, timbul satu masalah besar. Meskipun permintaan naik kerana sekatan aktiviti ekonomi dan sosial sudah dilonggarkan, penawaran bergerak dengan terlalu perlahan kerana dibelenggu oleh isu gangguan rantaian bekalan sehingga menyebabkannya tidak mampu untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat. Dalam pada itu, peristiwa-peristiwa lain seperti Perang Rusia-Ukraine mengakibatkan gangguan tersebut menjadi lebih parah dan terus merencatkan pemulihan ekonomi global. Akibatnya, kadar inflasi di Malaysia naik setinggi 4.7% bagi bulan Ogos 2022. Barangan makanan asas seperti ayam dan telur adalah antara yang paling teruk terjejas

Kenaikan berterusan kadar inflasi ini menimbulkan kegusaran dalam kalangan pembuat dasar di negara ini. Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi memastikan kadar inflasi terus terkawal baik dari pendekatan fiskal seperti penetapan harga siling dan subsidi bahan makanan asas, mahupun pendekatan kewangan seperti menaikkan kadar faedah atau kadar dasar semalaman (OPR). Meskipun kesemua inisiatif ini mempunyai matlamat murni untuk mengawal kenaikan inflasi, para pembuat dasar dilihat seakan-akan mempunyai sebuah ‘obsesi’ untuk memastikan kadar inflasi terus berada di bawah paras tertentu. Akibatnya, ada sebahagian dasar yang dibuat mereka dibimbangi menjadi seperti ‘tikus membaiki labu’.

Misalnya, kenaikan kadar faedah selalunya dibuat bertujuan bagi mengawal inflasi dengan mengurangkan aliran wang dalam pasaran. Apabila kadar faedah dinaikkan, perniagaan dan individu akan berasa agak berat untuk meminjam wang daripada bank. Maka secara teorinya kenaikan kadar faedah akan mengurangkan kadar inflasi kerana sudah semakin sedikit wang yang berlegar dalam ekonomi. Namun begitu, apa yang berlaku sekarang tidak lah sama sekali boleh disamakan dengan situasi semasa waktu normal kerana jelas sekali kenaikan inflasi ketika ini bukanlah berpunca dari aliran wang yang terlalu banyak dalam pasaran, tetapi berpunca dari gangguan rantaian bekalan yang melanda satu dunia ketika ini.

Walaubagaimanapun, Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengeluarkan kenyataan baru-baru ini bagi memberi penjelasan terhadap keputusan mereka menaikkan kadar faedah. Menurut BNM, langkah menaikkan kadar faedah ini merupakan satu proses normalisasi kadar faedah yang sebelum ini diturunkan semasa pandemik, agar kembali semula kepada kadar pra-pandemik. Ketika pandemik COVID-19, kadar faedah diturunkan serendah 1.75%, berbanding kadar pra-pandemik yang berada sekitar 3%-3.25%.

Sebenarnya jika dibandingkan dengan krisis terdahulu, langkah menurunkan kadar faedah semasa krisis, lalu menaikkannya semula ketika krisis sudah reda bukanlah sebuah perkara yang baharu. Kadar faedah diturunkan ke paras 2% ketika Malaysia terkesan dengan Krisis Kewangan 2008. Apabila krisis tersebut sudah semakin reda, kadar faedah dinaikkan semula.

Namun perkara penting yang harus diambil kira pada krisis kali ini ialah sekiranya kadar faedah terus dinaikkan tanpa menggerakkan polisi yang efektif untuk menangani isu gangguan rantaian bekalan global ini, maka kadar inflasi pasti tidak akan turun ke paras yang diidam-idamkan.

Keselamatan Makanan di Malaysia: Sebuah Realiti Pahit yang Perlu Ditelan

Sebuah lagi pengajaran berharga yang boleh dipelajari dari tahun 2022 ialah meskipun bumi Malaysia yang kaya dengan pelbagai jenis tanaman makanan, penternakan dan perikanan, apa yang menghairankan ialah negara ini seringkali berhadapan dengan isu kekurangan bekalan makanan.

