Kisah Mahathir Kritik Filem Sean Connery

Share it

Tahun 90-an merupakan zaman kegemilangan Malaysia dimana beberapa projek mega sedang dalam pembinaan. Dari Lapangan Terbang Antara Kuala Lumpur, Putrajaya hinggalah Menara Berkembar PETRONAS, kesemuanya dibangunkan bagi meletakkan Malaysia di peta dunia.

Pada penghujung 90-an, Malaysia menyambut baik produksi filem Amerika Syarikat bagi melakukan penggambaran filem Entrapment yang dilakonkan oleh dua bintang terkemuka dunia. Sean Connery ( juga sebagai produser ) yang dikenali umum dengan filem James Bond melakonkan watak Mac di dalam filem ini manakala Catherine Zeta-Jones menjadi heroin utama.

Entrapment menjadi filem pertama Amerika Syarikat yang menerima status MSC ( Multimedia Super Corridor ) di negara ini sekaligus mendapat layanan istimewa daripada kerajaan Malaysia. Visa untuk kru produksi dan pelakon diluluskan dengan segera.

Filem tersebut turut mendapat pengecualian penapisan daripada kerajaan Malaysia selain perkhidmatan keselamatan tambahan turut disediakan bagi memastikan penggambaran filem berkenaan berjalan lancar.

Rakyat Malaysia begitu teruja dan menanti-nantikan filem ini untuk keluar ke panggung wayang. Apa tidaknya, bintang terkenal British dan aktres anggun Amerika melakukan penggambaran di kotaraya Kuala Lumpur. Sudah pasti ramai yang tidak sabar melihat pencakar langit Malaysia di persada dunia.

Poster filem Entrapment

Filem yang berkonsepkan rompakan terancang ini meraih kejayaan besar buat pihak produksi. Dengan bajet sebanyak $66 juta, pihak produksi berjaya mengutip $212.4 juta hasil tayangan di seluruh dunia.

Namun pada Jun 1999, Dr Mahathir selaku Perdana Menteri ketika itu mengkritik filem Entrapment ini. Menurut beliau, filem ini telah mengelirukan penonton apabila menggambarkan Menara Berkembar PETRONAS dibina di tengah-tengah setinggan.

Filem ini Entrapment ini meletakkan menara semegah itu bersebelahan dengan Sungai Melaka sekaligus membangkitkan rasa marah Perdana Menteri.

” Gambar yang tidak benar mengenai Menara Berkembar PETRONAS sudah pastinya akan membuatkan penonton dari negara maju merasakan Malaysia sebagai negara membangun membazirkan wang rakyat, atau bantuan antarabangsa untuk membina monumen yang tidak berguna ” –  Dr Mahathir

Selain Mahathir, turut menempelak filem ini adalah Menteri Penerangan, Tan Sri Mohd Khalil Yaakub.

” Mereka sepatutnya lebih bertanggungjawab terhadap karya seni mereka. Negara ini sepatutnya digambarkan dengan betul “

Malaysia ketika itu menjadi tumpuan dunia apabila dilanda Krisis Kewangan Asia 1997 yang menyaksikan matawang negara jatuh hampir 50%. Selain daripada itu, kes pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri juga menarik perhatian dunia terhadap tingkahlaku Mahathir ketika itu.

Dengan sikap anti-Barat yang ditonjolkan Dr Mahathir ketika pentadbirannya, tidak hairanlah beliau tidak berlapik lagi dalam menempelak penggiat filem Hollywood yang cuba merosakkan reputasi Malaysia. Apatah lagi tahun 1999 merupakan tahun pilihan raya dimana Barisan Nasional agak tidak popular dalam kalangan pengundi Melayu.

Selain Menara Berkembar PETRONAS, filem ini turut menampilkan stesen LRT Bukit Jalil namun digambarkan didalam filem sebagai LRT Pudu. Lokasi LRT Bukit Jalil dipilih kerana lokasinya kurang sesak berbanding LRT Pudu yang berada di tengah kotaraya Kuala Lumpur.

Bagi generasi muda yang belum pernah tahu tentang kewujudan Entrapment, mungkin anda perlu mengambil sedikit masa untuk menonton filem ini sambil menghargai kejelitaan Catherine Zeta-Jones ketika itu.

Ikuti saluran Telegram kami untuk tidak melepaskan perkembangan terkini di https://t.me/EkonomiRakyatMY