Pada tahun 1980, pasukan bola sepak Malaysia pernah mengalahkan Korea Selatan 2-1 di dalam pertembungan play-off kelayakan Olimpik di Stadium Merdeka. Kejayaan itu membolehkan skuad bola sepak negara bermain mewakili negara di Sukan Olimpik Moscow 1980 meskipun skuad Olimpik negara menarik diri bagi memboikot acara berkenaan susulan pencerobohan Rusia ke atas Afghanistan.
Namun setelah 22 tahun peristiwa itu berlalu, skuad bola sepak Korea Selatan bangkit menjadi salah sebuah pasukan bola sepak yang digeruni di rantau ini. Pada edisi Piala Dunia FIFA 2002, Korea Selatan berjaya mengakhiri kempen Piala Dunia mereka di tempat keempat setelah tewas 3-2 di tangan Turki.
*Korea Selatan juga mengalahkan Itali 2-1 di dalam perlawanan Pusingan Ke-16 edisi Piala Dunia ini yang penuh kontroversi
Dari sudut ekonomi juga, Korea Selatan sering digambarkan sebagai sebuah negara yang berjaya mengubah destini mereka kepada negara berpendapatan tinggi. Menurut angka yang dikeluarkan Bank Dunia, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita Korea Selatan pada tahun 1965 hanyalah bersamaan dengan $109.
Manakala Malaysia merekodkan KDNK per kapita sebanyak $325 pada tahun yang sama. Kini, Malaysia masih lagi terperangkap di dalam kategori negara berpendapatan sederhana tinggi (upper middle income countries) dengan Pendapatan Negara Kasar (GNI) per kapita sebanyak $10,710 pada tahun 2021 manakala Korea Selatan kini mencatatkan GNI per kapita sebanyak $35,110.
*Had ambang negara berpendapatan tinggi pada tahun 2022 adalah GNI per kapita melebihi $13,205
Persoalannya…. Mengapa Korea Selatan berjaya dan Malaysia masih lagi ketinggalan meskipun kita pernah mempunyai model-model ekonomi yang hampir serupa?
Jika Korea Selatan mempunyai pemimpin kuku besi seperti Jeneral Park-Chung Hee yang memimpin selama 17 tahun, Malaysia turut mempunyai Dr Mahathir yang mentadbir selama 22 tahun. Jika Korea Selatan mempunyai pengeluar kereta seperti Hyundai & Kia, Malaysia juga mempunyai PROTON. Bahkan jika Korea Selatan mempunyai barisan kroni-kroni yang mendapat pelbagai bantuan dan sokongan daripada Kerajaan yang dikenali sebagai Chaebols, Malaysia tetap tidak terkecuali.
Namun resipi kejayaan Korea Selatan gagal diadapatasi oleh Malaysia. Salah satu faktor yang menyumbang kepada kegagalan Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi adalah kerana kegagalan untuk mewujudkan industri pembuatan tempatan yang beroerientasikan eksport.
Hal ini kerana mengikut rekod sejarah, negara-negara dunia pertama seperti United Kingdom, Jerman, Amerika Syarikat mahupun Perancis berjaya mencapai status negara berpendapatan tinggi kerana sektor pembuatan telah bertapak dengan kukuh sebelum mereka beralih ke dalam sektor ekonomi perkhidmatan.
Industri automotif negara boleh dijadikan kajian kes dimana syarikat automotif negara seperti PROTON gagal memacu sektor pembuatan menjadi penggerak utama pertumbuhan ekonomi negara. Setelah sekian lama mendapat layanan kelas pertama daripada Kerajaan sebagai jenama kereta tempatan, PROTON masih tidak berjaya dalam memasarkan model-model kenderaan mereka ke negara-negara lain.
Berbeza dengan senario yang berlaku di Korea Selatan dimana jenama-jenama kereta seperti Hyundai dan Kia berjaya menembusi pasaran luar sekaligus menyumbang kepada pendapatan negara berkenaan selepas menerima pelbagai bantuan dan insentif daripada Kerajaan mereka.
Hyundai Motor Group yang memiliki kedua-dua jenama kereta Hyundai dan Kia misalnya menjual 3.89 juta unit kereta pada tahun 2021 dengan 3.2 juta (81%) unit kereta dijual di negara luar Korea. Fenomena ini membolehkan Korea Selatan meraih pendapatan yang lumayan hasil daripada eksport dan keuntungan syarikat-syarikat mega mereka.
Begitu juga dengan negara-negara lain seperti Perancis, Itali dan Jerman yang mana industri pembuatan mereka berjaya menghasilkan produk yang mempunyai nilai tambah yang tinggi.
*Konglomerat Samsung umpamanya telah mempelbagaikan cabang perniagaan mereka dan terlibat dari pelbagai segenap aspek ekonomi dari sektor teknologi, kewangan, pembinaan sehinggalah pertahanan.
Perancis umpamanya mempunyai jenama-jenama kereta seperti Peugeot, Citroen dan Renault yang telah wujud sejak awal abad ke-20 lagi. Begitu juga Jerman yang mempunyai VW dan BMW yang merupakan salah sebuah pemain terbesar pasaran automotif global. Manakala Itali pula mempunyai FIAT yang mengeluarkan beberapa jenama kereta lain seperti Alfa Romeo, Maserati dan Lancia.
Mengapa Malaysia Gagal?
Topik mengapa Malaysia gagal untuk mencontohi kejayaan Korea Selatan ini sudah diperdebatkan untuk sekian lama. Struktur demografi Malaysia yang berbilang kaum dikatakan antara punca mengapa pengindustrian tidak berjaya mencapai tahap yang seterusnya.
Berbeza dengan negara-negara maju yang lain dimana penduduknya homogeneous ataupun hanya mempunyai satu kaum dominan (seperti Korea Selatan, Jerman, UK mahupun Itali) sahaja, Malaysia mempunyai penduduk yang berbilang kaum.
Dasar-dasar pengindustrian yang diperkenalkan Kerajaan terpaksa mengambilkira tentang kedudukan Bumiputera di dalam penyertaan ekonomi sekaligus dikatakan telah merencatkan persaingan di dalam industri lantas menyebabkan produk tempatan kurang kompetitif.
Ada juga yang menyalahkan sikap kroni-kroni di Malaysia yang mendapat konsesi dan segala layanan istimewa daripada Kerajaan tetapi tidak cukup inovatif untuk melebarkan sayap perniagaaan mereka ke seluruh pelusuk dunia kerana hanya berminat untuk melindungi status quo perniagaan-perniagaan rent-seeking mereka sahaja.
Keadaan ini lantas menyebabkan pengindustrian Malaysia tidak berhasil mewujudkan ekosistem produk bernilai tinggi sekaligus mengakibatkan kita terus terperangkap di sebalik status negara berpendapatan sederhana tinggi.