Kadar Kemiskinan Isi Rumah di PPR KL Meningkat Kepada 45% – UNICEF Malaysia

Share it
Kadar Kemiskinan Ketua Isi Rumah di PPR Kuala Lumpur Meningkat Kepada 45%

Laporan berpanjangan Families on the Edge yang dikeluarkan oleh UNICEF Malaysia mendapati kadar kemiskinan isi rumah di flat kos rendah di Kuala Lumpur telah meningkat 3% dari 42% pada Disember 2020 kepada 45% pada Mac 2021.

Keadaan lebih parah buat isi rumah yang diketuai oleh wanita dan orang kurang upaya. Kadar kemiskinan di dalam kumpulan ini masing-masing berada di paras 62% dan 55%. Sesebuah isi rumah itu dianggap berada di dalam kategori miskin apabila pendapatan bulanan isi rumah tersebut berada di bawah garis pendapatan kemiskinan iaitu RM2,216 sebulan.

Kadar pengangguran dalam kalangan ketua isi rumah juga kekal tinggi iaitu pada 12% pada Mac 2021, menurun sedikit berbanding 14.9% pada Disember tahun lalu. Namun demikian, ia masih lagi tinggi berbanding keadaan sebelum krisis Covid-19.

Bagi ketua isi rumah wanita, kadar pengganguran kumpulan ini pula telah meningkat dalam tempoh yang sama iaitu dari 13.4% kepada 15.9%.

Pendapatan penengah meningkat Kepada RM2,117 sebulan, namun pendapatan bagi Ketua Isi Rumah Wanita & Orang Kurang Upaya telah menurun

Manakala dalam kalangan anak-anak dewasa yang berada di dalam isi rumah di PPR Kuala Lumpur, pengangguran semakin tinggi iaitu pada 36.8% pada Mac 2021, naik dari 32.3% pada Disember tahun lalu.

Pendapatan penengah isi rumah ini menunjukkan peningkatan kecil iaitu dari RM2,000 kepada RM2,117. Namun bagi isi rumah yang diketuai oleh wanita dan orang kurang upaya, pendapatan mereka merudum masing-masing dari RM1,400 kepada RM1,300 dan RM1,250 kepada RM1,200.

Laporan yang dikeluarkan juga mendapati bahawa majoriti mereka yang bekerja sendiri tidak meraih sebarang bantuan yang disalurkan oleh kerajaan kepada Industri Kecil & Sederhana. 86% daripada mereka menyatakan mereka tidak mendapat apa-apa bantuan.

Hanya 7% sahaja responden menyatakan mereka menerima bantuan Geran Prihatin Khas yang disalurkan kepada kerajaan yang menyasarkan mereka yang bekerja sendiri.

Ketika ditanya mengenai bantuan yang diperlukan, responden berpendapat bahawa bantuan tunai merupakan yang paling berguna buat mereka iaitu seperti Bantuan Prihatin Rakyat, Bantuan Tunai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan bantuan tunai dari Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Hanya 18% menyatakan bahawa pengeluaran tunai dari simpanan KWSP sebagai sesuatu yang bermanfaat buat mereka.

Sebahagian besar daripada mereka tidak mempunyai perlindungan sosial

Perkara ini selari dengan dapatan kajian ini dimana hampir separuh ketua isi rumah yang bekerja tidak mempunyai perlindungan sosial seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Nasional ( KWSP ) dan Pertubuhan Kebajikan Sosial ( PERKESO ). Manakala dalam kalangan mereka yang bekerja sendiri, 90% tidak mempunyai caruman KWSP dan PEREKSO.

Kajian turut menunjukkan bahawa ibu bapa lebih berminat untuk anak-anak mereka meneruskan sesi pembelajaran di sekolah berbanding di rumah. Hanya 17.5% bersetuju untuk anak-anak meneruskan pengajian secara atas talian.

Sebahagian besar menyatakan bahawa sesi pembelajaran atas talian sukar dilaksanakan kerana anak-anak tidak mempunyai ruang kondusif untuk mengikuti pengajian selain lebih gemar pengajian dilakukan secara berhadapan.

Kanak-kanak di PPR Kuala Lumpur ini juga tidak mempunyai peranti yang bersesuaian untuk mengikuti pengajian atas talian. Hanya 29% mempunyai akses terhadap komputer manakala sebahagian besar daripada mereka menggunakan telefon pintar dan tablet untuk tujuan tersebut.

Program CERDIK yang bertujuan untuk memberikan peranti komputer riba kepada pelajar-pelajar di seluruh Malaysia juga kelihatan tidak banyak membantu. Kenyataan media yang dikeluarkan 25 April lalu menunjukkan hanya 13,000 peranti telah diagihkan kepada pejabat pelajaran daerah.

Majoriti masih skeptikal terhadap keadaan kewangan mereka pada masa hadapan

Majoriti ketua isi rumah juga kelihatan skeptikal dengan masa depan kewangan mereka. Hanya 11% daripada mereka bahawa keadaan akan bertambah baik dalam tempoh enam bulan akan datang manakala 25% menyatakan bahawa keadaaan akan bertambah buruk.

Laporan Families on The Edge ini merupakan siri keempat yang dikeluarkan sejak Mei tahun lalu yang dibiayai oleh UNICEF dan UNFPA Malaysia. Seramai 500 orang responden yang tinggal di PPR Kuala Lumpur telah ditemuramah bagi menyiapkan laporan ini.

Laporan boleh diakses di sini : [ Dropbox ]