” Kanak-Kanak Mula Hilang Minat Belajar ” – Dr Muhammed Abdul Khalid

Share it
Kanak-Kanak Mula Hilang Minat Belajar

Ketua penyelidik Kajian Families on The Edge yang diterbitkan oleh UNICEF Malaysia, Dr Muhammed Abdul Khalid menyuarakan kebimbangan mengenai keadaan kanak-kanak yang tinggal di flat kos rendah di Kuala Lumpur.

Menurut beliau, sebahagian besar ibu bapa melaporkan bahawa anak-anak mereka sudah hilang minat untuk belajar susulan pandemik Covid-19 yang tidak berkesudahan ini. Selain itu, dapatan kajian menunjukkan emosi kanak-kanak turut terganggu akibat Perintah Kawalan Pergerakan.

Kesannya bukan hanya kepada ketua isi rumah. Kesannya juga kepada kanak-kanak. Kepada kanak-kanak ini, yang paling teruk adalah tekanan stres. Ini kita tidak lihat sebelum ini. Banyak kanak-kanak stres. Dan yang lebih merungsingkan, kanak-kanak sudah hilang minat belajar. Enam daripada sepuluh, mak bapak dia kata ” budak-budak ini dah tak mahu dan tak minat belajar “

Keadaan ekonomi isi rumah yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat ini juga kekal kritikal. Dr Muhammed menegaskan keadaan mereka masih belum pulih seperti sebelum Covid-19 melanda negara ini.

Katanya, kadar pengangguran dalam kalangan ketua isi rumah meningkat 2.5 kali ganda berbanding sebelum krisis. Manakala kadar pengangguran untuk anak-anak dewasa di dalam isi rumah ini juga kekal tinggi pada 37%.

Dr Muhammed berharap agar bantuan tambahan dapat diberikan kepada kumpulan ini kerana mereka sudah berada di dalam keadaan terdesak.

Benda pertama yang mereka perlukan ialah bantuan tunai. Kerana mereka sudah terdesak. Enam per sepuluh kata “ kami tidak cukup pendapatan untuk menyara keluarga. Sudah tertekan sekarang. “ Jadi mereka perlukan bantuan tunai daripada kerajaan.

Geran Khas Prihatin juga perlu diberikan kepada mereka yang bekerja sendiri selain melindungi mereka melalui jaringan keselamatan sosial. Menurut Dr Muhammed, sebilangan besar daripada mereka tidak mencarum kepada KWSP ataupun PERKESO sekaligus mendedahkan mereka kepada kejutan ekonomi.

Ketika ditanya sama ada skim i-Sinar dan i-Lestari membantu kumpulan ini mengharungi hari-hari sukar, beliau berkata sebahagian besar daripada golongan rentan seperti mereka tidak pun mempunyai simpanan KWSP kerana bekerja sendiri ataupun bekerja di dalam sektor informal.

Kalau kita punya polisi keluarkan i-Sinar dan i-Lestari untuk memberi bantuan kepada orang susah. Ini pun silap. Kita ada 15 juta pekerja, yang carum tiap-tiap bulan secara konsisten hanya lima juta. Satu per tiga tak mencarum. Yang tak mencarum ini adalah orang susah.

Kalau strategi kita membantu orang yang susah. i-Lestari tidak membantu kerana mereka tidak ada wang yang cukup. Jadi kalau nak membantu, kerajaan perlu memberi bantuan tunai. Bukannya menyuruh mereka mengeluarkan simpanan hari tua.

Dr Muhammed diwawancara secara maya oleh Ekonomi Rakyat minggu lalu bagi berkongsi pandangan mengenai kajian Families on The Edge telah diterbitkan secara bersiri selama empat kali sejak Mei tahun lalu. Seramai 500 ketua isi rumah yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat sekitar Kuala Lumpur ditemuramah bagi menyiapkan laporan ini.

Laporan penuh boleh diakses di sini : [ Dropbox ]