Apa yang lebih membimbangkan, jumlah import makanan Malaysia didapati semakin besar dari tahun ke tahun. Kajian oleh Institut Penyelidikan Khazanah mendapati Malaysia mengimport makanan berjumlah RM35 billion, mewakili 6.5% daripada keseluruhan jumlah import pada tahun 2011. Angka itu meningkat 125% kepada RM79 billion, atau mewakili 8.0% daripada keseluruhan jumlah eksport negara pada tahun 2021.

Punca kepada masalah kekurangan bekalan makanan dalam pasaran di negara ini sebenarnya boleh dikesan seawal kejatuhan sektor pertanian ketika Malaysia memasuki fasa pengindustrian besar-besaran semasa tahun 1980-an. Ketika itu, sektor pertanian seakan-akan dianak tirikan apabila fokus pembangunan industri ditujukan kepada sektor pembuatan melalui pelaburan besar-besaran daripada Kerajaan dan pelabur luar. Sebagai perbandingan, lebih 40% daripada KDNK negara disumbangkan oleh sektor pertanian pada tahun 1960, manakala sektor pembuatan hanya menyumbang hampir 10% sahaja. Namun begitu, angka tersebut bertukar wajah apabila sektor pembuatan menyumbang hampir 23% kepada KDNK negara pada tahun 2021, manakala sektor pertanian hanya menyumbangkan tidak sampai 10% sahaja.

Mungkin ada antara ahli ekonomi yang berhujah fenomena sebegini biasa berlaku berdasarkan model tiga-sektor yang merupakan sebuah teori yang cukup popular dalam silibus kelas ekonomi pembangunan dan ekonomi perindustrian. Menurut teori berkenaan, pada awalnya pengeluaran industri di negara-negara selalunya bermula dengan sektor primari yang menumpukan kepada usaha mengeluarkan hasil bumi dan bahan mentah seperti aktiviti perlombongan, pertanian dan perikanan. Setelah sektor primari berkembang, ekonomi akan bergerak ke arah sektor sekunder yang menekankan kepada sektor pembuatan. Fasa akhir ialah pembangunan sektor perkhidmatan yang menyediakan perkhidmatan seperti perbankan, pendidikan dan kesihatan.

Kesannya mungkin tidak nampak ketika itu terhadap keterjaminan makanan di negara ini. Namun, kesan jangka panjang dapat dilihat sekarang apabila Malaysia tidak lagi mampu untuk memastikan bekalan makanan mencukupi pada harga yang berpatutan untuk dibeli oleh rakyat. Lebih parah lagi barangan makanan asas yang dikawal Kerajaan seperti ayam, telur, minyak masak sering kali disorok oleh pihak pengeluar, ataupun diseludup ke luar negara demi meraih keuntungan yang lebih lumayan.

Tahun 2023, Harapan yang Tidak Pasti?

Sama seperti tahun 2022, orang ramai sudah pasti sekali lagi berharap bahawa tahun baru 2023 ini akan menjadi lebih baik dari tahun sebelum-sebelum ini. Meskipun beberapa indikator menunjukkan corak yang agak baik, termasuklah inflasi sudah menunjukkan tanda-tanda akan menurun, pengukuhan matawang ringgit, pembukaan semula ekonomi China, harga minyak global yang sudah turun ketika ini dan pelbagai lagi, beberapa ketidaktentuan ekonomi terus wujud. Tahun 2023 nampaknya terus dirundung oleh ketidaktentuan ekonomi seperti kemungkinan berlakunya kemelesetan ekonomi, kadar inflasi yang masih tinggi yang terus mendorong kenaikan kadar faedah oleh bank-bank pusat, pembuangan pekerja besar-besaran dalam sektor teknologi dan pelbagai lagi ketidaktentuan ekonomi.

Pertumbuhan ekonomi Malaysia dan global secara amnya dijangka sederhana pada tahun ini. Bank Dunia meramalkan pertumbuhan ekonomi yang sederhana buat Malaysia pada kadar 4%, didorong oleh eksport yang perlahan kepada pasaran utama global.

Mungkin harapan dan jangkaan tidak boleh terlalu diletakkan terlalu tinggi bagi tahun 2023, supaya tidak begitu terkejut dan kecewa di penghujung tahun nanti.