COVID-19 mendedahkan pelbagai masalah yang wujud untuk sekian lama di negara ini. Pembuat dasar terutamanya menteri perlu belajar daripada krisis Covid-19. Jika kita tidak mengambil iktibar dari pandemik ini, golongan kurang bernasib baik akan terus hidup merempat pada masa hadapan.
Kerajaan harus berbelanja dan tidak sepatutnya menyuruh rakyat mengeluarkan simpanan untuk meneruskan kehidupan mereka. Setakat ini, kerajaan hanya memperuntukkan 5% daripada keseluruhan KDNK ( RM72.6 bilion ) di dalam pakej rangsangan ekonomi. Angka ini jauh lebih rendah berbanding peruntukan jiran-jiran kita seperti Singapura ( 19.8% ), Thailand ( 9.6% ) dan Filipina ( 7.4% ).
Antara inisiatif yang perlu dilaksanakan untuk tempoh enam bulan akan datang adalah
1. Bantuan Tunai selama enam bulan kepada isi rumah B60. Langkah ini akan memanfaatkan 4.4 juta isi rumah di seluruh Malaysia. Isi rumah di dalam kumpulan B20 ( pendapatan kurang dari RM3,000Â sebulan ) akan menerima RM1,200 sebulan. RM1,200 adalah jumlah yang wajar kerana ia memastikan isi rumah tidak jatuh ke lembah kemiskinan tegar. Langkah ini dianggarkan menelan belanja sekitar RM23.7 bilion.
2. Bantuan Tunai selama enam bulan kepada pekerja yang bekerja sendiri. Mereka yang bekerja sendiri kebiasaannya terlibat di dalam perusahaan kecil dan sederhana. Bantuan tunai secara konsisten adalah amat penting buat kumpulan ini. Kajian yang dijalankan oleh Kementerian Pengajian Tinggi menunjukkan 8 daripada 10 graduan yang menjalankan perniagaan sendiri meraih pendapatan kurang dari RM2,000 sebulan.
Oleh itu, bantuan tunai sebanyak RM1,000 sebulan diperlukan. Ini berbeza dengan bantuan Geran Khas Prihatin yang diberikan hanya sekali. Anggaran kos bagi langkah ini adalah sekitar RM14.3 bilion
3. Melaksanakan Liputan Keselamatan Sosial Kepada Pekerja Yang Bekerja Sendiri. Inisiatif ini bakal memanfaatkan satu juta pekerja yang bekerja sendiri. Kerajaan perlu membantu membiayai 70% caruman keselamatan pekerja untuk tempoh enam bulan yang pertama.
Manakala untuk tempoh enam bulan yang selebihnya, kerajaan hanya perlu membantu membiayai caruman mereka sebanyak 50% iaitu pada kadar RM25 sebulan. Inisiatif ini boleh dijalankan selama setahun dengan anggaran kos sekitar RM356 juta.
4. Mewujudkan Peluang Pekerjaan Kepada Rakyat. Iniatif yang dilakukan ketika ini perlu diperluaskan lagi. Sebagai contoh, program MyJob@Wilayah yang dilaksanakan oleh Kementerian Wilayah hanya menyediakan peluang pekerjaan yang terhad iaitu sebanyak 4,000 pekerjaan. Ini hanya bersamaan dengan 9% daripada keseluruhan penganggur di Kuala Lumpur.
Gaji permulaan untuk graduan juga adalah terlalu rendah dan tidak masuk akal, iaitu pada kadar RM2,000 sebulan. Jumlah ini adalah lebih rendah berbanding gaji wajar yang sepatutnya diperolehi bagi mereka yang tinggal di Kuala Lumpur. Program ini harus diperluaskan dengan memberi peluang pekerjaan sekurang-kurangnya kepada sekitar 14,500 (40%) orang yang menganggur di Kuala Lumpur.
Gaji permulaan harus diberikan sebanyak RM2,500 sebulan kepada pekerja bukan graduan dan RM3,000 sebulan bagi graduan. Ketika menghadapi krisis, sektor swasta tidak akan mampu untuk mewujudkan pekerjaan. Kerajaan lah yang sepatutnya masuk ke pasaran dan melaksanakan langkah ini.
Program ini boleh dijalankan secara kontrak untuk tempoh enam bulan. Inisiatif ini dijangka memerlukan belanja sebanyak RM229 juta ataupun bersamaan dengan 6% pendapatan yang dijana oleh DBKL pada tahun 2019. Pihak berkuasa tempatan di kawasan lain juga boleh melaksanakan program ini.
Kos keseluruhan inisiatif ini adalah sekitar RM38.5 bilion. Jumlah suntikan fiskal hasil daripada cadangan di atas adalah sekitar 8% daripada KDNK, lebih kurang sama dengan peruntukan di negara lain seperti Thailand dan Filipina.
Hutang fiskal negara dijangka akan meningkat kepada 61% berbanding KDNK, lebih sedikit berbanding had hutang kerajaan. Perkara ini boleh dilakukan kerana had hutang kerajaan boleh dipinda apabila parlimen bersidang kelak seperti apa yang dilakukan oleh kerajaan yang sama pada tahun yang lalu.
Kerajaan tidak harus terlalu fokus terhadap KDNK dan petunjuk-petunjuk ekonomi lain yang tidak memberi apa-apa makna yang berguna kepada rakyat kebanyakan.
Negara boleh mempunyai KDNK yang baik tetapi rakyat masih sengsara. Tiada gunanya kita melaksanakan projek mega seperti MRT3 bagi meningkatkan KDNK melalui pengganda ekonomi yang hanya memberi manfaat kepada pihak majikan dan pemilik modal sedangkan rakyat tidak menerima apa-apa manfaat daripada projek tersebut.
Malahan, apa yang rakyat perlukan sekarang ialah bukannya projek-projek mega yang hanya cantik di mata. Mengapa kerajaan seolah-olah gemar menambah hutang negara melalui projek mega tetapi amat bimbang untuk membelanjakan wang bagi menyelamatkan kehidupan rakyat?
Apa yang rakyat perlukan sekarang ialah perlindungan yang utama iaitu dari segi kesihatan. Kedua, perlindungan dari segi kewangan. Kerajaan yang bertanggungjawab akan melindungi kedua-dua keutamaan ini.
Tiada guna kerajaan melakukan penutupan ekonomi jika rakyat dibiarkan mati kelaparan. Justeru, penutupan semula ekonomi yang akan dijalankan dalam masa terdekat wajib disertakan dengan bantuan yang cukup dan konsisten kepada rakyat.
Zouhair Rosli merupakan penyelidik kanan di DM Analytics. Beliau sebelum ini pernah terlibat di dalam menyediakan dokumen Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 serta beberapa kaji selidik kemiskinan di Kuala Lumpur.